Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof; Nor Affizar Ibrahim
PUSAT Latihan The New Straits Times Press (NSTP), Seri Pena di Port Dickson, buat pertama kalinya menerima kunjungan 13 wanita jelita untuk meneruskan sesi fotografi, memenuhi syarat penganjur sebelum berentap ke peringkat akhir pencarian Wanita Pilihan Berita Harian (WPBH) 2010, yang dijadualkan awal Jun depan.
Usai sidang media berlangsung di Public Space, Balai Berita, peserta bersama penganjur serta jurukamera dari Asiaphotogroup Club dan wakil Orked Bridal House, berangkat menaiki bas persiaran menuju ke destinasi ditetapkan.
Perjalanan memakan masa kira-kira satu setengah jam, bagaikan tidak terasa dek gelagat peserta yang rata-rata tidak sunyi dengan gelak ketawa, tanda kemesraan yang mula terbit di hati masing-masing. Sambil berbual, sesekali kedengaran jurukamera mengarahkan mereka bergaya dan memberikan aksi menarik di dalam bas berkenaan.
Selepas penganjur memberikan penerangan ringkas berhubung apa yang akan berlaku di Sri Pena, peserta juga amat berminat bertanyakan mengenai lokasi eksklusif yang terletak betul-betul di hadapan pantai Teluk Kemang. Mungkin berkira-kira mengenai kesesuaian pakaian yang akan digayakan di lokasi berlatarkan tepi pantai.
Peserta akhir terdiri daripada mereka yang dipilih pada sesi pemilihan secara langsung dibuat di empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur serta borang penyertaan diterima menerusi kiriman pos.
Sesi berkenaan diadakan khusus bagi kelas dandanan diri dan fotografi yang berlangsung, baru-baru ini. Sesi berkenaan memerlukan peserta bergaya depan kamera bagi membiasakan mereka dengan lensa kamera dan menghilangkan rasa kekok, khususnya bagi peserta yang pertama kali mengikuti pertandingan seumpama itu. Peserta diwajibkan membawa dua pasang baju untuk digayakan termasuk glamor dan kasual anggun sentuhan gandingan warna biru laut serta putih untuk lokasi penggambaran di gigi laut.
Di situ, mereka juga berpeluang menghadiri kelas solekan dan mempelajari kaedah betul berjalan di atas pentas bersama Avon sebagai persiapan ke pertandingan akhir nanti.
Ada peserta yang kelihatan agak gementar, sementara ada yang cukup selesa dan bagaikan tidak sabar beraksi di depan kamera. Selesai menikmati hidangan makan tengah hari, peserta diberikan kunci bilik sebelum berkumpul pada jam 3.30 petang untuk mengikuti sesi beramah mesra dan bersama juara Personaliti Pilihan Berita Harian 2008, Aslinda Ziaty Amir, yang memberikan beberapa panduan dan nasihat berguna termasuk betapa bertuahnya peserta peringkat akhir kerana pertandingan itu memberikan peluang luas kepada peserta membina masa depan lebih baik.
"Setiap peserta perlu mengambil peluang memberikan hanya yang terbaik kerana pertandingan ini menawarkan pengalaman yang tidak tidak ternilai," katanya. Sementara itu Pengarang Wanita, Berita Harian, Fadzlena Jafar, memberikan motivasi kepada peserta bahawa acara di Sri Pena itu tidak setakat peluang fotografi, sebaliknya memberikan penilaian peribadi.
"Semua peserta di sini sama. Saya harap anda memberikan sepenuh komitmen. Buang jauh-jauh perasaan rendah diri atau memikirkan kekurangan diri. Jadikan kekurangan diri sebagai kelebihan dan tonjolkan ia sebaik-baiknya dalam usaha merebut gelaran Wanita Pilihan Berita Harian 2010," katanya.
Pertandingan kali kedua dianjurkan itu terbuka kepada wanita berusia 18 tahun hingga 35 tahun, bijak, berwawasan dan mempunyai hala tuju supaya mampu menjadi ikon dalam usaha memartabatkan imej golongan wanita di negara ini, selain memupuk sifat prihatin.
WPBH menawarkan hadiah bernilai lebih RM10,000 dan pemenang berpeluang menyumbang RM5,000 kepada rumah dan badan kebajikan pilihan mereka. Pencarian WPBH 2010 anjuran Wanita Berita Harian dibawakan oleh Avon dengan penajaan bersama Hot Perfume, Habib Jewel, Glam Hair Studio, Artis Studio, Orked Bridal House, Hajah Maznah Katering dan rakan media, Harian Metro. Berita lain mengenai WPBH 2010 termasuk rakaman acara juga boleh dibaca menerusi laman web www.bharian.com.my atau anjungratu.blogspot.com/.
Sesi bersama Avon menyeronokkan
SEBELAH malamnya, bermula jam 8.30 malam, sesi bersama penaja Avon memberi pendedahan kepada peserta mengetahui lebih dekat peluang perniagaan ditawarkan Avon yang kini memiliki lebih setengah juta pengedarnya di seluruh Malaysia. Penerangan serba ringkas, tetapi padat itu dijayakan Pengurus Perhubungan Awam Avon, Elaine Aisyah dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Avon, Nasaruddin Nasir.
Sesi berkenaan bertambah meriah dengan panduan solekan diberikan jurusolek selebriti Avon, Zulfadzli. Peserta diberikan pendedahan bagaimana mengenakan sapuan bedak dan pembayang tepat untuk wajah individu bagi solekan bertema `glamor'.
"Mendapatkan solekan menyerlahkan keindahan wajah seseorang wanita, pembayang disapu pada wajah perlu tepat bagi mendapatkan wajah lebih kemas sekali gus membentuk ilusi wajah sempurna," katanya.
Sesi soal jawab antara peserta dan jurusolek terkenal serta berpengalaman luas itu silih berganti. Masing-masing teruja untuk mendapatkan panduan dan nasihat daripadanya.
Sesi bertambah rancak apabila peserta diberikan peluang merias wajah sendiri. Apabila cermin diberi setiap seorang, dan kelengkapan mekap tersedia depan mata, tangan masing-masing ligat `menari', mewarna dan melukis wajah semahunya. Derai ketawa silih berganti apabila ada peserta yang bersolek terlalu ringkas, tidak kurang terlalu tebal.
Tetapi nasihat Zulfadzli, interpretasi solekan glamor bukan diukur menerusi ketebalan rona dilayang ke wajah, sebaliknya sedikit biasan kilatan ke wajah, melahirkan rupa baru seseorang.
Tema biru putih
HARI ditunggu-tunggu peserta tiba jua. Seawal jam 8.30 pagi peserta disolek dan didandan rapi mengikut tema glamor oleh kumpulan jurusolek yang menggunakan produk Avon diketuai, Zulfadzli sambil dibantu Nora Ego Studio. Waktu solekan dilakukan secara bergilir-gilir sebelum ke sesi seterusnya iaitu sesi fotografi di kawasan indah sekitar Seri Pena. Molek cuaca bagaikan petanda kejayaan misi kami seterusnya.
Melihatkan peserta mengenakan persalinan glamor dan solekan menawan, pelancong serta pengunjung sekitar, asyik. Menyaksikan wanita bergaya dan beraksi depan lensa kamera, itu pengalaman baru bagi penduduk di situ.
Ada yang bergaya atas bangku tepi pantai, di tepi taman berhias pokok besar, malah tiang batu. Bagaimana lokasi atau keadaan tidak menjadi soal, asalkan riak lentuk tubuh dan senyum menawan, lokasi biasa terus berubah menjadi `luar biasa' dan menakjubkan.
Bagi yang tidak biasa, gayanya agak keras, tetapi kami tidak berputus asa mengajar dan memberikan dorongan kepada mereka menghasilkan gaya dan gambar hidup, dan akhirnya hasilnya cukup membanggakan. Namun, ada ketika ia cukup menguji kesabaran jurufoto, Rosela Ismail yang bukan saja terpaksa menahan cuaca panas terik, tetapi tentunya keletihan apabila terpaksa merakam banyak gambar sepanjang tiga hari di sana.
Busana santai bertemakan biru dan putih mengakhiri sesi fotografi yang diadakan pada sebelah petang. Pepasir kasar, kerikil dan berbatu tajam diredah bagi memenuhi matlamat menghasilkan gambar terbaik. Kerjasama antara peserta dan jurugambar memberikan hasil terbaik. Mungkin pengalaman sebelum itu menjadikan peserta lebih bijak dan mampu menyerlahkan karektor masing-masing.
Keletihan dirasakan sepanjang hari itu memang tidak terkata, tetapi hasil diperoleh memberikan kepuasan kerja yang cukup bermakna. Kenangan terindah di Sri Pena berakhir hingga mentari tenggelam di kaki langit, meninggalkan rakaman indah untuk dikenang hingga ke akhir hayat. Selamat tinggal Sri Pena, moga berjumpa lagi.
No comments:
Post a Comment