Thursday, July 8, 2010

RATU 8 Julai


Dedikasi Haslinda
Ingin bantu remaja nikmati hidup lebih bermutu menerusi kecantikan

Oleh Nurul Nadia Abdul Hamid

MATANG, berpengetahuan, mesra dan petah berkata-kata tidak melambangkan usianya yang baru mencecah 23 tahun. Haslinda Taharin mungkin masih muda, namun pada usia setahun jagung itu beliau sudah bijak menguruskan perniagaan dan kini memiliki dua pusat kecantikan iaitu di Great Eastern serta Wisma Sentral selain satu perniagaan warisan keluarga di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Mahir dalam bidang perawatan dan kecantikan kuku, anak ketiga daripada tujuh beradik itu terbabit secara langsung dalam dunia perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Ibunya, Dahliati Alirudin adalah ahli perniagaan wanita Bumiputera pertama membuka lot di KLCC. Malahan, tidak mustahil jika dikatakan, ibunya adalah inspirasi dan tonggak kejayaan beliau.

“Keluarga saya terdiri daripada komuniti yang menjalankan perniagaan. Jadi, minat dalam perniagaan bercambah kerana saya sudah didedahkan dengan ilmu perniagaan sedari kecil,” katanya ketika ditemui di DnT Salon, KLCC, baru-baru ini. Meskipun hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kecekapan dan cara berfikir yang efektif serta mempunyai strategi perniagaan sistematik membantu gadis ini untuk berjaya.

Menariknya, bukan beliau seorang yang meneroka perniagaan dalam dunia kecantikan. Abangnya, berkhidmat sebagai pakar rambut, kakaknya bergelar pakar kecantikan, manakala adiknya pula seorang pembantu pendandan rambut profesional. Terbabit dalam lingkungan kerjaya sama, mereka selesa berbincang antara satu sama lain dan bekerjasama mengendalikan pusat kecantikan milikan ibu mereka bersama-sama.

“Bukan senang membahagikan masa apatah pula perlu menguruskan banyak perniagaan dalam satu masa. Oleh itu, saya selesa berbincang, berkongsi pendapat dan mengamalkan konsep kerja yang betul, teratur serta teliti,” katanya. Lantaran itu, bekas penuntut jurusan kecantikan di OPI itu mengimpikan akademi kecantikan sendiri. Meskipun masih setahun jagung dalam bidang perniagaan, gadis manis itu menyimpan cita-cita tinggi.

Selain itu Haslinda juga mempunyai impian murni, ingin membantu golongan remaja yang sering terjebak dalam masalah sosial. Baginya, masalah sosial yang kian berleluasa kini tidak harus di pandang remeh. Apatah pula, katanya, remaja berkenaan sebenarnya kekurangan perhatian dan perlukan bimbingan serta panduan bagi menjalani hidup baru dan diterima dalam masyarakat seperti insan lain.

“Saya ingin membuka pusat kecantikan khusus buat remaja bermasalah seperti bohsia. Daripada dibiarkan melarat, baik kita latih, dedahkan mereka dengan dunia pekerjaan dan jadikan mereka ‘insan’ supaya mereka bangkit daripada masalah lalu dan menjadi insan berjaya, kelak,” katanya.

Menyifatkan bukan mudah merealisasikan impian sedemikian tanpa bantuan kerajaan, beliau tetap kental menjayakannya secepat mungkin. Walaupun dana menjadi kekangan utama, ia cuba ditangani sebaik mungkin bagi menggapai impiannya itu. Bercerita panjang mengenai minat awalnya, sedari kecil Haslinda bercita-cita menjadi juruterbang.

Bagaimanapun, bapa menentang cita-citanya itu kerana menginginkan anaknya bekerja sendiri, bukannya makan gaji. “Mulanya, bapa kata ciri-ciri juruterbang tidak sesuai dengan saya kerana kerjaya itu seolah-olah kasar bagi wanita. Dia ingin anak dia menjadi cantik dan punyai penampilan menarik kerana dia jenis yang sukakan kecantikan.

“Malahan, dia lebih menggalakkan kami bekerja sendiri daripada bekerja ‘makan gaji’ sepertinya di samping berdikari sendiri,” katanya yang kini bangga melihat hasil usahanya.

ARTIKEL LAIN:

Anak patung versi tempatan
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

Aktiviti menyeronokkan mampu kembang minda kanak-kanak dan semangat cinta kepada negara

DINAH Lai yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam penghasilan patung berdasarkan budaya tempatan dan boneka berkata, bagi menerapkan nilai murni dan rasa bangga sebagai anak Malaysia di kalangan kanak-kanak moden masa kini, satu ekspo gabungan tenaga bersama Beaconhouse Sri Inai School diadakan pada Julai ini.

Dalam ekspo yang bakal diadakan itu nanti, kanak-kanak akan didedahkan dengan pameran patung masyarakat yang mengenakan busana tradisional mengikut adat perkahwinan, perayaan dan pemakaian harian serta suasana persekitaran kampung sekitar 1940 termasuk aktiviti yang dilakukan penduduk ketika itu. (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Anakpatungversitempatan/Article/index_html)

Legasi ‘jenama etnik’
Oleh Nor Affizar Ibrahim

MENCAPAI usia sehingga satu abad dan terus bertahan unggul bukanlah mudah, bahkan bukan sesuatu yang lazim berlaku untuk sesuatu jenama produk. Namun, jenama sos dan bahan perasa terkenal, Lee Kum Kee sudah pun membuktikan keupayaan dapat bertahan sehingga ke tahap itu. Pastinya, untuk berada di puncak sekarang, perancangan atau strategi teliti mahupun pelaburan yang banyak perlu dibuat.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Pegawai Operasi Kumpulan, Lee Kum Kee International Holdings Ltd, George Tsang kepada wakil media dari Malaysia dan Singapura yang membuat lawatan di ibu pejabat Lee Kum Kee Hong Kong di Tai Po, Industrial Estate di Hong Kong, baru-baru ini. (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Legasi__8216_jenamaetnik__8217_/Article/index_html)


Chef bertarung
2010/07/08

Pertandingan Selebriti Chef Ideal kembali untuk musim kedua CINTA kepada makanan tidak pernah mengenal sempadan. Tidak hairanlah, semakin ramai rakyat Malaysia kini menjadi lebih kreatif di dapur dan mencuba pelbagai jenis masakan, lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai program masakan di televisyen (TV).

Sejajar dengan trend itu, F&N Dairies (M) Sdn Bhd (F&N Dairies) melancarkan program TV realiti mereka, ‘Selebriti Chef Ideal®’ untuk musim kedua. Program itu menampilkan 10 peserta akhir yang dipilih dari seluruh negara. Mereka akan bertarung untuk merebut peluang sekali seumur hidup menjadi popular di samping menunjukkan kepakaran memasak mereka kepada seluruh rakyat Malaysia. (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Chefbertarung/Article/index_html)

Spa dan kedai cenderahati kembalikan kecantikan kulit
Oleh Hidayah Mohammad
2010/07/08

MENGETENGAHKAN konsep mencipta semula hubungan alam semula jadi untuk kehidupan seimbang, sihat dalaman dan luaran bukan saja menggunakan produk kecantikan kulit semata-mata. Hakikatnya, bagi mengecapi ketenangan diri secara dalaman lebih bermakna apabila mendapatkan rawatan terapi kecantikan badan di spa kecantikan. (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Spadankedaicenderahatikembalikankecantikankulit/Article/index_html)