Wednesday, July 14, 2010

Ratu13 Julai

Jenayah juvana
Oleh Jami'ah Shukri

KANAK-KANAK seawal usia tujuh tahun melakukan jenayah bunuh, rogol, rompak, mencederakan orang dan mencuri? Laporan sebegitu seakan tidak masuk akal. Namun itulah realiti yang berlaku di Malaysia, bukannya di Hollywood.

Kadar indeks jenayah membabitkan remaja dan kanak-kanak seawal usia tujuh hingga 18 tahun meningkat seperti didedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang empat bulan pertama tahun ini.



Jenayah bunuh saja mencatat 18 kes; rogol (198), rompak berkumpulan bersenjata api (dua); rompak berkumpulan tanpa senjata (185); rompakan (85) dan mendatangkan kecederaan (141), selain 382 kes kecurian.

Dalam persekitaran masyarakat yang semakin kompleks, jenayah di kalangan remaja dan kanakkanak tidak lagi dianggap mengejutkan dan sewajarnya memerlukan penyelesaian lebih komprehensif supaya tidak menjadi barah dalam masyarakat.

Kanak-kanak dan remaja adalah produk untuk generasi dewasa. Ibu bapa adalah antara yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap pembabitan jenayah itu.

Adakah kanak-kanak menjadi mangsa atas keterlanjuran mereka? Pengabaian ibu bapa atau penjaga yang tidak keruan mencari nafkah hidup, kurang ilmu, kemahiran keibubapaan, kepincangan institusi kekeluargaan menyumbang secara langsung atau tidak langsung dalam keruntuhan moral mereka.

Pensyarah Jabatan Pendidikan dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata dari sudut psikologi, kanak-kanak dan remaja yang tidak menerima perhatian serta kasih sayang mencukupi akan memanifestasikan ketidakcukupan ini dalam bentuk salah laku untuk menarik perhatian kepadanya.

Jika ibu mengenal pasti dari awal permasalahan anaknya, ia sekurang-kurangnya dapat diuruskan dengan berkesan dan mungkin tidak sampai ke tahap kritikal.

"Sekiranya kanak-kanak dan remaja tidak mendapatkan maklum balas dan perhatian, mereka mudah terjebak dengan salah laku jenayah ke tahap serius.

"Ibarat berlaku jeritan batin, berilah perhatian kepadaku, aku perlukan kamu. Kes demi kes akan terus berlaku seandainya jeritan batin mereka tidak diendahkan oleh golongan dewasa khususnya ibu bapanya yang sama ada terleka atau terpaksa mencari sara hidup sampai tidak ada masa untuk `Berhenti, Melihat dan Pergi'," katanya.

Lebih parah, sekolah pula tidak banyak membantu lebih-lebih dengan populasi pelajar dan saiz kelas yang besar menjadikan tumpuan guru begitu terhad.

Dr Haslee berkata, guru menerima tekanan ke atas peningkatan prestasi akademik pelajar yang menjadi penilaian utama prestasi kerjanya.

"Oleh itu, usaha sepatutnya digembleng ke arah itu. Banyak guru merintih terutama yang mengajar di sekolah berprestasi rendah. Jika golongan guru tertekan dan tidak mampu menguruskan tekanan dengan baik, pelajar jadi mangsa. Malah kerap juga dilaporkan di media mengenai kes guru mendera pelajar," katanya.

Jati diri kanak-kanak dan remaja dalam persekitaran terabai biasanya lemah, rapuh dan mudah terpengaruh oleh anasir sosial yang negatif.

Rentetan itu, mereka mudah terjebak dalam apa juga salah laku. Semangat kekitaan yang tidak dikecapi di rumah dan sekolah, kemudian dikongsi dengan rakan senasib.

Artikel lain

Program realiti kanak-kanak
Oleh Siti Nur Almizan Aripin

PERCAYA atau tidak, ada pendapat menyatakan bahawa kanak-kanak sekarang kekurangan masa dan galakan daripada ibu bapa untuk menikmati sedikit waktu mereka bermain.
Masa mereka lebih banyak dihabiskan dengan permainan televisyen dan menonton siaran kartun kegemaran, selain aktiviti yang berstruktur selepas waktu sekolah seperti kelas tambahan.
Memahami keperluan bermain di kalangan kanak-kanak memberi ilham kepada Johnson & Johnson meneruskan program realiti televisyen untuk kanak-kanak Jom Main! Musim 2 Bersama Jonhson's Baby Powder.
Melalui program realiti televisyen itu, pelbagai aktiviti menarik bertujuan untuk merangsang perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak sudah dirancang antaranya tele-match, wall climbing, menggelecek bola, menjaringkan bola keranjang serta tarian sosial.

Pupuk komunikasi
Nor Afzan Mohamad Yusof

SALAM sejahtera. Bertemu kembali dalam ruangan kecil ini, bagaikan memberi tiupan semangat kepada saya untuk berbicara lagi mengenai dunia kanak-kanak yang amat rapat dengan diri saya, untuk sekian kali sejak bergelar ibu, lapan tahun lalu. Walaupun sebelum ini saya dan kumpulan kerja di Ratu, melakukan giliran mengendalikan ruangan masakan serta kraf, tetapi cerita mengenai kanak-kanak tidak pernah kontang.

Ada-ada saja pengalaman yang saya boleh kongsikan dengan rakan pembaca. Lebih daripada itu, anak saya juga sebenarnya, saya suruh membaca inti pati tertera dalam ruangan ini. Bererti apa yang ingin saya sampaikan kepada mereka boleh dibaca sendiri.

Sama seperti kita, sebenarnya setiap hari banyak perkembangan baru berlaku dalam diri anak. Tetapi kadangkala sebagai ibu, kita sendiri mungkin tidak menyedarinya, atau sengaja tidak mengambil berat soal berkenaan. Seperti adakah anak aku dalam keadaan kecewa hari ini? Adakah anak aku rasa gembira hari ini? Kita mungkin tidak mempunyai masa untuk berkongsi, dan akhirnya ibu membiarkan anak-anak larut dalam masalah sendiri, sedangkan mungkin mereka inginkan masa untuk bercerita, paling utama membantunya menyelesaikan masalah dihadapi dengan cara betul?

Hal seperti ini juga terjadi kepada saya. Apabila sudah bersekolah, saya dapati anak sulung, Najah lebih gemar bercerita kepada saya ketika adik-adiknya tidak berada berdekatan dengan saya. Biasanya ketika saya mencuci pinggan di dapur. Berbanding ketika di tadika, depan adik-adik pun beliau tidak kisah untuk bercerita mengenai apa saja. Hari ini wujud rasa malu dan segan berkongsi cerita membabitkan rakan sekelas lelaki. Perubahan itu saya sedar benar, tetapi seperti saya katakan tadi, lupa, sibuk dan 1,001 alasan menjadi halangan.

Merangsang komunikasi berkesan membantu perhubungan lebih baik antara ibu bapa dengan anak, selain membina kepercayaan diri sendiri serta percaya kepada orang paling rapat dengannya iaitu ibu atau bapa.

Saya pasti sebagai ibu yang bekerja dan mungkin juga pulang lewat ke rumah, ingin menikmati suasana tenang dan anak-anak yang diam untuk seketika saja untuk memberi ruang kepada diri sendiri untuk mandi, bertukar baju atau bersolat, sebelum bergurau dengan anak-anak? Dan ia tidak pernah berlaku sekiranya anak anda masih kecil atau mungkin impian itu tinggal dibawa angin?

Itulah berlaku kepada saya setiap hari, tetapi bagaimana apabila melihatkan anak sulung saya yang kini berada dalam darjah dua leka membuat kerja sekolah, berbanding tiga adiknya yang begitu seronok menyambut kepulangan saya setiap petang?

Masih terngiang-ngiang di telinga saya pesan arwah ibu saya, katanya, ibu adalah teman rapat anak ketika kecil, bila bersekolah dan sudah besar, barulah ibu terasa ditinggalkan kerana ada tuntutan baru untuk mereka seperti bermain dan bersama rakanrakan sebaya. Hakikat yang tidak dapat kita sangkal lagi.

Realitinya, sejak kecil lagi kita perlu mempunyai hubungan baik dengan anak, kerana apabila di jiwanya ada kita, barulah kita boleh berperanan sebagai pemain layang-layang - dilepaskan terbang bebas, tetapi talinya masih dalam genggaman kita sebagai orang tuanya.

Kadangkala keterbatasan anak meluahkan isi hati kerana halangan berpunca daripada diri sendiri. Sukar menjadi pendengar lantaran sibuk dengan tugasan di luar rumah, hingga bertentang mata dengan anak pun boleh dibilang dengan jari. Berlainan dengan rakan sekolah, kemesraan itu lebih terserlah menjadikan mereka mudah mesra.

Alhamdulillah sekiranya mendapat rakan yang tulus, tetapi sekiranya sebaliknya, alangkah malangnya nasib kita. Wang berjuta pun tidak mungkin mengembalikan saat mereka ketika kecil itu. Sebagai ingatan untuk sesama kita, marilah kita mendengar cerita serta luahan hati anak-anak yang sudah pun kita lahirkan itu.



INFO
Komunikasi

* Biarkan anak melakukan kesalahan dalam bercakap dengan anda. Tetapi usah biarkan, sebaliknya bantu anak anda mencari penyelesaiannya. Dengan begitu anak dapat belajar untuk melihat mana yang benar dan mana yang salah. Anak akan menjadi lebih hati-hati lagi dalam berkata-kata.

* Dorong anak agar lebih aktif menceritakan pengalamannya kepada orang tua, lakukan setiap hari supaya ia menjadi kebiasaan. Sekiranya anda dapati anak anak jenis pendiam, mungkin ia berlaku kerana anda kurang merangsangnya untuk berkata-kata.

* Menjadi ibu bapa perlu berilmu. Rajinlah rujuk buku-buku panduan didik anak mengetahui bagaimana cara terbaik memupuk komunikasi dengan anak, terutama dalam zaman siber yang penuh mencabar ini.

* Kenali rakan anak-anak. Berkenalan dengan ibu bapa rakan anak juga mungkin dapat membantu anda bersama-sama mengenal pasti masalah yang mungkin anak anda hadapi sekiranya anak anda jenis `berat mulut'.

* Jadikan waktu makan dan bersolat berjemaah cara terbaik mendekatkan diri dengan ahli keluarga.

Kepentingan multivitamin
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

DALAM proses pembesaran yang dilalui setiap kanak-kanak, mereka memerlukan sekurang-kurang tiga makanan seimbang dalam sehari diikuti dengan makanan ringan berkhasiat sebelum makan tengah hari dan makan malam.

Bagaimanapun, kesibukan aktiviti dan sikap cerewet serta tidak gemar makan kadangkala menyebabkan tidak semua rutin makanan sedemikian dapat dipatuhi ibu bapa dan kanak-kanak berkenaan. Kanak-kanak juga mengambil masa agak lama untuk menghabiskan sesuatu hidangan seperti bermain dengan hidangan baru dimakan mereka.

Oleh itu, pengambilan multivitamin yang berperisa dan berbentuk selain berwarna-warni sebenarnya menarik perhatian kanak-kanak bagi mengamalkan pengambilan sekurang-kurangnya lapan vitamin yang tidak dapat diberikan menerusi pemakanan seharian si kecil.

Lapan vitamin berkenaan ialah vitamin A, B1, B2, B3, B6, C, D dan E. Secara ringkasnya vitamin A diperlukan untuk tumbesaran normal, kekuatan tulang, gigi dan penglihatan yang baik. Vitamin B1 pula diketahui mampu mengekalkan kesihatan otot dan sistem saraf.