Tuesday, July 13, 2010

Ratu10 Julai



Sinar baru
Oleh Rohaniza Idris; Hafizah Iszahanid; Nor Afzan Mohamad Yusof

PERPISAHAN sememangnya memeritkan. Lebih perit apabila istana kasih yang dibina, ikatan janji sumpah sehidup semati yang dimeterai agar hubungan kekal sehingga ke akhir hayat atas nama sebuah perkahwinan, akhirnya terputus di tengah jalan.

Dalam sekelip mata, pasangan yang selama ini menjadi teman di kala susah dan senang, berubah menjadi musuh. Malah, boleh dikira sebenarnya mereka yang boleh menjadi sahabat selepas bercerai.

Tidak perlu menuding jari siapa salah, siapa benar, kerana hakikatnya, kehidupan perlu diteruskan. Baik si duda mahu pun yang bergelar janda, apa yang perlu diutamakan adalah kehidupan yang mendatang, bukan saja demi anak-anak tetapi kebahagiaan diri sendiri - baik minda mahu pun emosi. Apa yang sudah berlaku, selayaknya dibiarkan berlalu.

Saling memusuhi tidak membawa manfaat, apa lagi bekas suami atau bekas isteri itu masih bermakna dalam kehidupan anak-anak. Inilah pegangan dua personaliti - pengarah muzik terkenal tanah air, Ramli MS dan bekas isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal, yang memilih jalan tengah meneruskan kehidupan selepas perkahwinan masing-masing menemui titik noktah.

Bagi Ramli, bohonglah jika perpisahan dengan isteri yang dikahwini selama 13 tahun, tidak meninggalkan kesan. Namun, walaupun perit untuk diterima, beliau menggagahkan diri menghadapinya. Kesepian? Ya, memang ada, namun bagi bapa dua anak ini, perceraian bukanlah halangannya meneruskan kehidupan.

"Sesiapa pun tidak mungkin terfikir atau mahukan perceraian.

Tetapi kita harus berfikiran realistik. Apa yang berlaku, biarkan saja ia berlalu. Paling penting, perpisahan itu tidak merenggangkan hubungan saya dengan bekas isteri. Kami masih berkomunikasi sehingga ke hari ini.

"Saya dan bekas isteri juga masih boleh bekerja bersama di pentas yang sama. Kami menjalani hubungan yang sangat profesional sebagai rakan sekerja. Saya bersyukur kerana bekas isteri sependapat serta mempunyai penilaian yang sama dengan saya mengenai perhubungan kami ini," katanya merungkai kisah kehidupan selepas bergelar bapa tunggal sejak tujuh tahun lalu.

Ramli, 50, berkata, beliau dan bekas isteri berpisah tanpa sebarang konflik atau pergaduhan tetapi ditakdirkan jodoh mereka tidak panjang kerana ketentuan-Nya.

Enggan berkongsi sebab perpisahan itu, bagi Ramli, biarlah perkara itu kekal rahsia antaranya dengan bekas isteri.

"Kami berpisah secara baik dan sehingga kini masih menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada dua anak sama seperti sebelum bercerai.

"Walaupun tidak tinggal sebumbung lagi dengan anak-anak, tanggungjawab menyekolahkan anak dan membesarkan mereka berdua tidak pernah berhenti," katanya yang mengakui kehidupannya selepas berpisah tetap sama walaupun tidak lagi tinggal bersama isteri dan anak-anak.

Mengakui kesibukan kerja serta keakraban dengan anak-anak menyebabkan dirinya tidak pernah kesunyian. Malah anak-anaknya juga tidak berasa kehilangan atau terpisah daripadanya selepas bercerai.

"Saya masih bercuti dan menjalani aktiviti hujung minggu bersama anak- anak. Malah, sepanjang persekolahan saya mengambil tahu mengenai pelajaran mereka," katanya.

Apakah rahsianya mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri dan anak- anak? Jangan berdendam dan saling membenci.

"Saya terus menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anak dan tidak sama sekali menjadikan anak-anak mangsa perpisahan kami.

Saya percaya inilah formula yang perlu dilaksanakan oleh setiap pasangan yang berpisah," katanya yang enggan menolak takdir andai sudah tersurat, bakal bergelar suami semula.

Namun, pada usia menghampiri 51 tahun akhir tahun ini, perkara utama difikirkannya adalah melunaskan tugasnya menyekolahkan anak-anak.


"Anak lelaki saya akan tamat pengajian kolejnya tidak lama lagi dan kini tumpuan lebih diberikan kepada anak perempuan saya berumur 15 tahun yang akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Saya tahu tugas sebagai bapa tidak berakhir sampai bila-bila tetapi apabila anak- anak tamat pengajian bermakna mereka akan berdikari selepas itu," katanya.

Nasihatnya kepada bapa tunggal - jangan abaikan tanggungjawab serta memburukkan pasangan selepas bercerai.

Sementara itu, kelibat Maizawati ketika hadir sesi temu bual dan fotografi mencuri tumpuan pelanggan di sebuah restoran, baru-baru ini. Mengenakan jubah hitam lengan potongan payung, tanpa solekan tebal, tidak sedikitpun melenyapkan kejelitaan wajah wanita yang sudah dua kali bergelar janda.

Nyata status janda melonjak nama Maizawati. Walaupun bunyinya tidak begitu enak didengari, itulah hakikat yang tidak dapat dielakkan apabila menyebut nama itu yang kini popular sebagai duta beberapa produk.

"Saya tidak terdesak, sebaliknya menyifatkan ia rezeki menampung perbelanjaan anak-anak. Saya tidak mati dengan kata-kata penghinaan sebaliknya akan semakin cuba memperbaiki hidup untuk menampung hidup. Kalau bukan saya, adakah orang lain membantu atau menyalurkan wang?" katanya.

Perkahwinan pertama pada usia 17 tahun dikurniakan dua cahaya mata, Deanna Sofea (17) dan Daniel Arif (16) dan perkahwinan kedua bersama Akhil, beliau dikurniakan empat anak - Siti Nur Maisarah (13),Muhamad Shariff Hidayahtullah (12), Muhamad Shakir Hidayahtullah (9) dan Muhamad Syafrin Hidayahtullah (3).

Hanya tiga anak menetap bersama Maizawati, yang lain diserahkan kepada bekas suami. Melalui dua kali kegagalan dalam rumah tangga, realitinya ia pengalaman yang bukan mudah untuk ditanggung.

"Perkahwinan pertama pada usia 17 tahun dengan cikgu sekolah saya. Pada usia saya masuk 20 tahun, kami pun mengambil keputusan untuk berpisah. Kebetulan, ketika saya dalam proses hendak berpisah dengan bekas suami pertama itu, secara tidak sengaja, saya bertemu (bekas) suami kedua...tetapi jodoh tidak panjang juga. Sebetulnya saya tidak pernah menyangka akan bergelar ibu tunggal sekali lagi, saya cuma membayangkan kehidupan berkeluarga yang harmoni, tetapi itu takdir Allah," katanya.

Enggan berselindung, Maziah mengakui pada usia 35 tahun, hatinya kini terpaut chef bujang berusia 23 tahun. Tegasnya, biar siapapun orangnya, doanya pilihan itu nanti dapat memberi kebahagiaan kepada dirinya sekeluarga.


Maizawati turut menasihati wanita senasib dengannya supaya jangan cepat putus asa.


"Kita perlu reda dengan apa yang berlaku, ini ketentuan Tuhan, pastinya ada hikmah di sebaliknya. Anak-anak adalah kekuatan saya. Melihat mereka, saya rasa kebahagiaan mereka lebih penting daripada hidup ini. Sekarang ini saya hanya memikirkan bagaimana hendak menguruskan kehidupan anak-anak dan diri sendiri kerana kini sayalah ketua keluarga. Jangan lagi fikir perkara lalu, yang penting apa yang ada di depan mata," katanya.

`Elak musuhi pasangan'

APAKAH ada sinar bahagia selepas bercerai? Mungkin tidak bagi yang trauma mendengar perkataan cerai itu, tetapi hakikatnya, semua orang berhak menikmati bahagia biarpun selepas perkahwinan terputus di tengah jalan.


Bagi pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, ada kalanya, perceraian bukan saja jalan penyelesaian kepada pertelingkahan tetapi cara terbaik untuk menginsafi diri.

Sehubungan itu, beliau berkongsi antara petua kepada lelaki dan wanita yang terpaksa berpisah dengan pasangan masingmasing.

Tip untuk lelaki

* Tanya diri sendiri apa sebab berlakunya perceraian? Jika salah itu berpunca daripada diri sendiri, jadikan tempoh bercerai sebagai tempoh untuk menginsafi diri dan bukan menyalahkan bekas pasangan.
* Jangan memusuhi bekas isteri sebaliknya cuba untuk berbaik-baik kembali.
* Jangan cepat mencari pengganti. Sebaliknya jadikan tempoh bercerai untuk sebagai waktu bertenang. Itu sebab Islam menggariskan mengenai talak satu, talak dua dan talak tiga.
* Jangan jadikan anak-anak sebagai mangsa. Bertanggungjawab kepada anak- anak.
* Jangan serahkan tanggungjawab kepada anak-anak sepenuhnya kepada bekas isteri atas alasan sudah berkeluarga baru. Sebaliknya tanggungjawab dan hubungan bapa dan anak tidak akan putus hingga ke mati.
* Ambil berat perkembangan anak-anak dan jangan biarkan mereka rasa terabai sehingga menyebabkan mereka bertindak memusnahkan diri sendiri sebagai membalas dendam kepada ibu bapa.

* Tip untuk wanita
* Belajar untuk cepat menerima kenyataan dan jangan mengikut perasaan.
* Jangan hidup berendam air mata sebaliknya anggap perceraian sebagai hikmah untuk memulakan kehidupan baru. Kekuatan ibu membantu menguatkan semangat anak-anak.
* Jika sebelum ini anda tidak bekerja, cepat dapatkan pekerjaan. Urusan turun naik mahkamah memakan masa yang panjang dan wang yang banyak, tanpa pekerjaan anda akan lebih tertekan.
* Ada kala bekas suami ingkar dalam pemberian nafkah untuk anak-anak, kuatkan diri dan perjuangkan hak anda.
* Percayakan takdir Ilahi dan anggap perceraian itu sebagai hikmah dari- Nya kerana ada kala bagi sesetengah wanita, kehidupan berumahtangga lebih menyeksakan kerana sering didera suami secara fizikal dan mental.


*************************************************************************************

Legasi Super Mokh
Oleh Siti Nur Almizan Aripin

TANGGAL 4 Julai lalu, kelibat bintang sukan terkenal sekitar 1970-an dan 1980-an memenuhi pekarangan Restoran Felda Villa D'Saji, Jalan Semarak, Kuala Lumpur bagi meraikan hari bersejarah anak lelaki tunggal legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Siapa sangka, genap 19 tahun Mokhtar meninggal dunia, majlis persandingan anak lelakinya Mohd Reza, 29, dan isteri, Sharina Mohd Shahrin, 28, berlangsung meriah umpama majlis reunion bagi pemain sukan veteran negara.

Pastinya kelibat pemain Selangor, Zainal Abidin Hassan, Bakri Ibni, Reduan Abdullah; bekas pelari pecut wanita, Datuk Paduka Dr Mumtaz Jaafar dan Datuk Misbun Sidek paling mencuri tumpuan.

Majlis turut disempurnakan dengan kehadiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.