

Oleh Nor Affizar Ibrahim
PETAH berkata-kata dan lancar setiap tutur bicara yang dilontarkan. Keyakinan yang ditunjukkan juga cukup tinggi terutama apabila diminta menjelaskan lebih lanjut mengenai cita-citanya untuk menubuhkan badan kebajikan yang akan diasaskan, The Brave Your Dreams Foundation dan kini masih pada peringkat perancangan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, aspirasi tinggi dan kelainan badan kebajikan dipilih yang diutarakan oleh Nurul Akhmar Hannum Naseron itulah yang berjaya memikat hati juri untuk memilihnya sebagai peserta akhir Wanita Pilihan Berita Harian 2010 (WPBH 2010).
Ibu kepada dua puteri itu juga mempunyai beberapa kelebihan lain termasuk cantik, pandai bergaya dan matang memberikan pendapat apabila setiap kali diajukan soalan.
Namun, tidaklah menghairankan jika semua kriteria itu dimiliki kerana ia seiring dengan kerjaya Nurul Akhmar sebagai fasilitator dan pelatih dalam sebuah syarikat terkemuka di ibu negara.
Menjadikan ibu sendiri, Azizah Mohd Dom sebagai tokoh yang paling dikagumi ternyata turut membantunya membentuk diri menjadi wanita yang berani, berfikiran positif dan sentiasa berpandangan jauh.
"Pada saya, seorang tokoh itu tidak semestinya yang dikenali ramai, tetapi seseorang yang memberikan impak mendalam dan inspirasi serta aspirasi tinggi kepada kehidupan seseorang yang lain. Pada saya, tiada wanita lain yang mendorong saya untuk menjadi lebih baik melainkan ibu saya sendiri. Mungkin kedengaran sedikit klise (siapa tak sayang ibu), namun itulah kenyataannya.
"Seorang ibu tunggal dengan hanya berpendidikan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan tidak pernah bekerja tetap sebelum terpaksa menghadapi realiti perit sebuah perceraian, ibu saya berusaha keras, mengatasi segala cabaran, dugaan dan pandangan sinis masyarakat serta sesetengah ahli keluarga terhadap seorang wanita yang berstatus janda, dalam membesarkan kami lima beradik.
"Ibu juga sentiasa memastikan yang kami memperoleh segala keperluan terutama pendidikan yang sempurna. Ketika kami kecil, ibu akan pastikan pulang menjenguk kami setiap minggu walaupun kami tinggal jauh di kampung, manakala dirinya bekerja di kota. Setiap kali pulang, setiap inci helaian buku-buku kami akan diperiksa.
"Hubungan akrab kami umpama sahabat karib membuka ruang untuk kami berkongsi cerita, masalah dan mengurangkan jurang umur yang sedia ada. Hasilnya, kami lima beradik kini berjaya dalam pelajaran, sekurang-kurangnya memiliki segulung diploma dan menjadi wanita yang kental serta berdikari," katanya membuka bicara.
Mengenai penyertaannya dalam pertandingan WPBH 2010, Nurul Akmar berharap ia membuka laluan untuk membantu memartabatkan wanita dan mengubah persepsi stereotaip masyarakat terhadap wanita.
Katanya, wanita bukan hanya suri yang menghias rumah, tetapi adalah sekumpulan individu yang jika diberi peluang berpotensi sangat besar, serba boleh dan boleh diolah serta dijana untuk kebaikan wanita itu sendiri khususnya, di samping keluarga, masyarakat dan negara.
"Pada masa yang sama, saya ingin menjadikan pertandingan ini sebagai satu jentera untuk menarik perhatian dan sokongan pihak tertentu dalam usaha saya untuk merealisasikan penubuhan pusat latihan dan perkembangan kemahiran remaja dan wanita muda serta The Brave Your Dreams Foundation," katanya.
Nurul Akhmar juga ingin berkongsi pengalaman dan kisah kehidupan serta membuktikan kepada masyarakat bahawa tidak semestinya, seorang anak yang berhadapan dengan perpecahan institusi keluarga pada usia yang mentah akan gagal dalam hidup.
Pertandingan WPBH 2010 juga diharapkannya dapat menambah pengalaman dan ilmu dan jika boleh menjadi inspirasi kepada wanita dalam memberanikan diri mereka untuk berusaha menggapai apa yang diimpikan.
"Saya memilih untuk menyalurkan sumbangan penaja untuk pertandingan WPBH 2010 kepada The Brave Your Dreams Foundation. Penubuhan yayasan itu lahir daripada pengalaman sendiri dalam usaha saya untuk menggapai cita-cita dan impian.
"Saya harapkan ia bakal memberikan penyelesaian kepada dilema remaja dan wanita muda di Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang diminati, tetapi tidak memperoleh bantuan atau tidak mampu mengumpul dana diperlukan," katanya.
Nurul Akhmar yang kini menetap di Pandan Indah, Kuala Lumpur berkata, setiap insan punya cerita tersendiri. Ada yang mendapat keputusan cemerlang, tetapi ditawarkan biasiswa untuk kursus yang tidak diminati, manakala ibu pula tidak mampu membiaya untuk kursus lain. Selain itu ada yang langsung tidak mendapat apa-apa tawaran, dan ada yang terpaksa bekerja untuk membantu keluarga serta melupakan cita-cita.
Berbekalkan pengalamanya sebagai anak sulung dan melihat kesusahan ibunya yang menajdi ibu tunggal, Nurul Akhmar tahu betapa sukarnya untuk memastikan diri memperoleh kelulusan yang diingini tanpa membebankan orang tua.
"Dengan bilangan adik yang agak ramai, saya terpanggil untuk membiayai sendiri pendidikan saya, dari diploma hinggalah sekarang (kini sedang mengikuti pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA)) bagi meringankan bebanan keluarga. Saya tahu betapa payahnya untuk membahagikan tumpuan untuk kerja dan pelajaran serta memastikan yang kita mampu untuk mengekalkan prestasi yang baik dalam kedua-duanya.
"Sehingga saat ditawarkan melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana, saya gagal mengumpul dana yang mencukupi untuk suami dan anak-anak turut serta. Saya sebenarnya ditawarkan mengikuti pengajian di United Kingdom tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk mengikuti kursus Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dengan Pengkhususan Dalam Bidang Latihan yang ditawarkan. Sebaliknya, beralih kepada sarjana MBA yang ditawarkan universiti sama tetapi dengan kerjasama kolej tempatan.
"Oleh sebab itulah, dalam misi yayasan yang bakal ditubuhkan saya bertekad memperkasakan wanita dalam menggapai impian. Dengan tertubuhnya yayasan itu nanti, lebih ramai wanita muda yang dapat merealisasikan citacita mereka, seterusnya menyumbang secara positif kepada pembangunan keluarga, masyarakat serta negara," katanya.
Nurul Akhmar turut menegaskan, satu kelainan bagi yayasan itu ialah keupayaannya untuk berdiri sendiri dengan sumbangan tetap daripada pusat latihan dan perkembangan kemahiran remaja serta wanita yang akan dibangunkan. Ini kerana menurut perancangan, antara lima hingga 10 peratus, pendapatan bulanan pusat latihan itu akan disalurkan kepada tabung dana siswa yayasan.
Beralih topik yang sentiasa diminati ramai wanita iaitu kecantikan, Nurul Akhmar mendefinisikan cantik itu adalah sangat subjektif dan bergantung kepada individu.
"Pepatah mengatakan hanya jauhari yang mengenal manikam. Bagi saya, kecantikan itu lebih wajar diukur berasaskan kehebatan intelektual, sahsiah dan jati diri seseorang bukan setakat menilai rupa paras dan fizikal. Seseorang yang cantik, seharusnya mempunyai pakej yang lengkap; bijak, berpengetahuan, berkarisma, berketerampilan, berwawasan, pandai berkomunikasi dan menyesuaikan diri dalam apa saja keadaan serta berani menyahut cabaran. Sekiranya turut dianugerahkan Tuhan dengan rupa paras dan fizikal yang menarik, itu hanyalah satu bonus baginya," katanya.
Pada masa sama, Nurul Akhmar berpendapat, bergaya dan berhias itu perlu, tidak kira di mana wanita itu berada, sama ada di rumah atau di luar rumah, mengikut kesesuaian dan berlandaskan tuntutan agama.
Katanya, penataan gaya dan tatarias yang bersesuaian mampu meningkatkan tahap keyakinan diri seseorang itu secara amnya. Berhias dan bergaya di rumah bagi yang sudah berkahwin, boleh dijadikan satu cara untuk menambat hati suami dan mengukuhkan lagi ikatan kasih yang sedia terbina.
Ditanya lagi adakah dirinya sudah cukup bersedia merebut gelaran utama sebagai WPBH 2010, sekali gus mengungguli tanggungjawab sebagai personaliti dan ikon, Nurul Akhmar tanpa teragak-agak memberikan jawapan ikhlas.
"Kalau hendak menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Saya yakin yang saya seorang yang positif, berkarisma, komited, panjang akal dan berani berhadapan dengan cabaran. Saya percaya dengan pengurusan masa dan sumber yang sesuai, ditambah dengan sokongan pihak yang terbabit dan perancangan yang mantap, saya akan dapat menggalas tanggungjawab diberikan dengan sebaik mungkin," katanya.
PROFIL
Nurul Akhmar Hannum Naseron
* Umur: 31 tahun
* Tinggi: 160 cm
* Berat: 49 kg
* Status: Berkahwin, 2 cahaya mata - Nisa Inarah Shahrizal, 5 tahun dan Ayla Soraya Sharizal, 2 tahun
* Asal: Rembau, Negeri Sembilan
* Bintang: Capricorn
* Anak ke berapa: Sulung daripada lima beradik, kesemuanya perempuan.
* Pendidikan: Sedang mengikuti Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Nottingham Trent University, UK (pengajian jarak jauh). Juga berkelulusan Bachelor in Business Administration (The University of Bolton, UK) dan Diploma in Corporate Communications and Public Relations (Reliance College, KL)
* Pekerjaan: Trainer/ Fasilitator bersama sebuah syarikat terkemuka, pemilik agensi pengurusan bakat dalam talian - Divine Talent Management (http://divinetalents.blogspot.com) dan juga butik dalam talian - Divine Stylista (http://divinestylista.blogspot.com), pengasas kelab peminat buku-buku dan filem-filem The Twilight Saga yang mempunyai keahlian terbesar di Malaysia, Twilighters Malaysia (http://www.twilightersmalaysia.com)
* Hobi: Membaca, mengembara, menonton filem, menari, berlakon, peragaan
* Warna kegemaran: Ungu gelap dan hitam
* Falsafah hidup: Berani menggapai impian (Brave Your Dreams)
Komen dan saranan jurusolek selebriti Avon, Zulfadzli mengenai solekan sesuai untuk Nurul Akhmar Hannum Naseron:
* Nurul Akmar mempunyai warna kulit yang mudah dipadankan dengan semua warna solekan.
* Perlu memberikan tumpuan solekan pada bahagian matanya yang kecil. Antara yang boleh dilakukan menggunakan teknik solekan smokey khusus untuk solekan gaya malam atau menggunakan bulu mata palsu bagi mendapatkan kesan mata lebih galak
* Bagi membentuk bibir lebih sempurna digalakkan supaya menggunakan penggaris bibir dan diserikan dengan pengilat bibir supaya lebih segar
* Dengan kulit yang mulus dan putih, tidak ada masalah untuk Nurul Akmar menggunakan solekan nipis, malah tidak perlu tebal kerana tidak banyak kesan cela ketara pada kulit wajah
* Mempunyai bentuk muka yang lebar, bagi mengurangkannya Zulfadzli menyarankan menggunakan teknik sapuan bedak asas pembayang pada bahagian tepi pipi
Ratu
No comments:
Post a Comment