Wednesday, July 14, 2010

Ratu14 Julai

Fesyen Sogo KL
Koleksi baru pelbagai musim serlah penampilan
Oleh Hidayah Mohammad



FESYEN dan wanita tidak dapat dipisahkan. Bagi mereka yang sentiasa ingin menjaga penampilan, kesempatan keluar ke pusat beli belah, mata liar melihat ke segenap pelusuk premis memburu koleksi fesyen pakaian dan aksesori terkini bagi menyerlahkan keyakinan diri ketika mengatur langkah.


Dengan cuaca panas di Malaysia hampir sepanjang tahun, memberikan bonus kepada mereka untuk bergaya santai tanpa menyesakkan fikiran untuk memilih fabrik, corak dan reka bentuk terbaru untuk dipadankan dalam apa juga gaya.


Memenuhi impian wanita itu, sudah pasti pusat beli-belah dan rangkaian butik di seluruh negara akan menyempurnakan keinginan itu dengan menawarkan pelbagai koleksi terbaru bagi menarik perhatian mereka. Tidak terkecuali, Sogo Kuala Lumpur (Sogo KL), antara pusat beli-belah pilihan ramai, turut menyertai kemeriahan berkenaan menampilkan koleksi terbaru menerusi lebih 20 jenama yang bernaung di bawahnya. Bersempena itu, Sogo KL mengadakan acara pertunjukan fesyen bertemakan Booming Blossoms di Tingkat Satu, ruang beli-belah di bahagian wanita.


Dalam pertunjukan fesyen itu, ia menampilkan pelbagai jenama untuk pelbagai acara, meliputi majlis rasmi, korporat, kasual, bersantai dan ke pantai. Bermula dengan gaun petang untuk acara majlis anugerah berprestij, blaus, seluar, kemeja, skirt dan jaket juga dipertontonkan untuk digayakan secara kasual. Antara jenama yang menjayakan acara pertunjukan fesyen itu ialah Ellphe, Stafani, Elle, Polo, Seed, Padini Authentic, East India Company, Somerset Bay, Arrow, Padini, Nicole MNJ, Voir, Soda, Applemints, Jeep dan Googles serta beberapa jenama lain.


Bagi menyeimbangkan keperluan berkenaan, tidak saja pakaian, malah Sogo KL turut menampilkan koleksi aksesori terbaru seperti tas tangan dan kasut serta wangian juga menjadi pelengkap imej. Koleksi aksesori barangan kulit terkenal turut disediakan antaranya Sembonia, Guess, Elle, United Colours of Benetton dan Carlo Rino. Pengurus Jabatan Ruang Beli Belah Wanita Sogo KL, Yee Ying Ying, berkata fesyen adalah untuk semua dan masyarakat perlu didedahkan dengan koleksi gaya terbaru serta belajar cara bergaya supaya tampil hebat menerusi acara pertunjukan fesyen.


“Kita sedar fesyen dan wanita tidak dapat dipisahkan. Jika kita melihat setiap wanita di negara membangun seperti London, Tokyo, Milan dan negara lain yang rancak dalam industri fesyen, mereka mengenakan pakaian cantik dan bergaya setiap kali keluar rumah. “Apabila menampilkan koleksi terbaru menerusi acara pertunjukan fesyen Sogo KL, wanita tempatan juga dapat menerapkan elemen fesyen setiap kali mereka keluar untuk menghadiri apa saja acara.


“Selain koleksi pakaian dan aksesori terbaru yang menjadi kegilaan, wangian juga pelengkap kepada inspirasi mereka yang mementingkan imej bersesuaian mengikut acara,” katanya. Tema Blooming Blossoms, KL Sogo adalah bagi memudahkan wanita tempatan mengakses fesyen menerusi jenama yang ditawarkan di tingkat satu pusat beli belah tumpuan ramai itu. Tema musim panas dipilih selari dengan cuaca negara ini, selain koleksi setiap musim yang ada di negara lain juga praktikal untuk warga Asia. Yee berkata, musim panas sinonim dengan cuaca yang suam, bersifat dunia luar, material, fabrik lebih ringan dan semua masyarakat Asia mudah menggayakannya setiap hari.


Menampilkan koleksi baru menerusi jenama di bawah Sogo KL, sekali gus membuka mata wanita untuk terus tampil dengan imej terkini selari untuk mengembangkan industri fesyen tempatan. Sempena musim itu, Sogo KL menawarkan bonus diskaun kepada pengunjung dan pemegang kad ahli S Card. Pengunjung akan menerima beg kembara malam untuk pembelian pada harga lebih RM250 kepada ahli S Card atau RM300 (bukan ahli). Sementara itu, pengunjung juga akan menerima rebat kupon RM20 apabila ahli S Card membelanjakan RM200 dan ke atas dalam satu resit di tingkat beli belah wanita.


Artikel lain:

Kasut tutup untuk musim luruh 2010
Oleh Hidayah Mohammad

CUACA di negara Barat ketika ini sudah hampir bertukar ke musim luruh sebelum bermula musim sejuk. Walaupun Malaysia tidak mengalami perubahan cuaca itu, namun, kita juga turut menerima tempiasnya apabila sering mengalami cuaca mendung dan hujan.

Corak pemakaian dan aksesori pula bertukartukar mengikut perubahan cuaca. Koleksi musim luruh 2010 juga dibawa masuk ke negara kita sungguhpun tidak berapa sesuai menggayakannya Pengolahan gaya mengikut tempat dan gabungan koleksi menyerlahkan penampilan seseorang penggemar fesyen sungguhpun fabrik atau rekaannya tidak sesuai untuk anak Asia.

Bual Fesyen kali ini mengetengahkan koleksi kasut untuk musim luruh yang juga cantik digayakan wanita Malaysia. Sama ada bertumit tinggi atau rendah, tutup atau terbuka, bertali atau tidak, himpunan koleksi kasut musim luruh jenama terkemuka lebih ceria dan menarik. Material atau bahan yang disediakan menjadi keutamaan untuk melindungi kaki dari kesejukan atau tercedera.

Saya tampilkan koleksi kasut sempena musim berkenaan yang dibawa oleh beberapa jenama terkemuka yang turut boleh didapati di Malaysia.Gayakan koleksi itu pada acara kasual, parti mahupun ke mana saja yang tidak membabitkan aktiviti lasak.

Paul Smith
UNTUK mengenakan gaya klasik Inggeris, jenama terkenal, Paul Smith tampil koleksi khas musim luruh. Gabungan warna gelap dan warna tanah untuk koleksi Lea dan warna terang menarik sesuai untuk acara kasual dan rasmi acara tertutup. Gaya bertali dan diikat di depan menunjukkan gaya klasik vintage menutupi keseluruhan kaki. Wanita berani menggayakan koleksi berkenaan bersama skirt pendek dan boleh didapati di pusat belibelah sekitar Lembah Klang. Harga: tidak dinyatakan

Bally
JENAMA terkenal dari Switzerland yang mula dari 185, kali ini menampilkan koleksi kasut bertumit tinggi yang menutupi keseluruhan kaki.Bertali atau tidak Bally kali ini tampil dengan warna hutan hijau dan kelabu asap dari material suede serta kulit pada himpunan Audrey-L, Alessia-P serta beberapa koleksi lain lagi. Seakan kasut but tetapi cantik digayakan bersama skirt pendek, seluar panjang untuk gaya korporat. Harga: RM4,370 dan RM 3,740

Mulberry
KAYA dengan gaya moden lagi terkini, jenama Mulberry tampil koleksi Studded datang berwarna hitam dan ungu bertumit tinggi.Kasut bertutup penuh ala but potongan rendah untuk musim luruh kali ini. Penuh dengan stud pada keseluruhan kasut koleksi berkenaan untuk acara eksklusif. Material penuh menggunakan fabrik glamor suede sebagai keselesaan kepada pemakai. Harga: tidak dinyatakan.