Tuesday, July 20, 2010

Ratu 16 julai

Lengan kembang payung
Oleh Siti Nur Almizan Aripin



BERDASARKAN dalil al-Quran dan hadis, amat jelas bahawa isu aurat bukan perkara remeh kerana ia wajib untuk lelaki serta wanita. Ketika ini, penerimaan masyarakat terhadap fesyen Muslimah memberi petunjuk positif bahawa wanita kini mulai sedar tanggungjawab mereka untuk berpakaian mengikut kehendak syarak. Selain kesedaran dan kefahaman terhadap suruhan agama, industri fesyen Muslimah yang semakin meriah juga dikatakan menjadi pendorong utama untuk mereka beralih kepada gaya sopan. Sehingga kini, pakaian gaya Muslimah mempunyai pengikut tersendiri sehingga mendorong penggiat fesyen untuk lebih aktif menghasilkan persalinan Muslimah selari aliran fesyen semasa.

Tiada lagi kurung longgar atau jubah labuh tanpa potongan kerana pentas gaya Muslimah kini dilihat semakin ceria dan penuh gaya. Pemilik Butik Sentuhan Jelita, Fendi Osman, berkata Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya asalkan ia masih dilakukan mengikut lunas yang ditetapkan agama.
"Di Sentuhan Jelita sendiri, kami sememangnya menjaga setiap produk yang dikeluarkan demi menjaga nama baik agama dan memelihara wanita Islam supaya berpakaian sopan menutup aurat. "Justeru, walaupun rekaan yang dihasilkan tampak moden, jika diteliti, ia tetap menjaga penampilan Muslimah supaya kelihatan manis dan sopan," katanya.

Bersesuaian dengan kredibiliti jenama ini yang sudah bertapak sejak empat tahun lalu, Fendi mengakui inovasi pereka memainkan peranan penting di dalam menghasilkan busana Muslimah yang menawan. "Terbaru adalah koleksi Aidilfitri daripada Sentuhan Jelita yang banyak mengetengahkan helaian jubah seluar dan jubah moden dengan perincian manik unik untuk digayakan pada pagi lebaran. "Bukan hendak menafikan keindahan pakaian tradisi, tapi kami ingin mempelbagaikan fesyen Muslimah supaya kelihatan lebih stailo dan terkini," katanya. Perincian digunakan diperbuat daripada manik Jepun dan juga tatahan kristal Swaroski yang tidak terlalu sarat pada material seperti sifon, lycra dan fabrik bercorak flora.

Sentuhan Jelita juga banyak bermain dengan inovasi pada bahagian lengan jubah dan pastinya lengan belon (puff) dan cekak (cuff) masih menjadi taruhan. "Jubah moden dengan lengan kembang payung juga diramalkan menjadi rebutan ramai kerana gaya dramatik membuatkan ia kelihatan menawan," katanya. Fendi berkata, menariknya di dalam koleksi jubah terbaru itu, pelanggan juga berpeluang memiliki rekaan jubah digelar Jubah Datuk Siti diperbuat daripada sifon dengan potongan garis empayar (empire line). "Memandangkan saingan fesyen Muslimah amat sengit ketika ini, kami menukar gaya fesyen di butik setiap minggu. Selain bertujuan untuk menarik kedatangan pengunjung melalui penggayaan fesyen yang pelbagai, butik kami juga turut melakukan diskaun antara 10 hingga 50 peratus bagi barangan terpilih setiap bulan," katanya. Solekan: Chomel Fadilah (016-319 7500).

Wednesday, July 14, 2010

Ratu14 Julai

Fesyen Sogo KL
Koleksi baru pelbagai musim serlah penampilan
Oleh Hidayah Mohammad



FESYEN dan wanita tidak dapat dipisahkan. Bagi mereka yang sentiasa ingin menjaga penampilan, kesempatan keluar ke pusat beli belah, mata liar melihat ke segenap pelusuk premis memburu koleksi fesyen pakaian dan aksesori terkini bagi menyerlahkan keyakinan diri ketika mengatur langkah.


Dengan cuaca panas di Malaysia hampir sepanjang tahun, memberikan bonus kepada mereka untuk bergaya santai tanpa menyesakkan fikiran untuk memilih fabrik, corak dan reka bentuk terbaru untuk dipadankan dalam apa juga gaya.


Memenuhi impian wanita itu, sudah pasti pusat beli-belah dan rangkaian butik di seluruh negara akan menyempurnakan keinginan itu dengan menawarkan pelbagai koleksi terbaru bagi menarik perhatian mereka. Tidak terkecuali, Sogo Kuala Lumpur (Sogo KL), antara pusat beli-belah pilihan ramai, turut menyertai kemeriahan berkenaan menampilkan koleksi terbaru menerusi lebih 20 jenama yang bernaung di bawahnya. Bersempena itu, Sogo KL mengadakan acara pertunjukan fesyen bertemakan Booming Blossoms di Tingkat Satu, ruang beli-belah di bahagian wanita.


Dalam pertunjukan fesyen itu, ia menampilkan pelbagai jenama untuk pelbagai acara, meliputi majlis rasmi, korporat, kasual, bersantai dan ke pantai. Bermula dengan gaun petang untuk acara majlis anugerah berprestij, blaus, seluar, kemeja, skirt dan jaket juga dipertontonkan untuk digayakan secara kasual. Antara jenama yang menjayakan acara pertunjukan fesyen itu ialah Ellphe, Stafani, Elle, Polo, Seed, Padini Authentic, East India Company, Somerset Bay, Arrow, Padini, Nicole MNJ, Voir, Soda, Applemints, Jeep dan Googles serta beberapa jenama lain.


Bagi menyeimbangkan keperluan berkenaan, tidak saja pakaian, malah Sogo KL turut menampilkan koleksi aksesori terbaru seperti tas tangan dan kasut serta wangian juga menjadi pelengkap imej. Koleksi aksesori barangan kulit terkenal turut disediakan antaranya Sembonia, Guess, Elle, United Colours of Benetton dan Carlo Rino. Pengurus Jabatan Ruang Beli Belah Wanita Sogo KL, Yee Ying Ying, berkata fesyen adalah untuk semua dan masyarakat perlu didedahkan dengan koleksi gaya terbaru serta belajar cara bergaya supaya tampil hebat menerusi acara pertunjukan fesyen.


“Kita sedar fesyen dan wanita tidak dapat dipisahkan. Jika kita melihat setiap wanita di negara membangun seperti London, Tokyo, Milan dan negara lain yang rancak dalam industri fesyen, mereka mengenakan pakaian cantik dan bergaya setiap kali keluar rumah. “Apabila menampilkan koleksi terbaru menerusi acara pertunjukan fesyen Sogo KL, wanita tempatan juga dapat menerapkan elemen fesyen setiap kali mereka keluar untuk menghadiri apa saja acara.


“Selain koleksi pakaian dan aksesori terbaru yang menjadi kegilaan, wangian juga pelengkap kepada inspirasi mereka yang mementingkan imej bersesuaian mengikut acara,” katanya. Tema Blooming Blossoms, KL Sogo adalah bagi memudahkan wanita tempatan mengakses fesyen menerusi jenama yang ditawarkan di tingkat satu pusat beli belah tumpuan ramai itu. Tema musim panas dipilih selari dengan cuaca negara ini, selain koleksi setiap musim yang ada di negara lain juga praktikal untuk warga Asia. Yee berkata, musim panas sinonim dengan cuaca yang suam, bersifat dunia luar, material, fabrik lebih ringan dan semua masyarakat Asia mudah menggayakannya setiap hari.


Menampilkan koleksi baru menerusi jenama di bawah Sogo KL, sekali gus membuka mata wanita untuk terus tampil dengan imej terkini selari untuk mengembangkan industri fesyen tempatan. Sempena musim itu, Sogo KL menawarkan bonus diskaun kepada pengunjung dan pemegang kad ahli S Card. Pengunjung akan menerima beg kembara malam untuk pembelian pada harga lebih RM250 kepada ahli S Card atau RM300 (bukan ahli). Sementara itu, pengunjung juga akan menerima rebat kupon RM20 apabila ahli S Card membelanjakan RM200 dan ke atas dalam satu resit di tingkat beli belah wanita.


Artikel lain:

Kasut tutup untuk musim luruh 2010
Oleh Hidayah Mohammad

CUACA di negara Barat ketika ini sudah hampir bertukar ke musim luruh sebelum bermula musim sejuk. Walaupun Malaysia tidak mengalami perubahan cuaca itu, namun, kita juga turut menerima tempiasnya apabila sering mengalami cuaca mendung dan hujan.

Corak pemakaian dan aksesori pula bertukartukar mengikut perubahan cuaca. Koleksi musim luruh 2010 juga dibawa masuk ke negara kita sungguhpun tidak berapa sesuai menggayakannya Pengolahan gaya mengikut tempat dan gabungan koleksi menyerlahkan penampilan seseorang penggemar fesyen sungguhpun fabrik atau rekaannya tidak sesuai untuk anak Asia.

Bual Fesyen kali ini mengetengahkan koleksi kasut untuk musim luruh yang juga cantik digayakan wanita Malaysia. Sama ada bertumit tinggi atau rendah, tutup atau terbuka, bertali atau tidak, himpunan koleksi kasut musim luruh jenama terkemuka lebih ceria dan menarik. Material atau bahan yang disediakan menjadi keutamaan untuk melindungi kaki dari kesejukan atau tercedera.

Saya tampilkan koleksi kasut sempena musim berkenaan yang dibawa oleh beberapa jenama terkemuka yang turut boleh didapati di Malaysia.Gayakan koleksi itu pada acara kasual, parti mahupun ke mana saja yang tidak membabitkan aktiviti lasak.

Paul Smith
UNTUK mengenakan gaya klasik Inggeris, jenama terkenal, Paul Smith tampil koleksi khas musim luruh. Gabungan warna gelap dan warna tanah untuk koleksi Lea dan warna terang menarik sesuai untuk acara kasual dan rasmi acara tertutup. Gaya bertali dan diikat di depan menunjukkan gaya klasik vintage menutupi keseluruhan kaki. Wanita berani menggayakan koleksi berkenaan bersama skirt pendek dan boleh didapati di pusat belibelah sekitar Lembah Klang. Harga: tidak dinyatakan

Bally
JENAMA terkenal dari Switzerland yang mula dari 185, kali ini menampilkan koleksi kasut bertumit tinggi yang menutupi keseluruhan kaki.Bertali atau tidak Bally kali ini tampil dengan warna hutan hijau dan kelabu asap dari material suede serta kulit pada himpunan Audrey-L, Alessia-P serta beberapa koleksi lain lagi. Seakan kasut but tetapi cantik digayakan bersama skirt pendek, seluar panjang untuk gaya korporat. Harga: RM4,370 dan RM 3,740

Mulberry
KAYA dengan gaya moden lagi terkini, jenama Mulberry tampil koleksi Studded datang berwarna hitam dan ungu bertumit tinggi.Kasut bertutup penuh ala but potongan rendah untuk musim luruh kali ini. Penuh dengan stud pada keseluruhan kasut koleksi berkenaan untuk acara eksklusif. Material penuh menggunakan fabrik glamor suede sebagai keselesaan kepada pemakai. Harga: tidak dinyatakan.

Ratu13 Julai

Jenayah juvana
Oleh Jami'ah Shukri

KANAK-KANAK seawal usia tujuh tahun melakukan jenayah bunuh, rogol, rompak, mencederakan orang dan mencuri? Laporan sebegitu seakan tidak masuk akal. Namun itulah realiti yang berlaku di Malaysia, bukannya di Hollywood.

Kadar indeks jenayah membabitkan remaja dan kanak-kanak seawal usia tujuh hingga 18 tahun meningkat seperti didedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang empat bulan pertama tahun ini.



Jenayah bunuh saja mencatat 18 kes; rogol (198), rompak berkumpulan bersenjata api (dua); rompak berkumpulan tanpa senjata (185); rompakan (85) dan mendatangkan kecederaan (141), selain 382 kes kecurian.

Dalam persekitaran masyarakat yang semakin kompleks, jenayah di kalangan remaja dan kanakkanak tidak lagi dianggap mengejutkan dan sewajarnya memerlukan penyelesaian lebih komprehensif supaya tidak menjadi barah dalam masyarakat.

Kanak-kanak dan remaja adalah produk untuk generasi dewasa. Ibu bapa adalah antara yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap pembabitan jenayah itu.

Adakah kanak-kanak menjadi mangsa atas keterlanjuran mereka? Pengabaian ibu bapa atau penjaga yang tidak keruan mencari nafkah hidup, kurang ilmu, kemahiran keibubapaan, kepincangan institusi kekeluargaan menyumbang secara langsung atau tidak langsung dalam keruntuhan moral mereka.

Pensyarah Jabatan Pendidikan dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata dari sudut psikologi, kanak-kanak dan remaja yang tidak menerima perhatian serta kasih sayang mencukupi akan memanifestasikan ketidakcukupan ini dalam bentuk salah laku untuk menarik perhatian kepadanya.

Jika ibu mengenal pasti dari awal permasalahan anaknya, ia sekurang-kurangnya dapat diuruskan dengan berkesan dan mungkin tidak sampai ke tahap kritikal.

"Sekiranya kanak-kanak dan remaja tidak mendapatkan maklum balas dan perhatian, mereka mudah terjebak dengan salah laku jenayah ke tahap serius.

"Ibarat berlaku jeritan batin, berilah perhatian kepadaku, aku perlukan kamu. Kes demi kes akan terus berlaku seandainya jeritan batin mereka tidak diendahkan oleh golongan dewasa khususnya ibu bapanya yang sama ada terleka atau terpaksa mencari sara hidup sampai tidak ada masa untuk `Berhenti, Melihat dan Pergi'," katanya.

Lebih parah, sekolah pula tidak banyak membantu lebih-lebih dengan populasi pelajar dan saiz kelas yang besar menjadikan tumpuan guru begitu terhad.

Dr Haslee berkata, guru menerima tekanan ke atas peningkatan prestasi akademik pelajar yang menjadi penilaian utama prestasi kerjanya.

"Oleh itu, usaha sepatutnya digembleng ke arah itu. Banyak guru merintih terutama yang mengajar di sekolah berprestasi rendah. Jika golongan guru tertekan dan tidak mampu menguruskan tekanan dengan baik, pelajar jadi mangsa. Malah kerap juga dilaporkan di media mengenai kes guru mendera pelajar," katanya.

Jati diri kanak-kanak dan remaja dalam persekitaran terabai biasanya lemah, rapuh dan mudah terpengaruh oleh anasir sosial yang negatif.

Rentetan itu, mereka mudah terjebak dalam apa juga salah laku. Semangat kekitaan yang tidak dikecapi di rumah dan sekolah, kemudian dikongsi dengan rakan senasib.

Artikel lain

Program realiti kanak-kanak
Oleh Siti Nur Almizan Aripin

PERCAYA atau tidak, ada pendapat menyatakan bahawa kanak-kanak sekarang kekurangan masa dan galakan daripada ibu bapa untuk menikmati sedikit waktu mereka bermain.
Masa mereka lebih banyak dihabiskan dengan permainan televisyen dan menonton siaran kartun kegemaran, selain aktiviti yang berstruktur selepas waktu sekolah seperti kelas tambahan.
Memahami keperluan bermain di kalangan kanak-kanak memberi ilham kepada Johnson & Johnson meneruskan program realiti televisyen untuk kanak-kanak Jom Main! Musim 2 Bersama Jonhson's Baby Powder.
Melalui program realiti televisyen itu, pelbagai aktiviti menarik bertujuan untuk merangsang perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak sudah dirancang antaranya tele-match, wall climbing, menggelecek bola, menjaringkan bola keranjang serta tarian sosial.

Pupuk komunikasi
Nor Afzan Mohamad Yusof

SALAM sejahtera. Bertemu kembali dalam ruangan kecil ini, bagaikan memberi tiupan semangat kepada saya untuk berbicara lagi mengenai dunia kanak-kanak yang amat rapat dengan diri saya, untuk sekian kali sejak bergelar ibu, lapan tahun lalu. Walaupun sebelum ini saya dan kumpulan kerja di Ratu, melakukan giliran mengendalikan ruangan masakan serta kraf, tetapi cerita mengenai kanak-kanak tidak pernah kontang.

Ada-ada saja pengalaman yang saya boleh kongsikan dengan rakan pembaca. Lebih daripada itu, anak saya juga sebenarnya, saya suruh membaca inti pati tertera dalam ruangan ini. Bererti apa yang ingin saya sampaikan kepada mereka boleh dibaca sendiri.

Sama seperti kita, sebenarnya setiap hari banyak perkembangan baru berlaku dalam diri anak. Tetapi kadangkala sebagai ibu, kita sendiri mungkin tidak menyedarinya, atau sengaja tidak mengambil berat soal berkenaan. Seperti adakah anak aku dalam keadaan kecewa hari ini? Adakah anak aku rasa gembira hari ini? Kita mungkin tidak mempunyai masa untuk berkongsi, dan akhirnya ibu membiarkan anak-anak larut dalam masalah sendiri, sedangkan mungkin mereka inginkan masa untuk bercerita, paling utama membantunya menyelesaikan masalah dihadapi dengan cara betul?

Hal seperti ini juga terjadi kepada saya. Apabila sudah bersekolah, saya dapati anak sulung, Najah lebih gemar bercerita kepada saya ketika adik-adiknya tidak berada berdekatan dengan saya. Biasanya ketika saya mencuci pinggan di dapur. Berbanding ketika di tadika, depan adik-adik pun beliau tidak kisah untuk bercerita mengenai apa saja. Hari ini wujud rasa malu dan segan berkongsi cerita membabitkan rakan sekelas lelaki. Perubahan itu saya sedar benar, tetapi seperti saya katakan tadi, lupa, sibuk dan 1,001 alasan menjadi halangan.

Merangsang komunikasi berkesan membantu perhubungan lebih baik antara ibu bapa dengan anak, selain membina kepercayaan diri sendiri serta percaya kepada orang paling rapat dengannya iaitu ibu atau bapa.

Saya pasti sebagai ibu yang bekerja dan mungkin juga pulang lewat ke rumah, ingin menikmati suasana tenang dan anak-anak yang diam untuk seketika saja untuk memberi ruang kepada diri sendiri untuk mandi, bertukar baju atau bersolat, sebelum bergurau dengan anak-anak? Dan ia tidak pernah berlaku sekiranya anak anda masih kecil atau mungkin impian itu tinggal dibawa angin?

Itulah berlaku kepada saya setiap hari, tetapi bagaimana apabila melihatkan anak sulung saya yang kini berada dalam darjah dua leka membuat kerja sekolah, berbanding tiga adiknya yang begitu seronok menyambut kepulangan saya setiap petang?

Masih terngiang-ngiang di telinga saya pesan arwah ibu saya, katanya, ibu adalah teman rapat anak ketika kecil, bila bersekolah dan sudah besar, barulah ibu terasa ditinggalkan kerana ada tuntutan baru untuk mereka seperti bermain dan bersama rakanrakan sebaya. Hakikat yang tidak dapat kita sangkal lagi.

Realitinya, sejak kecil lagi kita perlu mempunyai hubungan baik dengan anak, kerana apabila di jiwanya ada kita, barulah kita boleh berperanan sebagai pemain layang-layang - dilepaskan terbang bebas, tetapi talinya masih dalam genggaman kita sebagai orang tuanya.

Kadangkala keterbatasan anak meluahkan isi hati kerana halangan berpunca daripada diri sendiri. Sukar menjadi pendengar lantaran sibuk dengan tugasan di luar rumah, hingga bertentang mata dengan anak pun boleh dibilang dengan jari. Berlainan dengan rakan sekolah, kemesraan itu lebih terserlah menjadikan mereka mudah mesra.

Alhamdulillah sekiranya mendapat rakan yang tulus, tetapi sekiranya sebaliknya, alangkah malangnya nasib kita. Wang berjuta pun tidak mungkin mengembalikan saat mereka ketika kecil itu. Sebagai ingatan untuk sesama kita, marilah kita mendengar cerita serta luahan hati anak-anak yang sudah pun kita lahirkan itu.



INFO
Komunikasi

* Biarkan anak melakukan kesalahan dalam bercakap dengan anda. Tetapi usah biarkan, sebaliknya bantu anak anda mencari penyelesaiannya. Dengan begitu anak dapat belajar untuk melihat mana yang benar dan mana yang salah. Anak akan menjadi lebih hati-hati lagi dalam berkata-kata.

* Dorong anak agar lebih aktif menceritakan pengalamannya kepada orang tua, lakukan setiap hari supaya ia menjadi kebiasaan. Sekiranya anda dapati anak anak jenis pendiam, mungkin ia berlaku kerana anda kurang merangsangnya untuk berkata-kata.

* Menjadi ibu bapa perlu berilmu. Rajinlah rujuk buku-buku panduan didik anak mengetahui bagaimana cara terbaik memupuk komunikasi dengan anak, terutama dalam zaman siber yang penuh mencabar ini.

* Kenali rakan anak-anak. Berkenalan dengan ibu bapa rakan anak juga mungkin dapat membantu anda bersama-sama mengenal pasti masalah yang mungkin anak anda hadapi sekiranya anak anda jenis `berat mulut'.

* Jadikan waktu makan dan bersolat berjemaah cara terbaik mendekatkan diri dengan ahli keluarga.

Kepentingan multivitamin
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

DALAM proses pembesaran yang dilalui setiap kanak-kanak, mereka memerlukan sekurang-kurang tiga makanan seimbang dalam sehari diikuti dengan makanan ringan berkhasiat sebelum makan tengah hari dan makan malam.

Bagaimanapun, kesibukan aktiviti dan sikap cerewet serta tidak gemar makan kadangkala menyebabkan tidak semua rutin makanan sedemikian dapat dipatuhi ibu bapa dan kanak-kanak berkenaan. Kanak-kanak juga mengambil masa agak lama untuk menghabiskan sesuatu hidangan seperti bermain dengan hidangan baru dimakan mereka.

Oleh itu, pengambilan multivitamin yang berperisa dan berbentuk selain berwarna-warni sebenarnya menarik perhatian kanak-kanak bagi mengamalkan pengambilan sekurang-kurangnya lapan vitamin yang tidak dapat diberikan menerusi pemakanan seharian si kecil.

Lapan vitamin berkenaan ialah vitamin A, B1, B2, B3, B6, C, D dan E. Secara ringkasnya vitamin A diperlukan untuk tumbesaran normal, kekuatan tulang, gigi dan penglihatan yang baik. Vitamin B1 pula diketahui mampu mengekalkan kesihatan otot dan sistem saraf.

Tuesday, July 13, 2010

Ratu 12 Julai



Fungsi kening
Oleh Siti Nur Almizan Aripin




MATA ibarat jendela hati. Di sebalik bundar sepasang mata, terungkap rahsia kejernihan jiwa seorang insan. Namun, mata yang cantik tidak hanya hadir bersama hati yang bersih kerana kini melalui kepakaran merias bentuk kening, seseorang mampu menyerlahkan keindahan wajah dimiliki.

Sedar akan kepentingan membentuk dan melukis kening di kalangan pencinta kecantikan menyebabkan pakar dunia artistik, shu uemura tampil bersama falsafah unik menggunakan rekaan teknikal untuk solekan kening gaya atelier.

Perkhidmatan merias kening ditawarkan lengkap khidmat rundingan membentuk kening, melukis dan menggayakan bentuk kening selari hasrat untuk menaikkan seri wajah.

Jurusolek bertauliah antarabangsa yang juga pengurus butik shu uemura Mid Valley, Lisa Yap, berkata kening adalah lambang arkitektur paling utama pada wajah dan memainkan peranan penting dalam melengkapkan ekspresi muka.

"Bentuk kening tidak hanya melambangkan perasaan, tetapi juga mampu melahirkan reaksi emosi dan juga apa yang berada di dalam pemikiran seorang individu.

"Bentuk kening yang tebal, tipis atau dilukis tanpa mengikut bentuk tepat gambaran keletihan, kemarahan juga seperti anda sedang teruja," katanya.

Tiga teori diketengahkan pakar kecantikan shu uemura iaitu bentuk, kekuatan dan warna yang mana kesemuanya perlu bersatu bagi mendapatkan bentuk kening yang sempurna.

"Pada asasnya setiap wanita perlu tahu dogma membentuk kening yang cukup mudah menggunakan sebatang pensel penggaris bagi mendapatkan kesan terbaik.

"Perlu diingatkan bahawa panjang dan ketinggian kening mempengaruhi imej wajah sama ada anda kelihatan muda atau nampak feminin, manakala ketebalan atau warna kening adalah merujuk kepada gambaran ekspresi wajah," katanya.

Lisa berkata, menukar tona warna kening berdasarkan fesyen, kehendak solekan atau kerana mahu kelihatan sepadan warna rambut juga mempunyai kesan terhadap ekspresi wajah.

Justeru, selepas membentuk kening bersama pakar kecantikan di butik shu uemura pada harga RM30 bagi setiap perkhidmatan, jangan lupa dapatkan produk terbaik daripada shu uemura bagi mengekalkan bentuk kening menawan.

Pensel kening hard formula ditawarkan di dalam lima warna bagi Hard 9 dan dua pilihan warna untuk Hard 6 dengan harga RM60 sebatang.

"Setiap pensel hard formula yang dibeli akan dibentuk menggunakan kaedah tersendiri gaya naginata, menyamai pedang Jepun kerana bentuk mata pensel sebegitu dijamin mampu memberikan garisan yang lebih semula jadi pada kening.

"Paling istimewa, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan mengasah pensel kening secara percuma di setiap butik shu uemura," katanya.

Selain pensel kening hard formula, shu uemura turut menawarkan rangkaian maskara khusus untuk kening dan menariknya ia mudah diaplikasi, sesuai untuk mereka yang gemar menukar ekspresi wajah melalui solekan.

Tidak ketinggalan, gel kening shu uemura yang lembut, juga sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan bentuk kening yang sempurna pada harga RM75.


Artikel lain:

Lekuk alis mata cantik
Oleh Nor Affizar Ibrahim

KINI, semakin ramai wanita yang gemar dan rajin mengenakan maskara setiap kali bersolek. Antara sebabnya, sudah tentu mereka sudah menyedari bahawa pemakaian maskara memberi impak begitu besar dan tampak lebih cantik pada bahagian mata.
Menelusuri sejarah maskara, ada yang berkata ia sebenarnya bermula dari zaman Mesir awal lagi. Pada zaman itu, masyarakat Mesir gemar sekali menggelapkan alis, kelopak mata, dan bulu mata mereka dengan menggunakan arang yang bercampur bersama beberapa elemen berbeza. Penggunaan kosmetik itu kemudian menyebar hingga ke masyarakat Babylon, Yunani, dan Romawi.
Hari ini, kehadiran maskara sangat beragam, maka formula yang terkandung di dalamnya turut pelbagai. Bahan utama yang paling umum adalah pigmen, minyak, zat lilin dan air. Kadang-kadang, vitamin juga ditambahkan dalam formula maskara, seperti pro-vitamin B5. Kandungan vitamin itu dipercayai dapat melembutkan bulu mata.
Warna pilihan juga banyak, tetapi hitam, pastinya paling popular kerana ia mengisyaratkan keanggunan dan dapat berpadu dengan baik bersama rona kulit dan menonjolkan mata dalam warna apa pun.
Coklat adalah warna kedua digemari kerana dapat memancarkan nuansa alami mata. Jika menginginkan warna lain, ada banyak warna maskara yang tersedia, daripada biru cerah hingga gelap atau pun warna khusus seperti hijau, ungu dan emas. Untuk penampilan yang lebih sederhana, gunakan saja maskara telus.

Bentuk lekuk unik

INGINKAN maskara yang dapat membentuk bulu mata lebih lekuk dan panjang, dapatkan Virtuose Precuous Cells dari Lancome. Dengan kepakaran unik, jenama itu merentasi inovasi dengan mencipta maskara yang boleh menghasilkan bulu mata lekuk panjang dan menyerlahkan kecantikan mata.
Pemakaiannya bukan saja dapat membantu penjagaan pada bulu mata dengan lebih baik, tetapi juga memberikan kesan magik lekukan lebih panjang dengan sapuan tebal yang optimum. Maskara kalis air dan mengandungi kompleks berkaitan komponen struktur selular itu direka khusus untuk bulu mata wanita Asia. Ia juga membuatkan mata lebih bundar dan tahan lama.
Harga: RM93

Tidak tampak palsu
DENGAN beberapa sapuan maskara, Lash Power Volumizing daripada Clinique anda akan pasti berasa puas hati kerana dapat memiliki mata yang menawan. Maskara itu memberikan volum dan sapuan yang sempurna. Ini kerana rumusan sistem volum maskara itu mengandungi serat nilon dalam matrik polimer fleksibel bagi meningkatkan secara lembut volum bulu mata tanpa memperlihatkan ia adalah palsu.
Sapuan pada mata mudah ditanggalkan iaitu dengan hanya menggunakan air suam.
Warna pilihan ada dua iaitu hitam onyx dan coklat gelap.
Harga: RM75.

Tindakan dua cara
BERASASKAN kajian terkini oleh penyelidikan L'Oreal Paris, maka terciptalah Renewal Lash Serum bagi membantu bulu mata tampak panjang, penuh dan kuat. Produk terkini itu adalah inovasi utama bagi bulu mata, sekali gus pemakaiannya menyerlahkan lebih kemewahan untuk mendapatkan bulu mata yang lebih kemas, teratur dan memikat.
Serum yang ada membuat tindakan dalam dua cara bagi memperlihatkan kemewahan pada bulu mata iaitu membekalkan tenaga yang perlu untuk membangunkan bulu mata dengan adanya pro-Vitamin B5 dan membataskan kehilangan bulu mata kerana serum itu mengandungi rumusan yang bertindak sebagai perangsang sintesis kolagen.
Apabila disapukan ia mampu memperlihatkan mata semula jadi, lebih bertenaga dan bersinar.
Harga: Tidak dinyatakan

Ratu10 Julai



Sinar baru
Oleh Rohaniza Idris; Hafizah Iszahanid; Nor Afzan Mohamad Yusof

PERPISAHAN sememangnya memeritkan. Lebih perit apabila istana kasih yang dibina, ikatan janji sumpah sehidup semati yang dimeterai agar hubungan kekal sehingga ke akhir hayat atas nama sebuah perkahwinan, akhirnya terputus di tengah jalan.

Dalam sekelip mata, pasangan yang selama ini menjadi teman di kala susah dan senang, berubah menjadi musuh. Malah, boleh dikira sebenarnya mereka yang boleh menjadi sahabat selepas bercerai.

Tidak perlu menuding jari siapa salah, siapa benar, kerana hakikatnya, kehidupan perlu diteruskan. Baik si duda mahu pun yang bergelar janda, apa yang perlu diutamakan adalah kehidupan yang mendatang, bukan saja demi anak-anak tetapi kebahagiaan diri sendiri - baik minda mahu pun emosi. Apa yang sudah berlaku, selayaknya dibiarkan berlalu.

Saling memusuhi tidak membawa manfaat, apa lagi bekas suami atau bekas isteri itu masih bermakna dalam kehidupan anak-anak. Inilah pegangan dua personaliti - pengarah muzik terkenal tanah air, Ramli MS dan bekas isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal, yang memilih jalan tengah meneruskan kehidupan selepas perkahwinan masing-masing menemui titik noktah.

Bagi Ramli, bohonglah jika perpisahan dengan isteri yang dikahwini selama 13 tahun, tidak meninggalkan kesan. Namun, walaupun perit untuk diterima, beliau menggagahkan diri menghadapinya. Kesepian? Ya, memang ada, namun bagi bapa dua anak ini, perceraian bukanlah halangannya meneruskan kehidupan.

"Sesiapa pun tidak mungkin terfikir atau mahukan perceraian.

Tetapi kita harus berfikiran realistik. Apa yang berlaku, biarkan saja ia berlalu. Paling penting, perpisahan itu tidak merenggangkan hubungan saya dengan bekas isteri. Kami masih berkomunikasi sehingga ke hari ini.

"Saya dan bekas isteri juga masih boleh bekerja bersama di pentas yang sama. Kami menjalani hubungan yang sangat profesional sebagai rakan sekerja. Saya bersyukur kerana bekas isteri sependapat serta mempunyai penilaian yang sama dengan saya mengenai perhubungan kami ini," katanya merungkai kisah kehidupan selepas bergelar bapa tunggal sejak tujuh tahun lalu.

Ramli, 50, berkata, beliau dan bekas isteri berpisah tanpa sebarang konflik atau pergaduhan tetapi ditakdirkan jodoh mereka tidak panjang kerana ketentuan-Nya.

Enggan berkongsi sebab perpisahan itu, bagi Ramli, biarlah perkara itu kekal rahsia antaranya dengan bekas isteri.

"Kami berpisah secara baik dan sehingga kini masih menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada dua anak sama seperti sebelum bercerai.

"Walaupun tidak tinggal sebumbung lagi dengan anak-anak, tanggungjawab menyekolahkan anak dan membesarkan mereka berdua tidak pernah berhenti," katanya yang mengakui kehidupannya selepas berpisah tetap sama walaupun tidak lagi tinggal bersama isteri dan anak-anak.

Mengakui kesibukan kerja serta keakraban dengan anak-anak menyebabkan dirinya tidak pernah kesunyian. Malah anak-anaknya juga tidak berasa kehilangan atau terpisah daripadanya selepas bercerai.

"Saya masih bercuti dan menjalani aktiviti hujung minggu bersama anak- anak. Malah, sepanjang persekolahan saya mengambil tahu mengenai pelajaran mereka," katanya.

Apakah rahsianya mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri dan anak- anak? Jangan berdendam dan saling membenci.

"Saya terus menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anak dan tidak sama sekali menjadikan anak-anak mangsa perpisahan kami.

Saya percaya inilah formula yang perlu dilaksanakan oleh setiap pasangan yang berpisah," katanya yang enggan menolak takdir andai sudah tersurat, bakal bergelar suami semula.

Namun, pada usia menghampiri 51 tahun akhir tahun ini, perkara utama difikirkannya adalah melunaskan tugasnya menyekolahkan anak-anak.


"Anak lelaki saya akan tamat pengajian kolejnya tidak lama lagi dan kini tumpuan lebih diberikan kepada anak perempuan saya berumur 15 tahun yang akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Saya tahu tugas sebagai bapa tidak berakhir sampai bila-bila tetapi apabila anak- anak tamat pengajian bermakna mereka akan berdikari selepas itu," katanya.

Nasihatnya kepada bapa tunggal - jangan abaikan tanggungjawab serta memburukkan pasangan selepas bercerai.

Sementara itu, kelibat Maizawati ketika hadir sesi temu bual dan fotografi mencuri tumpuan pelanggan di sebuah restoran, baru-baru ini. Mengenakan jubah hitam lengan potongan payung, tanpa solekan tebal, tidak sedikitpun melenyapkan kejelitaan wajah wanita yang sudah dua kali bergelar janda.

Nyata status janda melonjak nama Maizawati. Walaupun bunyinya tidak begitu enak didengari, itulah hakikat yang tidak dapat dielakkan apabila menyebut nama itu yang kini popular sebagai duta beberapa produk.

"Saya tidak terdesak, sebaliknya menyifatkan ia rezeki menampung perbelanjaan anak-anak. Saya tidak mati dengan kata-kata penghinaan sebaliknya akan semakin cuba memperbaiki hidup untuk menampung hidup. Kalau bukan saya, adakah orang lain membantu atau menyalurkan wang?" katanya.

Perkahwinan pertama pada usia 17 tahun dikurniakan dua cahaya mata, Deanna Sofea (17) dan Daniel Arif (16) dan perkahwinan kedua bersama Akhil, beliau dikurniakan empat anak - Siti Nur Maisarah (13),Muhamad Shariff Hidayahtullah (12), Muhamad Shakir Hidayahtullah (9) dan Muhamad Syafrin Hidayahtullah (3).

Hanya tiga anak menetap bersama Maizawati, yang lain diserahkan kepada bekas suami. Melalui dua kali kegagalan dalam rumah tangga, realitinya ia pengalaman yang bukan mudah untuk ditanggung.

"Perkahwinan pertama pada usia 17 tahun dengan cikgu sekolah saya. Pada usia saya masuk 20 tahun, kami pun mengambil keputusan untuk berpisah. Kebetulan, ketika saya dalam proses hendak berpisah dengan bekas suami pertama itu, secara tidak sengaja, saya bertemu (bekas) suami kedua...tetapi jodoh tidak panjang juga. Sebetulnya saya tidak pernah menyangka akan bergelar ibu tunggal sekali lagi, saya cuma membayangkan kehidupan berkeluarga yang harmoni, tetapi itu takdir Allah," katanya.

Enggan berselindung, Maziah mengakui pada usia 35 tahun, hatinya kini terpaut chef bujang berusia 23 tahun. Tegasnya, biar siapapun orangnya, doanya pilihan itu nanti dapat memberi kebahagiaan kepada dirinya sekeluarga.


Maizawati turut menasihati wanita senasib dengannya supaya jangan cepat putus asa.


"Kita perlu reda dengan apa yang berlaku, ini ketentuan Tuhan, pastinya ada hikmah di sebaliknya. Anak-anak adalah kekuatan saya. Melihat mereka, saya rasa kebahagiaan mereka lebih penting daripada hidup ini. Sekarang ini saya hanya memikirkan bagaimana hendak menguruskan kehidupan anak-anak dan diri sendiri kerana kini sayalah ketua keluarga. Jangan lagi fikir perkara lalu, yang penting apa yang ada di depan mata," katanya.

`Elak musuhi pasangan'

APAKAH ada sinar bahagia selepas bercerai? Mungkin tidak bagi yang trauma mendengar perkataan cerai itu, tetapi hakikatnya, semua orang berhak menikmati bahagia biarpun selepas perkahwinan terputus di tengah jalan.


Bagi pakar motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, ada kalanya, perceraian bukan saja jalan penyelesaian kepada pertelingkahan tetapi cara terbaik untuk menginsafi diri.

Sehubungan itu, beliau berkongsi antara petua kepada lelaki dan wanita yang terpaksa berpisah dengan pasangan masingmasing.

Tip untuk lelaki

* Tanya diri sendiri apa sebab berlakunya perceraian? Jika salah itu berpunca daripada diri sendiri, jadikan tempoh bercerai sebagai tempoh untuk menginsafi diri dan bukan menyalahkan bekas pasangan.
* Jangan memusuhi bekas isteri sebaliknya cuba untuk berbaik-baik kembali.
* Jangan cepat mencari pengganti. Sebaliknya jadikan tempoh bercerai untuk sebagai waktu bertenang. Itu sebab Islam menggariskan mengenai talak satu, talak dua dan talak tiga.
* Jangan jadikan anak-anak sebagai mangsa. Bertanggungjawab kepada anak- anak.
* Jangan serahkan tanggungjawab kepada anak-anak sepenuhnya kepada bekas isteri atas alasan sudah berkeluarga baru. Sebaliknya tanggungjawab dan hubungan bapa dan anak tidak akan putus hingga ke mati.
* Ambil berat perkembangan anak-anak dan jangan biarkan mereka rasa terabai sehingga menyebabkan mereka bertindak memusnahkan diri sendiri sebagai membalas dendam kepada ibu bapa.

* Tip untuk wanita
* Belajar untuk cepat menerima kenyataan dan jangan mengikut perasaan.
* Jangan hidup berendam air mata sebaliknya anggap perceraian sebagai hikmah untuk memulakan kehidupan baru. Kekuatan ibu membantu menguatkan semangat anak-anak.
* Jika sebelum ini anda tidak bekerja, cepat dapatkan pekerjaan. Urusan turun naik mahkamah memakan masa yang panjang dan wang yang banyak, tanpa pekerjaan anda akan lebih tertekan.
* Ada kala bekas suami ingkar dalam pemberian nafkah untuk anak-anak, kuatkan diri dan perjuangkan hak anda.
* Percayakan takdir Ilahi dan anggap perceraian itu sebagai hikmah dari- Nya kerana ada kala bagi sesetengah wanita, kehidupan berumahtangga lebih menyeksakan kerana sering didera suami secara fizikal dan mental.


*************************************************************************************

Legasi Super Mokh
Oleh Siti Nur Almizan Aripin

TANGGAL 4 Julai lalu, kelibat bintang sukan terkenal sekitar 1970-an dan 1980-an memenuhi pekarangan Restoran Felda Villa D'Saji, Jalan Semarak, Kuala Lumpur bagi meraikan hari bersejarah anak lelaki tunggal legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Siapa sangka, genap 19 tahun Mokhtar meninggal dunia, majlis persandingan anak lelakinya Mohd Reza, 29, dan isteri, Sharina Mohd Shahrin, 28, berlangsung meriah umpama majlis reunion bagi pemain sukan veteran negara.

Pastinya kelibat pemain Selangor, Zainal Abidin Hassan, Bakri Ibni, Reduan Abdullah; bekas pelari pecut wanita, Datuk Paduka Dr Mumtaz Jaafar dan Datuk Misbun Sidek paling mencuri tumpuan.

Majlis turut disempurnakan dengan kehadiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Friday, July 9, 2010

Ratu 9 Julai

Seri jemeki
Oleh Hidayah Mohammad

PERANAN manik cukup meluas dalam industri fesyen pakaian. Dalam aspek sulaman manik untuk pakaian mahupun tudung pada zaman sekarang, perincian manik berlabuci bagaikan trend terkini dan menjadi ikutan segenap lapisan pengeluar busana.

Penggunaan manik bukan saja dicurahkan di atas helaian baju kurung tradisional dan moden, malah busana Muslimah seperti koleksi jubah juga turut dihiasi dengan keindahan manik berkilauan. Bergaya ringkas dengan potongan sopan, busana Muslimah juga tampak indah apabila diserikan dengan kilauan.

Memandangkan ramai Muslimah gemar mengenakan jubah sebagai penyelamat dalam mengenakan gaya ringkas, rekaan jubah masa kini lebih bijak apabila wanita lebih menyerlah dengan mengenakan gaya jubah taburan manik berlabuci.

Lantaran itu, pengeluar koleksi pakaian Muslimah, Ezuekhai Collection memfokuskan penggunaan taburan perincian manik untuk semua jenis koleksi jubahnya, terutama koleksi busana jubah Elena.

Penyusunan dan rekaan perincian manik pada jubah Elena lebih bermotifkan bunga dan abstrak. Mengetengahkan koleksi berkenaan, sama ada bermotifkan bunga sematamata, abstrak keseluruhan ataupun digabungkan kedua-duanya sekali untuk memberikan pilihan kepada pelanggan.

Pengusaha busana Ezuekhai Collection, Zulazleza Mahmood, berkata setiap rekaan susunan manik jubah Elena adalah idea dan pilihan menerusi bacaan, pengalaman dan persekitaran, namun keutamaan tetap diberikan kepada aspek kualiti.

"Jubah Elena menampilkan penggunaan koleksi dihiasi manik berkualiti yang biasa digunakan dari negara jiran, Indonesia. Tetapi, manik yang digunakan dipilih khas dari Taiwan kerana warnanya tidak luntur. Kilauannya juga menarik dengan rekaan yang mengikut kesesuaian motif, warna fabrik dan jenis fabriknya," katanya ketika ditemui, barubaru ini.

Ezuekhai Collection mengetengahkan jubah Elena dengan penggunaan fabrik jenis sifon Elena. Berikutan fabrik yang agak jarang, kain lapis dalam (lining) pula terdiri daripada fabrik jenis hero iaitu sejenis nama fabrik yang terkenal di Indonesia. Kainnya lembut seperti sifon, tetapi berbeza kerana lebih sejuk dan selesa dipakai.

Selain itu, jenis potongan jubah Elena juga menepati cita rasa wanita Muslimah yang inginkan sedikit kelainan. Mengikut bentuk badan dengan potongan tangan yang pelbagai, setiap keluaran jubah Elena berbeza untuk setiap edisi keluaran. Potongan tangan pada jubah Elena antaranya dicekak pada bahagian tangan menggunakan butang pin atau pelekat getah selain potongan kelawar atau kalung.

Ezuekhai Collection mengetengahkan koleksi jubah berkenaan bagi pilihan wanita Muslimah yang ingin menggayakan busana sopan. Sehubungan itu, koleksi jubah Elena sesuai untuk digayakan dalam majlis seperti makan malam, kenduri kahwin, pernikahan atau pertunangan serta pada Hari Raya.

"Muslimah yang bekerja juga boleh menggayakannya di pejabat, sekolah dan sebagainya. Koleksi jubah Elena dapat digayakan setiap masa mengikut pilihan dengan rekaan perincian manik yang pelbagai. Rekaan terhad dari segi pembuatannya termasuk warna, saiz dan perincian sulaman manik," katanya yang menjalankan perniagaan menerusi internet.

Artikel lain:

UPSR bantu kanak-kanak luar bandar
Oleh Fadzlena Jafar

SYOR supaya Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan mendapat maklum balas yang pelbagai daripada semua pihak. Ada yang bersetuju dan ada juga yang berpendapat sebaliknya, tidak kurang juga yang berpendapat biar UPSR diteruskan, manakala PMR boleh dimansuhkan.

Secara peribadi saya bersetuju dengan pandangan yang akhir. PMR mungkin boleh dimansuhkan, tetapi tidak UPSR. Ini berdasarkan pengalaman saya sebagai pelajar luar bandar yang mendapat manfaat daripada peperiksaan sebegitu. Dengan adanya UPSR, atau ketika zaman saya dulu, Ujian Penilaian Darjah Lima (UPDL) yang mempunyai fungsi sama dengan UPSR, dapat memberi peluang kepada saya untuk menikmati pendidikan bermutu di sekolah berasrama penuh (SBP). http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tinta_UPSRbantukanak-kanakluarbandar/Article

Sejarah tercipta
Oleh Shaidah Shafie

SURAYA (kiri) dan Rafidah melakar sejarah manis bagi wanita dalam institusi kehakiman syariah di negara ini.Perlantikan dua hakim wanita faham naluri, bantu segerakan proses perbicaraanSURAYA Ramli, 31 dan Rafidah Abdul Razak, 39, mungkin tidak dikenali sebelum ini kerana tugas mereka tidak meletakkan mereka menduduki kerusi teratas dalam hiraki penghakiman syariah, tetapi perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong menyaksikan perlantikan mereka sebagai hakim syarie diterima positif seluruh negara.

Perlantikan berkenaan bukan saja melakar sejarah baru dunia kehakiman negara khususnya syarie, ia juga hakikatnya mencambahkan harapan tersendiri bagi wanita yang mungkin pernah terbabit dengan kes di mahkamah syariah. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sejarahtercipta/Article/index_html

Thursday, July 8, 2010

RATU 8 Julai


Dedikasi Haslinda
Ingin bantu remaja nikmati hidup lebih bermutu menerusi kecantikan

Oleh Nurul Nadia Abdul Hamid

MATANG, berpengetahuan, mesra dan petah berkata-kata tidak melambangkan usianya yang baru mencecah 23 tahun. Haslinda Taharin mungkin masih muda, namun pada usia setahun jagung itu beliau sudah bijak menguruskan perniagaan dan kini memiliki dua pusat kecantikan iaitu di Great Eastern serta Wisma Sentral selain satu perniagaan warisan keluarga di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Mahir dalam bidang perawatan dan kecantikan kuku, anak ketiga daripada tujuh beradik itu terbabit secara langsung dalam dunia perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Ibunya, Dahliati Alirudin adalah ahli perniagaan wanita Bumiputera pertama membuka lot di KLCC. Malahan, tidak mustahil jika dikatakan, ibunya adalah inspirasi dan tonggak kejayaan beliau.

“Keluarga saya terdiri daripada komuniti yang menjalankan perniagaan. Jadi, minat dalam perniagaan bercambah kerana saya sudah didedahkan dengan ilmu perniagaan sedari kecil,” katanya ketika ditemui di DnT Salon, KLCC, baru-baru ini. Meskipun hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kecekapan dan cara berfikir yang efektif serta mempunyai strategi perniagaan sistematik membantu gadis ini untuk berjaya.

Menariknya, bukan beliau seorang yang meneroka perniagaan dalam dunia kecantikan. Abangnya, berkhidmat sebagai pakar rambut, kakaknya bergelar pakar kecantikan, manakala adiknya pula seorang pembantu pendandan rambut profesional. Terbabit dalam lingkungan kerjaya sama, mereka selesa berbincang antara satu sama lain dan bekerjasama mengendalikan pusat kecantikan milikan ibu mereka bersama-sama.

“Bukan senang membahagikan masa apatah pula perlu menguruskan banyak perniagaan dalam satu masa. Oleh itu, saya selesa berbincang, berkongsi pendapat dan mengamalkan konsep kerja yang betul, teratur serta teliti,” katanya. Lantaran itu, bekas penuntut jurusan kecantikan di OPI itu mengimpikan akademi kecantikan sendiri. Meskipun masih setahun jagung dalam bidang perniagaan, gadis manis itu menyimpan cita-cita tinggi.

Selain itu Haslinda juga mempunyai impian murni, ingin membantu golongan remaja yang sering terjebak dalam masalah sosial. Baginya, masalah sosial yang kian berleluasa kini tidak harus di pandang remeh. Apatah pula, katanya, remaja berkenaan sebenarnya kekurangan perhatian dan perlukan bimbingan serta panduan bagi menjalani hidup baru dan diterima dalam masyarakat seperti insan lain.

“Saya ingin membuka pusat kecantikan khusus buat remaja bermasalah seperti bohsia. Daripada dibiarkan melarat, baik kita latih, dedahkan mereka dengan dunia pekerjaan dan jadikan mereka ‘insan’ supaya mereka bangkit daripada masalah lalu dan menjadi insan berjaya, kelak,” katanya.

Menyifatkan bukan mudah merealisasikan impian sedemikian tanpa bantuan kerajaan, beliau tetap kental menjayakannya secepat mungkin. Walaupun dana menjadi kekangan utama, ia cuba ditangani sebaik mungkin bagi menggapai impiannya itu. Bercerita panjang mengenai minat awalnya, sedari kecil Haslinda bercita-cita menjadi juruterbang.

Bagaimanapun, bapa menentang cita-citanya itu kerana menginginkan anaknya bekerja sendiri, bukannya makan gaji. “Mulanya, bapa kata ciri-ciri juruterbang tidak sesuai dengan saya kerana kerjaya itu seolah-olah kasar bagi wanita. Dia ingin anak dia menjadi cantik dan punyai penampilan menarik kerana dia jenis yang sukakan kecantikan.

“Malahan, dia lebih menggalakkan kami bekerja sendiri daripada bekerja ‘makan gaji’ sepertinya di samping berdikari sendiri,” katanya yang kini bangga melihat hasil usahanya.

ARTIKEL LAIN:

Anak patung versi tempatan
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

Aktiviti menyeronokkan mampu kembang minda kanak-kanak dan semangat cinta kepada negara

DINAH Lai yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam penghasilan patung berdasarkan budaya tempatan dan boneka berkata, bagi menerapkan nilai murni dan rasa bangga sebagai anak Malaysia di kalangan kanak-kanak moden masa kini, satu ekspo gabungan tenaga bersama Beaconhouse Sri Inai School diadakan pada Julai ini.

Dalam ekspo yang bakal diadakan itu nanti, kanak-kanak akan didedahkan dengan pameran patung masyarakat yang mengenakan busana tradisional mengikut adat perkahwinan, perayaan dan pemakaian harian serta suasana persekitaran kampung sekitar 1940 termasuk aktiviti yang dilakukan penduduk ketika itu. (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Anakpatungversitempatan/Article/index_html)

Legasi ‘jenama etnik’
Oleh Nor Affizar Ibrahim

MENCAPAI usia sehingga satu abad dan terus bertahan unggul bukanlah mudah, bahkan bukan sesuatu yang lazim berlaku untuk sesuatu jenama produk. Namun, jenama sos dan bahan perasa terkenal, Lee Kum Kee sudah pun membuktikan keupayaan dapat bertahan sehingga ke tahap itu. Pastinya, untuk berada di puncak sekarang, perancangan atau strategi teliti mahupun pelaburan yang banyak perlu dibuat.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Pegawai Operasi Kumpulan, Lee Kum Kee International Holdings Ltd, George Tsang kepada wakil media dari Malaysia dan Singapura yang membuat lawatan di ibu pejabat Lee Kum Kee Hong Kong di Tai Po, Industrial Estate di Hong Kong, baru-baru ini. (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Legasi__8216_jenamaetnik__8217_/Article/index_html)


Chef bertarung
2010/07/08

Pertandingan Selebriti Chef Ideal kembali untuk musim kedua CINTA kepada makanan tidak pernah mengenal sempadan. Tidak hairanlah, semakin ramai rakyat Malaysia kini menjadi lebih kreatif di dapur dan mencuba pelbagai jenis masakan, lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai program masakan di televisyen (TV).

Sejajar dengan trend itu, F&N Dairies (M) Sdn Bhd (F&N Dairies) melancarkan program TV realiti mereka, ‘Selebriti Chef Ideal®’ untuk musim kedua. Program itu menampilkan 10 peserta akhir yang dipilih dari seluruh negara. Mereka akan bertarung untuk merebut peluang sekali seumur hidup menjadi popular di samping menunjukkan kepakaran memasak mereka kepada seluruh rakyat Malaysia. (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Chefbertarung/Article/index_html)

Spa dan kedai cenderahati kembalikan kecantikan kulit
Oleh Hidayah Mohammad
2010/07/08

MENGETENGAHKAN konsep mencipta semula hubungan alam semula jadi untuk kehidupan seimbang, sihat dalaman dan luaran bukan saja menggunakan produk kecantikan kulit semata-mata. Hakikatnya, bagi mengecapi ketenangan diri secara dalaman lebih bermakna apabila mendapatkan rawatan terapi kecantikan badan di spa kecantikan. (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Spadankedaicenderahatikembalikankecantikankulit/Article/index_html)