Sunday, March 21, 2010

Ratu 19 mac

Telekung eksklusif

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

TELEKUNG tidak perlu pengenalan lagi. Di kalangan wanita Islam serata Asia, telekung berhias molek dengan sulaman dan kerja tangan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia semakin diminati lantaran memiliki warna menarik bersulam kerja tangan yang halus lagi kemas.

Lari daripada rona putih atau kuning cair, akhir-akhir ini telekung berwarna merah jambu atau hijau muda umpamanya menjadi kegemaran wanita yang melihat telekung lebih daripada sekadar pakaian dibawa untuk mengerjakan solat.

Pemilik Qameesa Collection, Norain Basiron, berkata sejak butik berkenaan dibuka kira-kira empat bulan lalu, telekung cantik dengan pelbagai rona mendapat sambutan menggalakkan daripada wanita untuk dijadikan hadiah kepada rakan-taulan, hantaran atau koleksi peribadi.

"Saya dapati telekung berwarna dengan sulaman cantik sering menjadi pilihan untuk hantaran yang mana hari ini pengantin mempunyai tema tertentu. Kalau tema hantaran hijau, maka telekung juga hijau, menjadikan dulang hantaran bertambah cantik dan sempurna," katanya.

Telekung ditawarkan di situ, mempunyai keistimewaan kerana ia didatangkan bersama beg bimbit dan telekung bercorak sama bagi mewujudkan keseragaman dalam bergaya.

Sementara bagi menjamin keselesaan ketika bersolat, telekung indah itu dihasilkan daripada pilihan kain berkualiti seperti sutera tumbuh-tumbuhan dan kapas dalam 50 jenis berbeza.

Berbeza daripada pelbagai segi termasuk jenis fabrik serta potongan. Ada potongan bulat serta jenis bagaikan selendang digelar `Krisdayanti' yang amat cantik untuk dipakai khususnya di kalangan wanita muda.

Katanya, pelanggan bebas memilih jenis sulaman sama ada sulaman goyang atau sulaman tampal. Melengkapkan lagi telekung itu ada beg bersama sejadah sedondon yang menjadi kemestian untuk dipasangkan bersama telekung.

"Produk tersedia di butik ini sebenarnya bagi kemudahan pembeli dan peminat setia koleksi telekung yang kebanyakannya diimport dari Indonesia. Lebih menarik, beg berhias cantik itu membolehkan ia dijadikan sebagai hadiah sempena Hari Ibu, Hari Guru sebagainya kerana ia menawarkan nilai eksklusif menerusi warna dan kerja tangan halus sulaman itu sendiri.

"Pelanggan juga boleh memilih jenis sulaman yang diinginkan sama ada sulaman goyang atau sulam tampal. Perbezaan jenis sulaman membezakan harga untuk setiap telekung yang dijual pada harga RM200 dan ke atas khususnya dalam kategori eksklusif," katanya yang turut menawarkan telekung kecil khusus untuk kemudahan melancong serta untuk kanak-kanak yang boleh didapati serendah RM30 saja.

Mengulas mengenai permintaan, katanya, sulaman paling digemari wanita tempatan adalah sulaman bunga mawar dan corak bunga-bungaan kecil yang menghiasi bahagian tepi telekung untuk telekung berwarna, manakala telekung putih kebanyakannya dihiasi renda berkualiti tinggi.

Norain berkata, telekung mahal menjadi lebih ekslusif lantaran ia membuatkan penampilan tampak lebih istimewa, namun berharap pemakaian telekung yang terlalu cantik tidak mendatangkan riak.

"Selalu juga saya tanyakan kepada pelanggan yang membeli ke mana dia memakai telekung itu, tetapi ramai yang menyatakan telekung cantik itu hanya dipakai di rumah lantaran inginkan kepuasan sendiri.

"Kalau dilihat dari segi positif, saya menilai telekung ini sebagai hadiah kepada diri sendiri lantaran penat bekerja seharian. Bila bersolat dan menadah tangan memohon doa untuk yang terbaik daripada Allah, bukankah ia memberikan rasa bersyukur? Bagaimanapun, kalau ada terdetik rasa riak di hati, lebih baik tidak memakainya untuk tontonan awam di surau atau di masjid," katanya.

Bagaimanapun, katanya, lainlah jika di sesuatu lokasi umpamanya dipenuhi golongan elit, yang mana telekung berwarna bukan lagi menjadi sesuatu yang menarik perhatian lantaran sudah ramai wanitanya mengenakan telekung cantik sebegitu.

"Sekiranya ada perasaan riak, atau tidak mahu menarik perhatian, warna putih paling afdal," katanya.

Bagi penjagaan, katanya, telekung berkenaan cukup sekadar dicuci tangan dan dijemur di kawasan berangin yang tidak terlalu panas kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan kerja tangan halus pembuatan telekung itu.

INFO

* Produk: Menjual dan membekal busana Muslimah seperti telekung, jubah, kemeja-T, blaus dan tudung.
* Alamat: Nombor 340 Lorong Sarawak, Taman Melawati Urban 1, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur.
* Telefon: 03-4147 8414
* Laman web: www.qameesa.com Qameesa Collection

Ratu 18 mac


Yatie terbang tinggi

Oleh Hidayah Mohammad

PADA awal 90-an, beliau pernah menganggotai kumpulan wanita popular, Feminin. Menjadi ikon remaja, tumpuan ramai dalam bidang hiburan ketika itu, kini beliau bersara sepenuhnya dalam arena muzik sebaliknya hanya fokus kepada kerjaya dan keluarga.

Mendiamkan diri bagi Andriati Abdul Rahman, 32, adalah lebih baik kerana beliau sememangnya tidak meminati dunia hiburan. Sejak kecil, beliau tidak pernah terfikir atau mengimpikan untuk menjadi penyanyi, malah lebih mengejar cita-cita untuk memiliki kerjaya profesional.
Beliau yang sinonim dengan gelaran Yatie ketika bersama Feminin dan tiga rakan lain, Asfarina Muhamad atau As, Rozilawati Muhamad (Watie), Nor Intan Zahanariah Abdul Zahrin (Deq Nor), kini adalah orang kedua terpenting dalam sebuah syarikat penerbangan tambang murah, FireFly Sdn Bhd.

Fokus dalam pelajaran walaupun sibuk dalam dunia nyanyian ketika berusia 15 tahun, Yatie mengimpikan kerjaya sendiri. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Perkhidmatan Sokongan yang juga sebaris dengan mereka yang berjawatan Ketua Pegawai Kewangan atau CFO iaitu orang kedua terpenting dalam sesebuah organisasi.

Yatie berkata, gaya hidup sebagai artis berbeza jika dibandingkan dulu dan sekarang. Ia bagaikan satu transformasi kehidupan yang mana sebagai artis yang sentiasa sibuk dengan persembahan nyanyian, kini hidupnya lebih bahagia menjadi orang 'kebanyakan' atau biasa yang tidak menjadi tumpuan ramai.

"Saya terbabit dalam industri penerbangan sejak lapan tahun lalu. Bukan saja menguruskan hal kewangan syarikat, sebaliknya pengurusan hasil serta membabitkan sumber manusia dalam anak syarikat penerbangan kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Setiap bidang tugas saya akui mempunyai cabaran tersendiri.

"Sejak berkhidmat di FireFly, cabaran yang ditempuhi ialah mencari strategi serta cara untuk memberi keuntungan kepada syarikat. Usaha dan kerjasama rapat antara pasukan jabatan serta menggunakan pengalaman dan ilmu yang ada, adalah cara menangani cabaran berkenaan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, baru-baru ini.

Ketika bersama Feminin, Yatie juga pernah menjadi kegilaan remaja apabila kumpulan itu popular dengan lagu Untukmu, Kini dan Kembali, namun kumpulan berkenaan bubar selepas masing-masing ahli kumpulan membuat haluan sendiri. Ketika menganggotai kumpulan berkenaan, beliau sibuk dengan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Walaupun sibuk menyanyi, Andriaty masih memberi tumpuan kepada pelajaran dan beliau meneruskan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan kewangan.

"Alhamdulillah, saya dapat menguruskan kedua-dua bidang berkenaan. Tetapi, kini saya tidak lagi terbabit dalam dunia nyanyian. Sebenarnya, saya kurang meminati dunia hiburan namun saya boleh memberi sepenuhnya masa kepada karier yang sebenarnya saya impikan. Walaupun saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi penyanyi dan tidak hidup dalam dunia glamor, saya bersyukur dan bangga dengan kewujudan kumpulan itu.

"Apabila menjadi ahli kumpulan Feminin, ia bagaikan satu bonus dalam hidup saya, malah saya berasa bangga dan menghargai kenangan silam bersama empat lagi rakan iaitu As, Wanite, Deq Nor dan Along," katanya.

Ditanya mengenai perasaan sekarang selepas tidak lagi terbabit dalam bidang hiburan, beliau yang juga isteri kepada Ketua Penyelidikan Global MCeD, Zalizan Mohamed Noh, berasakan hidup bebas seperti orang biasa.

Diam tak diam, anak kelahiran ibu kota itu sudah mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu. Kehidupan beliau bahagia walaupun masing-masing sibuk dengan tugas pejabat.

"Sebagai isteri bekerja dan suami juga memiliki kerjaya sendiri, tidak dinafikan kami sentiasa sibuk. Namun, kami akan pastikan mempunyai masa bersama untuk makan malam setiap hari serta melakukan aktiviti hujung minggu bersama.

"Walaupun masih belum dikurniakan cahaya mata, ia tidak menjadi isu dalam membahagikan masa. Jika Tuhan kurniakan rezeki anak, saya perlu merancang masa untuk anak pula," katanya sambil tersenyum sambil berharap dan merancang untuk membesarkan keluarga.

Bidang kerjaya sangat mementingkan penampilan dan kecantikan diri. Bagi Yatie, beliau hanya mengamalkan rutin penjagaan harian seperti orang lain. Beliau juga tidak mengamalkan penjagaan diri di pusat rawatan kecantikan seperti spa kerana penjagaan makanan dan amalan sihat sudah cukup untuk tampil cantik.

PROFIL
Andriaty Abdul Rahman
* Usia: 32
* Asal: Kuala Lumpur
* Kerjaya: Ketua Perkhidmatan Sokongan Firefly
* Suami: Zalizan Mohammed Noh, Ketua Penyelidikan Global (Head of Global Reach) - MDeC
* Pendidikan: BBA (Hons) Finance, UiTM
* Kerjaya: - 2002 - 2003 - Eksekutif Kewangan, AirAsia, Kuala Lumpur - 2004-2005 - Pengurusan Akauntan, AirAsia Jakarta - 2005-2007 - Pakar Pengurusan Kewangan, National Air Services, Riyadh, Saudi Arabia - 2008 - sekarang - Ketua Perkhidmatan Sokongan, FireFly, Subang

ratu17 mac

Blaus inspirasi gaun

Oleh Hidayah Mohammad

KOLEKSI blaus atau gaun pendek antara busana paling ringkas dalam semua kategori pemakaian. Menambah ciri keanggunan si pemakainya sempena musim panas kali ini, keindahan blaus pendek menyerlahkan gaya wanita moden apabila menghadiri apa saja acara terutama majlis koktel.

Bukan saja remaja, wanita muda dan berkerjaya profesional juga lebih mudah memilih koleksi gaun pendek tanpa perlu berserabut memilik gabungan koleksi pakaian yang lain untuk disuaipadankan. Lebih ringkas, gaun pendek juga bersesuaian dengan acara malam sama ada secara kasual, parti malam hari, majlis makan malam eksklusif mahupun majlis korporat.

Namun, keindahan busana berkenaan bergantung kepada jenis rekaan, potongan, penggunaan fabrik serta mainan corak pada material.

Kebelakangan ini, semakin ramai yang gemar menggayakan gaun dipadankan bersama celana, sama ada potongan palazo mahupun seluar potongan skinny yang menjadi kegilaan khususnya di kalangan golongan muda.

Menambah koleksi terbaru penggemar fesyen blaus pendek, tiga jenama pakaian wanita, Coast dari London; Jessica dan Colour.eighteen masing-masing dari Hong Kong tampil dengan koleksi baru sempena musim panas kali ini. Di bawah satu bumbung gedung belibelah mewah, Robinsons, The Gardens, koleksi anggun bergaya ketigatiga jenama itu menepati cita rasa wanita moden kerana ia tidak terlalu sarat dengan mainan warna serta aksesori tambahan. Himpunan musim panas

Coast potongan muda
HADIR koleksi anggun bergaya untuk majlis makan malam atau acara prestij, Coast menyediakan himpunan anggun untuk wanita sofistikated dan profesional. Tidak serabut dengan rona yang pelbagai, gaun atau blaus pendek yang disediakan Coast lebih ringkas tetapi kaya dengan keunikan tersendiri.

Koleksi sutera halus perak sesuai digayakan dengan sandal untuk siang hari sementara pada malam kontemporari pula, bezakan ia dengan aksesori tambahan seperti tas tangan serta kasut bertumit tinggi. Mainan warna kosmetik, rona semula jadi, emas, perak dan timah dan warna terang dipilih jenama berkenaan hasil inspirasi dari sebuah cerita masyarakat Greece.

Potongan memikat dan gaya glamor merangkumi fabrikasi dan tekstur indah, sifon tipis, sutera dan kapas dan voiles kontras. Disertakan dengan potong tampal dan renda serta corak bunga diakhiri dengan corak lebih dramatik sekurang-kurangnya untuk acara makan malam eksklusif.

Menyerlah keanggunan, koleksi jenama dari London itu bagaikan melengkapkan hari malam dengan gaun pendek pelbagai potongan indah wanita moden bergaya di samping menjaga penampilan wanita berkelas atasan.

Jenama Jessica

KOLEKSI Jessica kali ini, dilihat bersesuaian untuk wanita muda mengubah penampilan kasual mereka berkonsepkan The Modish Urbanite. Sesuai untuk digayakan ke acara malam berpesta atau majlis koktel tertutup, koleksi Jessica sangat manis bagi mereka bergaya sofistikated dan wanita moden kota.

Koleksi gaun jenama berkenaan sangat konsisten romantis dan feminin. Untuk acara malam, sempena musim panas, jenama dari Hong Kong itu tampil suatu yang terbaru, segar dan lembut selain mudah digayakan dalam konsep anggun dan cantik dengan rona warna menarik.

Antara warna yang dipersembahkan ialah hitam dan putih, coklat, kelabu, warna ceri dan fuchsia, pastel pucat, ungu dan merah ros menambah keceriaan dan kewanitaan untuk acara selepas matahari terbenam. Blaus atau gaun pendek potongan gaun line yang disediakan itu lebih tertumpu pada bahagian bahu dengan penata arah daripada decollete kepada perempuan sensual. Menyerlah penampilan apabila duduk di bawah gemerlap lampu neon kuning dengan kesan gradasi cetak.

Gaun pendek potongan A-line nampak ceria dengan warna mustard, dihiasi etnik khusus kayu dan butiran manik. Fabrik kain renda lebih chic, linen dan pemilihan kain kapas kembang menyerlahkan keanggunan. Koleksi ini cantik untuk wanita muda berusia antara 24 tahun hingga 32 tahun.

Koleksi Colour.Eighteen

KOLEKSI Queen of The Stage di bawah jenama berkenaan menempatkan koleksi gabungan antara gaya ala feminin dan rock. Kombinasi dua entiti pada setiap himpunan gaun pendek Colour.Eighteen begitu sesuai digayakan oleh anak remaja dan wanita muda yang gemarkan koleksi comel untuk digayakan ke majlis koktel atau parti.

Mainan rona terang seperti merah, kuning, fucsia dan jingga adalah warna pilihan utama konsep Queen of The Stage sempena musim panas bersesuaian dengan konsep ala feminin. Bagaimanapun, gabungan gaya rock pula diterjemahkan menerusi warna seperti hitam, putih dan kelabu yang menjadi warna samaran pada koleksi berkenaan.

Corak yang dicurahkan diatas fabrik memberi keceriaan dan menggambarkan sifat seseorang. Musim panas begitu sinonim dengan mainan corak bunga-bungaan selain terdapat juga pelbagai pilihan corak geometri, warna air serta sketsa tangan dan cetak bagi membezakan koleksi pakaian yang bersesuaian untuk acara tertentu bagi mereka yang inginkan sedikit gaya rock terapi menarik dan cantik.

Sehubungan itu, sejajar dengan cuaca panas terik ketika ini, Colour.Eighteen bijak memilih fabrik. Kain jenis kapas dan rayon mengembang serta berkedut selain jenis jersi digunakan dalam menghasilkan gaun pendek supaya pemakai menikmati keselesaan walaupun bergaya moden.

Gaun pendek di atas paras lutut bukan saja hanya terhad bagi wanita tidak bertudung, sebaliknya ia boleh diubah kepada gaya sopan seperti pemakaian seluar panjang jenis ketat dan jaket atau kardigan yang bersesuaian mengikut warna.

Friday, March 19, 2010

ratu16 mac

Impian tinggi Nurul Akhmar


Oleh Nor Affizar Ibrahim





PETAH berkata-kata dan lancar setiap tutur bicara yang dilontarkan. Keyakinan yang ditunjukkan juga cukup tinggi terutama apabila diminta menjelaskan lebih lanjut mengenai cita-citanya untuk menubuhkan badan kebajikan yang akan diasaskan, The Brave Your Dreams Foundation dan kini masih pada peringkat perancangan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, aspirasi tinggi dan kelainan badan kebajikan dipilih yang diutarakan oleh Nurul Akhmar Hannum Naseron itulah yang berjaya memikat hati juri untuk memilihnya sebagai peserta akhir Wanita Pilihan Berita Harian 2010 (WPBH 2010).

Ibu kepada dua puteri itu juga mempunyai beberapa kelebihan lain termasuk cantik, pandai bergaya dan matang memberikan pendapat apabila setiap kali diajukan soalan.

Namun, tidaklah menghairankan jika semua kriteria itu dimiliki kerana ia seiring dengan kerjaya Nurul Akhmar sebagai fasilitator dan pelatih dalam sebuah syarikat terkemuka di ibu negara.

Menjadikan ibu sendiri, Azizah Mohd Dom sebagai tokoh yang paling dikagumi ternyata turut membantunya membentuk diri menjadi wanita yang berani, berfikiran positif dan sentiasa berpandangan jauh.

"Pada saya, seorang tokoh itu tidak semestinya yang dikenali ramai, tetapi seseorang yang memberikan impak mendalam dan inspirasi serta aspirasi tinggi kepada kehidupan seseorang yang lain. Pada saya, tiada wanita lain yang mendorong saya untuk menjadi lebih baik melainkan ibu saya sendiri. Mungkin kedengaran sedikit klise (siapa tak sayang ibu), namun itulah kenyataannya.

"Seorang ibu tunggal dengan hanya berpendidikan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan tidak pernah bekerja tetap sebelum terpaksa menghadapi realiti perit sebuah perceraian, ibu saya berusaha keras, mengatasi segala cabaran, dugaan dan pandangan sinis masyarakat serta sesetengah ahli keluarga terhadap seorang wanita yang berstatus janda, dalam membesarkan kami lima beradik.

"Ibu juga sentiasa memastikan yang kami memperoleh segala keperluan terutama pendidikan yang sempurna. Ketika kami kecil, ibu akan pastikan pulang menjenguk kami setiap minggu walaupun kami tinggal jauh di kampung, manakala dirinya bekerja di kota. Setiap kali pulang, setiap inci helaian buku-buku kami akan diperiksa.

"Hubungan akrab kami umpama sahabat karib membuka ruang untuk kami berkongsi cerita, masalah dan mengurangkan jurang umur yang sedia ada. Hasilnya, kami lima beradik kini berjaya dalam pelajaran, sekurang-kurangnya memiliki segulung diploma dan menjadi wanita yang kental serta berdikari," katanya membuka bicara.

Mengenai penyertaannya dalam pertandingan WPBH 2010, Nurul Akmar berharap ia membuka laluan untuk membantu memartabatkan wanita dan mengubah persepsi stereotaip masyarakat terhadap wanita.

Katanya, wanita bukan hanya suri yang menghias rumah, tetapi adalah sekumpulan individu yang jika diberi peluang berpotensi sangat besar, serba boleh dan boleh diolah serta dijana untuk kebaikan wanita itu sendiri khususnya, di samping keluarga, masyarakat dan negara.

"Pada masa yang sama, saya ingin menjadikan pertandingan ini sebagai satu jentera untuk menarik perhatian dan sokongan pihak tertentu dalam usaha saya untuk merealisasikan penubuhan pusat latihan dan perkembangan kemahiran remaja dan wanita muda serta The Brave Your Dreams Foundation," katanya.

Nurul Akhmar juga ingin berkongsi pengalaman dan kisah kehidupan serta membuktikan kepada masyarakat bahawa tidak semestinya, seorang anak yang berhadapan dengan perpecahan institusi keluarga pada usia yang mentah akan gagal dalam hidup.

Pertandingan WPBH 2010 juga diharapkannya dapat menambah pengalaman dan ilmu dan jika boleh menjadi inspirasi kepada wanita dalam memberanikan diri mereka untuk berusaha menggapai apa yang diimpikan.

"Saya memilih untuk menyalurkan sumbangan penaja untuk pertandingan WPBH 2010 kepada The Brave Your Dreams Foundation. Penubuhan yayasan itu lahir daripada pengalaman sendiri dalam usaha saya untuk menggapai cita-cita dan impian.

"Saya harapkan ia bakal memberikan penyelesaian kepada dilema remaja dan wanita muda di Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang diminati, tetapi tidak memperoleh bantuan atau tidak mampu mengumpul dana diperlukan," katanya.

Nurul Akhmar yang kini menetap di Pandan Indah, Kuala Lumpur berkata, setiap insan punya cerita tersendiri. Ada yang mendapat keputusan cemerlang, tetapi ditawarkan biasiswa untuk kursus yang tidak diminati, manakala ibu pula tidak mampu membiaya untuk kursus lain. Selain itu ada yang langsung tidak mendapat apa-apa tawaran, dan ada yang terpaksa bekerja untuk membantu keluarga serta melupakan cita-cita.

Berbekalkan pengalamanya sebagai anak sulung dan melihat kesusahan ibunya yang menajdi ibu tunggal, Nurul Akhmar tahu betapa sukarnya untuk memastikan diri memperoleh kelulusan yang diingini tanpa membebankan orang tua.

"Dengan bilangan adik yang agak ramai, saya terpanggil untuk membiayai sendiri pendidikan saya, dari diploma hinggalah sekarang (kini sedang mengikuti pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA)) bagi meringankan bebanan keluarga. Saya tahu betapa payahnya untuk membahagikan tumpuan untuk kerja dan pelajaran serta memastikan yang kita mampu untuk mengekalkan prestasi yang baik dalam kedua-duanya.

"Sehingga saat ditawarkan melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana, saya gagal mengumpul dana yang mencukupi untuk suami dan anak-anak turut serta. Saya sebenarnya ditawarkan mengikuti pengajian di United Kingdom tetapi terpaksa melupakan hasrat untuk mengikuti kursus Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dengan Pengkhususan Dalam Bidang Latihan yang ditawarkan. Sebaliknya, beralih kepada sarjana MBA yang ditawarkan universiti sama tetapi dengan kerjasama kolej tempatan.

"Oleh sebab itulah, dalam misi yayasan yang bakal ditubuhkan saya bertekad memperkasakan wanita dalam menggapai impian. Dengan tertubuhnya yayasan itu nanti, lebih ramai wanita muda yang dapat merealisasikan citacita mereka, seterusnya menyumbang secara positif kepada pembangunan keluarga, masyarakat serta negara," katanya.

Nurul Akhmar turut menegaskan, satu kelainan bagi yayasan itu ialah keupayaannya untuk berdiri sendiri dengan sumbangan tetap daripada pusat latihan dan perkembangan kemahiran remaja serta wanita yang akan dibangunkan. Ini kerana menurut perancangan, antara lima hingga 10 peratus, pendapatan bulanan pusat latihan itu akan disalurkan kepada tabung dana siswa yayasan.

Beralih topik yang sentiasa diminati ramai wanita iaitu kecantikan, Nurul Akhmar mendefinisikan cantik itu adalah sangat subjektif dan bergantung kepada individu.

"Pepatah mengatakan hanya jauhari yang mengenal manikam. Bagi saya, kecantikan itu lebih wajar diukur berasaskan kehebatan intelektual, sahsiah dan jati diri seseorang bukan setakat menilai rupa paras dan fizikal. Seseorang yang cantik, seharusnya mempunyai pakej yang lengkap; bijak, berpengetahuan, berkarisma, berketerampilan, berwawasan, pandai berkomunikasi dan menyesuaikan diri dalam apa saja keadaan serta berani menyahut cabaran. Sekiranya turut dianugerahkan Tuhan dengan rupa paras dan fizikal yang menarik, itu hanyalah satu bonus baginya," katanya.

Pada masa sama, Nurul Akhmar berpendapat, bergaya dan berhias itu perlu, tidak kira di mana wanita itu berada, sama ada di rumah atau di luar rumah, mengikut kesesuaian dan berlandaskan tuntutan agama.

Katanya, penataan gaya dan tatarias yang bersesuaian mampu meningkatkan tahap keyakinan diri seseorang itu secara amnya. Berhias dan bergaya di rumah bagi yang sudah berkahwin, boleh dijadikan satu cara untuk menambat hati suami dan mengukuhkan lagi ikatan kasih yang sedia terbina.

Ditanya lagi adakah dirinya sudah cukup bersedia merebut gelaran utama sebagai WPBH 2010, sekali gus mengungguli tanggungjawab sebagai personaliti dan ikon, Nurul Akhmar tanpa teragak-agak memberikan jawapan ikhlas.

"Kalau hendak menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Saya yakin yang saya seorang yang positif, berkarisma, komited, panjang akal dan berani berhadapan dengan cabaran. Saya percaya dengan pengurusan masa dan sumber yang sesuai, ditambah dengan sokongan pihak yang terbabit dan perancangan yang mantap, saya akan dapat menggalas tanggungjawab diberikan dengan sebaik mungkin," katanya.

PROFIL

Nurul Akhmar Hannum Naseron

* Umur: 31 tahun

* Tinggi: 160 cm

* Berat: 49 kg

* Status: Berkahwin, 2 cahaya mata - Nisa Inarah Shahrizal, 5 tahun dan Ayla Soraya Sharizal, 2 tahun

* Asal: Rembau, Negeri Sembilan

* Bintang: Capricorn

* Anak ke berapa: Sulung daripada lima beradik, kesemuanya perempuan.

* Pendidikan: Sedang mengikuti Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Nottingham Trent University, UK (pengajian jarak jauh). Juga berkelulusan Bachelor in Business Administration (The University of Bolton, UK) dan Diploma in Corporate Communications and Public Relations (Reliance College, KL)

* Pekerjaan: Trainer/ Fasilitator bersama sebuah syarikat terkemuka, pemilik agensi pengurusan bakat dalam talian - Divine Talent Management (http://divinetalents.blogspot.com) dan juga butik dalam talian - Divine Stylista (http://divinestylista.blogspot.com), pengasas kelab peminat buku-buku dan filem-filem The Twilight Saga yang mempunyai keahlian terbesar di Malaysia, Twilighters Malaysia (http://www.twilightersmalaysia.com)

* Hobi: Membaca, mengembara, menonton filem, menari, berlakon, peragaan

* Warna kegemaran: Ungu gelap dan hitam

* Falsafah hidup: Berani menggapai impian (Brave Your Dreams)

Komen dan saranan jurusolek selebriti Avon, Zulfadzli mengenai solekan sesuai untuk Nurul Akhmar Hannum Naseron:

* Nurul Akmar mempunyai warna kulit yang mudah dipadankan dengan semua warna solekan.

* Perlu memberikan tumpuan solekan pada bahagian matanya yang kecil. Antara yang boleh dilakukan menggunakan teknik solekan smokey khusus untuk solekan gaya malam atau menggunakan bulu mata palsu bagi mendapatkan kesan mata lebih galak

* Bagi membentuk bibir lebih sempurna digalakkan supaya menggunakan penggaris bibir dan diserikan dengan pengilat bibir supaya lebih segar

* Dengan kulit yang mulus dan putih, tidak ada masalah untuk Nurul Akmar menggunakan solekan nipis, malah tidak perlu tebal kerana tidak banyak kesan cela ketara pada kulit wajah

* Mempunyai bentuk muka yang lebar, bagi mengurangkannya Zulfadzli menyarankan menggunakan teknik sapuan bedak asas pembayang pada bahagian tepi pipi
Ratu

ratu15 mac

13 wanita terhangat

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof; Nor Affizar Ibrahim

PUSAT Latihan The New Straits Times Press (NSTP), Seri Pena di Port Dickson, buat pertama kalinya menerima kunjungan 13 wanita jelita untuk meneruskan sesi fotografi, memenuhi syarat penganjur sebelum berentap ke peringkat akhir pencarian Wanita Pilihan Berita Harian (WPBH) 2010, yang dijadualkan awal Jun depan.

Usai sidang media berlangsung di Public Space, Balai Berita, peserta bersama penganjur serta jurukamera dari Asiaphotogroup Club dan wakil Orked Bridal House, berangkat menaiki bas persiaran menuju ke destinasi ditetapkan.

Perjalanan memakan masa kira-kira satu setengah jam, bagaikan tidak terasa dek gelagat peserta yang rata-rata tidak sunyi dengan gelak ketawa, tanda kemesraan yang mula terbit di hati masing-masing. Sambil berbual, sesekali kedengaran jurukamera mengarahkan mereka bergaya dan memberikan aksi menarik di dalam bas berkenaan.

Selepas penganjur memberikan penerangan ringkas berhubung apa yang akan berlaku di Sri Pena, peserta juga amat berminat bertanyakan mengenai lokasi eksklusif yang terletak betul-betul di hadapan pantai Teluk Kemang. Mungkin berkira-kira mengenai kesesuaian pakaian yang akan digayakan di lokasi berlatarkan tepi pantai.

Peserta akhir terdiri daripada mereka yang dipilih pada sesi pemilihan secara langsung dibuat di empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur serta borang penyertaan diterima menerusi kiriman pos.

Sesi berkenaan diadakan khusus bagi kelas dandanan diri dan fotografi yang berlangsung, baru-baru ini. Sesi berkenaan memerlukan peserta bergaya depan kamera bagi membiasakan mereka dengan lensa kamera dan menghilangkan rasa kekok, khususnya bagi peserta yang pertama kali mengikuti pertandingan seumpama itu. Peserta diwajibkan membawa dua pasang baju untuk digayakan termasuk glamor dan kasual anggun sentuhan gandingan warna biru laut serta putih untuk lokasi penggambaran di gigi laut.

Di situ, mereka juga berpeluang menghadiri kelas solekan dan mempelajari kaedah betul berjalan di atas pentas bersama Avon sebagai persiapan ke pertandingan akhir nanti.
Ada peserta yang kelihatan agak gementar, sementara ada yang cukup selesa dan bagaikan tidak sabar beraksi di depan kamera. Selesai menikmati hidangan makan tengah hari, peserta diberikan kunci bilik sebelum berkumpul pada jam 3.30 petang untuk mengikuti sesi beramah mesra dan bersama juara Personaliti Pilihan Berita Harian 2008, Aslinda Ziaty Amir, yang memberikan beberapa panduan dan nasihat berguna termasuk betapa bertuahnya peserta peringkat akhir kerana pertandingan itu memberikan peluang luas kepada peserta membina masa depan lebih baik.

"Setiap peserta perlu mengambil peluang memberikan hanya yang terbaik kerana pertandingan ini menawarkan pengalaman yang tidak tidak ternilai," katanya. Sementara itu Pengarang Wanita, Berita Harian, Fadzlena Jafar, memberikan motivasi kepada peserta bahawa acara di Sri Pena itu tidak setakat peluang fotografi, sebaliknya memberikan penilaian peribadi.

"Semua peserta di sini sama. Saya harap anda memberikan sepenuh komitmen. Buang jauh-jauh perasaan rendah diri atau memikirkan kekurangan diri. Jadikan kekurangan diri sebagai kelebihan dan tonjolkan ia sebaik-baiknya dalam usaha merebut gelaran Wanita Pilihan Berita Harian 2010," katanya.

Pertandingan kali kedua dianjurkan itu terbuka kepada wanita berusia 18 tahun hingga 35 tahun, bijak, berwawasan dan mempunyai hala tuju supaya mampu menjadi ikon dalam usaha memartabatkan imej golongan wanita di negara ini, selain memupuk sifat prihatin.

WPBH menawarkan hadiah bernilai lebih RM10,000 dan pemenang berpeluang menyumbang RM5,000 kepada rumah dan badan kebajikan pilihan mereka. Pencarian WPBH 2010 anjuran Wanita Berita Harian dibawakan oleh Avon dengan penajaan bersama Hot Perfume, Habib Jewel, Glam Hair Studio, Artis Studio, Orked Bridal House, Hajah Maznah Katering dan rakan media, Harian Metro. Berita lain mengenai WPBH 2010 termasuk rakaman acara juga boleh dibaca menerusi laman web www.bharian.com.my atau anjungratu.blogspot.com/.

Sesi bersama Avon menyeronokkan

SEBELAH malamnya, bermula jam 8.30 malam, sesi bersama penaja Avon memberi pendedahan kepada peserta mengetahui lebih dekat peluang perniagaan ditawarkan Avon yang kini memiliki lebih setengah juta pengedarnya di seluruh Malaysia. Penerangan serba ringkas, tetapi padat itu dijayakan Pengurus Perhubungan Awam Avon, Elaine Aisyah dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Avon, Nasaruddin Nasir.

Sesi berkenaan bertambah meriah dengan panduan solekan diberikan jurusolek selebriti Avon, Zulfadzli. Peserta diberikan pendedahan bagaimana mengenakan sapuan bedak dan pembayang tepat untuk wajah individu bagi solekan bertema `glamor'.

"Mendapatkan solekan menyerlahkan keindahan wajah seseorang wanita, pembayang disapu pada wajah perlu tepat bagi mendapatkan wajah lebih kemas sekali gus membentuk ilusi wajah sempurna," katanya.

Sesi soal jawab antara peserta dan jurusolek terkenal serta berpengalaman luas itu silih berganti. Masing-masing teruja untuk mendapatkan panduan dan nasihat daripadanya.

Sesi bertambah rancak apabila peserta diberikan peluang merias wajah sendiri. Apabila cermin diberi setiap seorang, dan kelengkapan mekap tersedia depan mata, tangan masing-masing ligat `menari', mewarna dan melukis wajah semahunya. Derai ketawa silih berganti apabila ada peserta yang bersolek terlalu ringkas, tidak kurang terlalu tebal.

Tetapi nasihat Zulfadzli, interpretasi solekan glamor bukan diukur menerusi ketebalan rona dilayang ke wajah, sebaliknya sedikit biasan kilatan ke wajah, melahirkan rupa baru seseorang.

Tema biru putih

HARI ditunggu-tunggu peserta tiba jua. Seawal jam 8.30 pagi peserta disolek dan didandan rapi mengikut tema glamor oleh kumpulan jurusolek yang menggunakan produk Avon diketuai, Zulfadzli sambil dibantu Nora Ego Studio. Waktu solekan dilakukan secara bergilir-gilir sebelum ke sesi seterusnya iaitu sesi fotografi di kawasan indah sekitar Seri Pena. Molek cuaca bagaikan petanda kejayaan misi kami seterusnya.

Melihatkan peserta mengenakan persalinan glamor dan solekan menawan, pelancong serta pengunjung sekitar, asyik. Menyaksikan wanita bergaya dan beraksi depan lensa kamera, itu pengalaman baru bagi penduduk di situ.

Ada yang bergaya atas bangku tepi pantai, di tepi taman berhias pokok besar, malah tiang batu. Bagaimana lokasi atau keadaan tidak menjadi soal, asalkan riak lentuk tubuh dan senyum menawan, lokasi biasa terus berubah menjadi `luar biasa' dan menakjubkan.

Bagi yang tidak biasa, gayanya agak keras, tetapi kami tidak berputus asa mengajar dan memberikan dorongan kepada mereka menghasilkan gaya dan gambar hidup, dan akhirnya hasilnya cukup membanggakan. Namun, ada ketika ia cukup menguji kesabaran jurufoto, Rosela Ismail yang bukan saja terpaksa menahan cuaca panas terik, tetapi tentunya keletihan apabila terpaksa merakam banyak gambar sepanjang tiga hari di sana.

Busana santai bertemakan biru dan putih mengakhiri sesi fotografi yang diadakan pada sebelah petang. Pepasir kasar, kerikil dan berbatu tajam diredah bagi memenuhi matlamat menghasilkan gambar terbaik. Kerjasama antara peserta dan jurugambar memberikan hasil terbaik. Mungkin pengalaman sebelum itu menjadikan peserta lebih bijak dan mampu menyerlahkan karektor masing-masing.

Keletihan dirasakan sepanjang hari itu memang tidak terkata, tetapi hasil diperoleh memberikan kepuasan kerja yang cukup bermakna. Kenangan terindah di Sri Pena berakhir hingga mentari tenggelam di kaki langit, meninggalkan rakaman indah untuk dikenang hingga ke akhir hayat. Selamat tinggal Sri Pena, moga berjumpa lagi.

ratu12 mac

Tiada rasa marah

Oleh Hidayah Mohamad

JARANG sekali kita boleh menerima pasangan hidup tidak kira suami atau isteri yang mempunyai sahabat akrab berlainan jantina. Jika ada yang boleh terima pun, mungkin tidak ramai, kerana hubungan berkenaan boleh mengundang kepada kesan negatif bermula dengan cemburu, pergaduhan dan mungkin berakhir dengan perceraian.

Bagi sesetengah individu yang bimbang jika pasangan mereka marah atau cemburu sanggup menyembunyikan hubungan berkenaan walaupun mungkin hanya sekadar kawan baik. Bagaimanapun cara itu juga boleh mengundang masalah.

Sebaliknya, keikhlasan hubungan berumah tangga tidak perlu dipertikaikan sekiranya pasangan kita tidak pernah menyembunyikan sebarang hubungan, walaupun berjumpa mahupun berhubung sahabat menerusi kerja.

Fungsi rakan baik ialah membantu dan berkongsi susah senang apatah lagi jika kita menghadapi masalah. Insan bergelar sahabat dinilai sebagai pendengar setia selain dapat membantu menyelesaikan masalah sekiranya menghadapi kesukaran.

Meskipun begitu, situasi hubungan baik pasangan yang sudah berkahwin perlu ada batasannya. Jika pasangan bijak mengawal hubungan antara sahabat baik pada masa sama memiliki isteri atau suami, kesan negatif itu tidak mungkin akan timbul lebih-lebih lagi jika bersikap jujur dengan pasangan masing-masing.

Mengekalkan hubung baik dengan rakan lama berlainan jantina bukan perkara besar bagi pasangan suami isteri, Eksekutif pemasaran, Agus Redza Hashim Nazri, 24, dan isterinya Nur Hamiemah Ibrahim, 28 tahun.

Walaupun sudah bergelar suami isteri, mereka berpendapat ia tidak menjadi masalah kerana kawan baik perlu wujud dalam pasangan, malah ia bagaikan fenomena biasa dalam masyarakat zaman sekarang.

Walaupun baru mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu, perkenalan mereka pula sudah menjangkau usia tujuh tahun. Kedua-duanya juga mempunyai sahabat baik dan hubungan itu tidak menjejaskan rumah tangga mereka kerana memahami antara satu sama lain.

Nur Hamiemah yang bertugas sebagai Eksekutif Insuran berkata, hubungan dengan sahabat baiknya yang juga seorang pelakon, Shaheizy Sam Abd Samad, 28, (Sam) `berputik' sejak 10 tahun lalu. Mereka berkenalan pada sesi penggambaran bersama abangnya dan mula rapat sebagai sahabat akrab apabila mula berkongsi masalah, pendapat, pandangan dan pengalaman.

"Kebanyakan orang tidak boleh menerima kenyataan isteri atau suami mereka mempunyai sahabat akrab berlainan jantina. Malah, ada juga yang inginkan pasangan memutuskan hubungan sahabat berikutan terlalu cemburu dengan kemesraan mereka. Ini tidak seharusnya berlaku.

"Jika jujur dalam hubungan suami isteri dan persahabatan maka ia tidak mungkin akan mengundang faktor negatif seperti cemburu dan bergaduh apatah lagi bercerai," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mereka bersahabat baik apabila mendapati banyak persamaan dari segiminat terhadap muzik dan sering berkongsi pendapat dalam hal berkaitan seperti masalah. Mereka berdua adalah orang yang sukar untuk mengatakan `tidak' terhadap semua perkara selain Sam adalah sahabat yang mampu menggembirakan hati ketika Nur Hamiemah sedih (sebelum berumah tangga).

Nur Hamiemah gembira kerana suami memahami dan boleh menerima hubungan baik bersama Sam. Agus Redza tidak pernah cemburu terhadap hubungan istimewa isterinya dan Sam, malah mereka juga sering keluar bersama.

Malah, Nur Hamiemah berfikiran terbuka kerana turut memahami suami yang lebih muda empat tahun daripadanya mempunyai rakan baik wanita, Yasmeen Zainal Abidin, 24.

Agus Redza yang berasal dari Subang Jaya mula mengenali Yasmeen sejak mereka di sekolah menengah lagi iaitu dari 1999. Bagi Agus Redza, hubungannya dengan Yasmeen sebagai sahabat akrab apabila sering memberi semangat dan sokongan dari segi moral.

Apa yang melegakan Agus Redza, isterinya turut memahami hubungannya bersama pemilik butik berkenaan kerana lebih lama mengenainya.

Agus Redza berkata, berfikiran terbuka dan memahami sangat penting dalam perhubungan, tetapi perlu ada batasan dalam pergaulan membuatkan hubungan mereka masih utuh, malah isteri dan kawan baiknya boleh keluar sekali bersama.

"Walaupun sudah berkahwin, tidak bermakna saya perlu memutuskan hubungan persahabatan kerana dia seorang wanita, kononnya demi menjadi hati isteri. Isteri juga tidak perlu memutuskan atau saya tidak berhak menghalang mereka untuk berkawan kerana semua orang juga mempunyai sahabat baik masing-masing.

"Soal cemburu tidak timbul antara kami kerana masing-masing tahu membawa diri. Batasan pergaulan perlu ada kerana status bukan lagi bujang. Namun, tidak dinafikan kadangkala ada sedikit rasa cemburu kerana Sam seorang artis, tetapi saya masih boleh terima. Saya tidak boleh mempunyai sikap cemburu kerana faham erti kawan antara mereka kerana saya juga mempunyai sahabat akrab yang kedua-duanya faham antara satu sama lain," katanya sambil bergurau dan ketawa kecil.

Katanya sahabat adalah insan yang boleh membantu dan berada di samping ketika susah dan senang.

Beliau turut memuji Yasmeen kerana anak kelahiran Subang Jaya itu juga seorang yang ceria dan comel serta mempunyai pendirian yang tidak kisah serta berfikiran terbuka, malah rakannya itu seorang pendengar yang baik.

Kedua-dua sahabat baik pasangan itu, Sam dan Yasmeen juga berpendapat hubungan baik mereka tidak menggambarkan ke arah kesan negatif. Perhubungan ikhlas sebagai sahabat menceriakan suasana apabila mereka sering keluar bersama dan bertukar-tukar cerita.

(END)

ratu11 mac

EKSTRA FEMININ

Pengawal mindaPengalaman lalu buat Nabila pilih bidang terapi jiwa

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my

PENGALAMAN masa lalu lazimnya akan mencorak sikap dan tingkah laku individu dalam kehidupan sehari-hari apabila mereka meningkat ke alam remaja mahupun memasuki dunia orang dewasa. Semua itu dikatakan ada kaitan dengan masalah kejiwaan kerana jiwa yang kacau, sedikit sebanyak terpancar pada wajah atau perlakuan. Bagi Shamshilawati Abdul Rahman atau juga dikenali sebagai Nabila, pengalaman ketika kecil membesar menyaksikan keruntuhan rumah tangga kedua ibu bapa menjadikan beliau individu yang gemar bersendirian dan mudah tersentuh berbanding menikmati masa gembira bersama rakan sebaya.

Namun pengalaman itu juga menjadikannya cepat matang berbanding usianya. Selepas meningkat dewasa, beliau menjadi individu yang peka dengan alam sekeliling terutama membabitkan masalah berkaitan manusia dan kehidupan yang sudah semestinya tidak dapat dielakkan daripada masalah mendatang tanpa henti atau memerlukan penyelesaian dengan segera. Bagi pemilik Annabella House of Therapy itu, masalah kejiwaan cukup menarik perhatian beliau untuk didalami, apatah lagi sebagai manusia beliau juga tidak terlepas daripada diduga dalam pelbagai situasi yang meruntun perasaan beliau dan menuntut kesabaran yang tinggi.

"Saya cukup teruja apabila memperkatakan mengenai masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Berdasarkan pengalaman dalam menangani masalah pelanggan, semua masalah ini ada kaitan rapat dengan jiwa dan minda yang celaru serta tiada kepastian dalam tindak tanduk disebabkan tiada ruang untuk meluahkan emosi yang menghambat diri. "Sehubungan itu, jiwa dan minda yang celaru akan mendatangkan banyak keburukan kepada manusia seperti gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Remaja lari dari rumah, sumbang mahram, kecelaruan identiti, buang bayi dan pelacuran tidak dinafikan berpunca daripada jiwa yang tidak teguh," katanya ketika ditemui di premis terapi yang diusahakan beliau di Prima Saujana, Kajang, baru-baru ini.

Katanya, memang sejak kanak-kanak beliau sudah mempunyai 'dunia' peribadi yang tidak dikongsi dengan orang lain, tetapi dunia berkenaan membawa kebaikan kepada beliau kerana melalui medium itulah beliau mampu memahami setiap permasalahan yang diluahkan oleh pelanggan.Malah, katanya, dengan cara itu juga beliau dapat membantu mereka yang mungkin terperangkap dengan lingkaran permasalahan yang sukar diselesaikan dan perlu dibantu. "Pembabitan saya bermula ketika di sekolah menengah, di mana saya dilantik menjadi pembimbing rakan sebaya (PRS), kemudian di universiti pula saya aktif sebagai pembimbing rakan sebaya dan fasilitator. Memasuki dunia pekerjaan, saya sering menjadi tempat luahan rakan-rakan sepejabat.

"Saya tidak tahu atas sebab apa mereka sudi meluahkan masalah kepada saya walaupun masalah berkenaan bersifat amat peribadi. Mungkin saya pendengar yang baik, atau ikhlas memberikan pandangan terhadap masalah yang diutarakan dan saya sanjung kepercayaan yang mereka berikan," katanya. Atas rasa prihatin selain berkongsi ilmu dan pengalaman, beliau berasa satu tanggungjawab perlu dilaksanakan apabila didatangi mereka yang mempunyai masalah baik masalah luaran atau pun dalaman. Baginya, individu berkenaan perlu dibantu walau dengan apa cara sekalipun. Beliau memilih terapi minda kerana melalui pembersihan minda, jiwa akan menjadi tenang.

Tambahnya lagi, kunci kebahagiaan yang sebenar-benarnya adalah ketenangan itu sendiri kerana ramai pelanggannya yang berjawatan tinggi, berkedudukan dan mempunyai ekonomi yang baik datang kepada beliau atas alasan jiwa yang kosong dan tiada ketenangan jiwa. Katanya, antara masalah berkaitan yang boleh diperbetulkan melalui terapi minda ialah krisis rumah tangga, hubungan suami isteri, remaja bermasalah seperti lari dari rumah, penagihan dadah, kecelaruan identiti, kegemukan mahupun hilang keyakinan diri seperti gagap dan was-was. ”Saya berasa puas dan bersyukur setiap kali berupaya memperbaiki keadaan mereka yang datang ke sini berjumpa saya. Ada satu kes yang amat mencabar membabitkan perjanjian perceraian.

“Kedua-duanya sudah bersiap sedia untuk membubarkan perkahwinan mereka seolah-olah tiada jalan penyelesaian langsung. Apabila mereka datang menghadiri sesi terapi minda, mereka tidak jadi berpisah dan balik sebagai pasangan suami isteri yang menghadapi dunia baru," katanya. Baginya, menyatukan kasih sayang pasangan suami isteri yang berada di ambang perpisahan adalah sesuatu yang amat menggembirakan lebih-lebih lagi jika berjaya mengembalikan mereka kepada keadaan asal.

Katanya, kanak-kanak tidak terkecuali mengalami kekacauan minda, bahkan paling mudah dipengaruhi oleh anasir yang tidak sepatutnya dialami oleh mereka di usia muda. “Kita tahu kanak-kanak tidak bijak menyusun kata, tetapi mereka tidak pandai berbohong dan akan menceritakan dengan tulus mengenai apa yang mereka lihat. “Misalnya, jika hijau yang dilihat, maka hijaulah yang akan diceritakan kepada kita yang bertanya. Justeru, ada kes yang datang kepada saya, ibu bapa mengadu mengenai anak degil dan tidak mahu diajar. Apabila diselidik, anak memberitahu dia mempelajari banyak perkara daripada ibu bapa di rumah yang mendampinginya setiap hari,” katanya
Terapi minda jadikan jiwa bersih
Berdasarkan pengalamannya sebagai penasihat terapi minda, Nabila sudah merangka satu kaedah terapi minda melalui Annabella Mind & Soul Empowerment Method, yang nyata memberikan impak positif yang besar ke dalam diri mereka yang datang bertemu dengan beliau.Terapi minda dianggap sama seperti membersihkan minda yang mendorong ke arah pemilikan jiwa baru terhadap seseorang individu. Bahkan, katanya, minda manusia juga sama seperti persisian komputer, dicemari virus apabila digunakan dalam tempoh yang panjang. “Sehubungan itu, kalau sistem pengaturcaraan komputer mesti diformat balik supaya ia boleh kembali bekerja dengan cepat dan pantas, begitu juga dengan manusia.

“Bagi saya, apabila minda 'diformat' semula atau dalam erti kata lain diberi santapan rohani memalui proses pembersihan yang dilakukan, ia akan menjadi sihat dan kembali seperti baru seterusnya fikiran akan menjadi lebih lapang dan tenang bagi menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.Bagaimanapun, cara untuk membersihkan minda tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana pengendali harus mempunyai ilmu dalam bidang berkenaan. Katanya, jika dilakukan tanpa persediaan rapi, ia dikhuatiri tidak akan berkesan atau sebaliknya tambah memburukkan keadaan.

“Pengendali terapi minda seperti saya harus mempersiapkan diri kerana saya tidak tahu apakah bentuk masalah yang akan diluahkan kepada saya. Bahkan, sebagai pengendali saya wajar bersedia mental dan fizikal. “Tekanan dalam bentuk kekerasan fizikal memang tidak akan ada, tetapi tekanan mental mungkin ada. Jadi saya kena bersedia supaya dapat membantu pelanggan yang datang meluahkan masalah mereka,” katanya.

Dalam kes tertentu, Nabila mendapat bantuan suami, Amir Sharifuddin Zakaria, untuk meringankan 'beban' dalam diri kerana jika beliau sendiri tidak mempunyai mental yang bersedia, beliau tidak akan dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan daripada beliau. “Saya beruntung kerana suami juga mempunyai pengetahuan dalam terapi minda. Selain mendapat sokongan beliau, saya kembali kepada asas kehidupan, iaitu kembali kepada agama untuk mendapatkan jiwa tenang. Apabila jiwa tenang, saya boleh membantu yang lain dengan hati lapang,” kata ibu kepada lima orang cahaya mata ini lagi.

Menurut bekas peserta program realiti keibubapaan terbitan TV3, Oh Ayah! Oh Ibu! ini lagi, peranan beliau sebagai seorang anak, isteri, ibu dan wanita bekerjaya banyak membantu beliau dalam menangani permasalahan para pelanggannya. Beliau berkata, terapi minda tidak semestinya dilakukan oleh mereka yang menghadapi masalah dalam hidup, sebaliknya terapi juga boleh dilakukan untuk meningkatkan mutu kehidupan sehari-harian. “Tidak salah kalau kita memperindahkan lagi sesuatu yang sudah molek dan teratur. Yang baik akan menjadi bertambah baik. Saya teruja dengan satu pasangan yang baru saja bertunang dan akan menghadapi hari bahagia mereka tidak lama lagi. “Kedua-dua datang untuk menjalani terapi minda bagi mempersiapkan diri memasuki gerbang perkahwinan dengan alasan mereka ingin mengenali pasangan dengan lebih ikhlas dan berharap kemudian hari tidak akan berlaku sesuatu yang boleh menjejaskan perhubungan mereka,” katanya.

Justeru, katanya, masalah berkaitan minda dan jiwa wajar ditangani dengan baik kerana jika dibiarkan berlarutan, ia akan menjejaskan mutu kehidupan individu, seterusnya mengocak ketenangan suatu perhubungan antara dua individu yang sepatutnya berjalan dengan lancar dan tenang. “Saya berharap dengan sumbangan saya yang kecil ini mampu membantu individu menangani hidup dengan lebih baik, teratur dan memberangsangkan. Percayalah, kita semua boleh berubah ke arah yang lebih baik sekiranya kita inginkan perubahan positif itu. Kita hidup bukan untuk masa lampau, tetapi hari ini dan akan datang. Buatlah perkara terbaik hari ini, nescaya esok dan seterusnya akan menghasilkan kebaikan yang berterusan kepada kita. “Kita mahu kehidupan yang lebih baik dari semasa ke semasa, jadi sesuatu perlu dilakukan untuk mencapainya.

Jalan terbaik adalah kawal minda, pupuk minda dan susun atur minda ke arah yang sentiasa positif dan yakin. Selebihnya jiwa menjadi perkasa dan mendorong kita sentiasa berusaha mencapai yang terbaik," katanya.Sementara itu, sempena cuti sekolah ini juga, Shamsilawati menganjurkan Kem Eksplorasi Diri: Jiwa Kreatif bermula 13 hingga 15 Mac untuk remaja berusia 10 hingga 17 tahun. Berminat menghantar anak menghadiri kem berkenaan, hubungi Shamshilawati di talian 019-2191202.

BIODATA
Shamshilawati Abdul RahmanUmur: 35 tahunAsal: Jelebu, Negeri SembilanStatus: BerkahwinSuami: Amir Shariffuddin ZakariaAnak: Amira Nur Syafiqa, Ammar Nur Syafi Iman, Ainna Nur Syafia, Amna Nur Syahrah, Amni Nur Syarah. Jawatan: Pengasas Annabella House of Therapy, hipnoterapis & penasihat terapi minda Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Halus, Certified Hipnotis dan Hipnoterapis.
Caption:
1. Perbincangan bersama kakitangan Annabella House of Therapy penting untuk menjadikan pelanggan yang datang menjalani terapi minda pulang dengan semangat baru. 2. Shamsilawati dan Amir bekerjasama untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan terutama dalam hal ketenangan minda.

ratu 10 mac

Transformasi `itik hodoh'

Oleh Hidayah Mohammad

BELIAU sering dibuli di sekolah dan menjadi mangsa fesyen, namun kini beliau membina nama sebagai pereka fesyen. Michelle Tan, 28, mengakui beliau percaya pada suatu perubahan hidup apabila dulunya digelar sebagai `itik buruk' kerana tidak bergaya, pemalu dan penakut.

Ketika di sekolah, penampilan Michelle sering ditertawakan rakan sekeliling apabila memakai cermin mata tebal dan besar serta pengikat gigi. Selain tidak bergaya, hidup kesepian, sengsara dan menganggap dirinya malang, Michelle juga murung dan tertekan dengan kehidupannya akibat tidak mempunyai kawan.

Anak kelahiran ibu kota itu keluar daripada norma hidup dengan `mentransformasikan' gaya yang lebih berani. Tampil lebih berkarisma dan percaya pada diri sendiri, Michelle berpendapat setiap orang mengalami perubahan dalam hidup masing-masing sama ada lebih baik atau sebaliknya.

Kini, penampilan gadis itu lebih menyerlah apabila memilih untuk menjadi pereka fesyen menerusi jenama Rox/Sta. Sungguhpun belum lagi dikenali dengan lebih meluas seperti beberapa pereka fesyen lain, Michelle mula mengorak langkah dengan membuka butik menerusi laman web sebagai landasan untuk mengetengahkan lagi namanya supaya impian untuk berdiri sebaris dengan pereka fesyen terkenal, menjadi kenyataan.

"Saya memilih bidang fesyen dan mereka pakaian untuk wanita muda kerana saya tidak mahu ada di kalangan mereka tampil hodoh di khalayak ramai. Ini kerana, bagi saya penampilan memberi impak besar kepada keyakinan diri sepanjang hari. Transformasi itu tidak salah asalkan ia memberi kebaikan kepada diri seseorang," katanya ketika di temui di Bangsar Village, baru-baru ini.

Michelle berkata, hampir semua orang yang pernah mengenalinya tidak percaya kepada perubahan dirinya, apatah lagi diberitahu beliau kini sudah menceburi diri dalam bidang fesyen. Jenama Rox/Sta belum dikenali, tetapi wanita ini berbangga apabila pernah dijemput julung kalinya menyertai majlis pertunjukan fesyen Twenty One Kitchen and Bar yang diadakan baru-baru ini.

Mengenali lebih dalam Pengasas jenama Rox/Sta yang baru berusia setahun jagung, ikuti temu bual bersama Michelle untuk Bual Fesyen, minggu ini.

* Transformasi identiti bukannya asing di kalangan mereka yang semakin matang dan terdedah kepada dunia luar. Ceritakan pengalaman mengenai perubahan anda ke dunia fesyen.

Kenangan manis dan pahit ketika zaman sekolah dulu, dipinggirkan, diejek, ditendang dan tidak bergaul, sekarang saya mula sedar mengapa ia berlaku. Kehidupan agak muram ketika zaman sekolah lagi. Penampilan hodoh menyebabkan saya hilang keyakinan diri. Cemuhan orang sekeliling memberi semangat kepada saya supaya tidak lagi mahu dipandang sebelah mata.

Bagaimanapun, perubahan berlaku apabila saya terpilih untuk muncul dalam iklan televisyen dan iklan di media cetak sebagai model sekadar senyum. Dari situ membuka mata saya untuk berubah penampilan kerana ia menaikkan semangat saya untuk memperbaiki tahap keyakinan diri, menjadi lebih berkarisma, menawan dan menarik.

Bak kata pepatah, `what doesn't kill you only makes you stronger'. Pengalaman walaupun sedikit pahit menyedarkan saya kepada kepentingan imej. Apabila seseorang mengambil masa untuk membetulkan imej mereka, hidup mereka akan berubah sepenuhnya. Inilah sebabnya saya menceburi industri fesyen.

Bukan kerana mahu jadi seorang pereka fesyen terkenal, tetapi kerana saya rasa bahawa inilah misi hidup saya, untuk menolong anak gadis lain mengatasi rintangan hidup mereka dengan membantu memperbaiki imej mereka dan mencabar mereka untuk mengasak imej yang terpendam.

Pada pandangan saya fesyen sangat penting. Lantaran itu, saya meletakkan misi dan visi dengan menceburkan diri dengan mereka pakaian di bawah penjenamaan Rox/Sta. Walaupun masih tiada butik atau kedai untuk menampilkan koleksi yang direka, tidak menjadi masalah kerana saya mempamerkan koleksi Rox/Sta menerusi laman web sendiri.

* Sejak terbabit dalam dunia fesyen beberapa tahun lalu, apakah jenis koleksi yang anda tampilkan. Sejak lebih setahun dalam industri itu apakah jenis koleksi yang ada dalam Rox/Sta?

Sejak mula terbabit dalam dunia fesyen, saya sudah menghasilkan empat jenis koleksi pakaian. Yang pertamanya dinamakan Rox/Sta sebagai pembuka jenama ini dan paling `ambitious' berkonsepkan Lady Boss Blouse. Kemudian, saya tampil dengan koleksi Taj Mahal yang sangat `down to earth' dengan cita rasa glamor Bollywood dan kemegahan Taj Mahal sebelum mula menghasilkan koleksi Rock & Rule!. Koleksi berkenaan lebih bergaya dan kebanyakan rekaannya boleh dipakai untuk siang dan malam.

Terbaru ialah Rock & Roar bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina. Tahun harimau memberi inspirasi kepada rekaan warna ceria dengan sifat berani dan bersemangat dengan gaya penuh glam!

Jenis koleksi yang saya tampilkan menerusi jenama lebih kepada konsep terang, anggun, glamor, seksi,menarik dan bergaya dengan cara tersendiri. Koleksi berkenaanmembantu menyerlahkan penampilan dengan rona warna terang yang memainkan peranan. Saya lebih gemar pada warna terang supaya dapat membantu menyerlahkan penampilan pemakainya, antaranya kuning, merah hati, ungu, biru, hijau dan merah. Tanpa sebarang, fabrik yang berkualiti di samping rekaan tersendiri sudah cukup membantu menyerlahkan penampilan si pemakai.

* Apakah cabaran yang anda lalui ketika waktu mengubah penampilan?

Ketika saya benar inginkan perubahan diri, tiada orang ada di sisi saya untuk membimbing saya. Waktu itu juga saya ada pengalaman yang melucukan.

Ikon fesyen pertama saya ialah seorang pelakon lelaki Hollywood yang kacak. Oleh kerana terlalu minat saya melekat posternya di dinding bilik dan cuba mengikuti gaya rambutnya serta cara pemakaiannya. Oleh kerana itu saya pernah bergaya seperti seorang lelaki kerana saya fikir pada masa itu gayanya sangat `cool'.

Nasib baik, ibu selalu memberi dorongan kepada saya. Ketika dalam proses perubahan diri, ibu sering memberitahu saya bahawa saya seorang yang cantik sekali gus beliau memberi inspirasi untuk terus cuba mencapai potensi saya sebagai `The Swan'. Selepas mendapat identiti sendiri, saya berani menghasilkan koleksi pakaian sendiri.

* Anda memilih untuk memasarkan koleksi anda menerusi laman web? Tidakkah anda mahu merancang untuk membuka sebuah butik tersendiri?

Pada masa ini, saya hanya mampu memasarkan koleksi saya menerusi laman web kerana saya memulakan perniagaan ini dengan wang simpanan saja. Saya berharap apabila jenama ini semakin mendapat sambutan saya akan mula membawa masuk koleksi pakaian di butik sedia ada di Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta.

Saya menyasarkan dalam tempoh dua tahun impian tercapai dengan membuka butik Rox/Sta.

* Siapa pereka fesyen yang menjadi idola anda?

Idola saya ialah Datuk Tom Abang Saufi kerana koleksi yang dipersembahkan sangat unik lagi menarik. Ringkas, tetapi kaya dengan identiti sendiri. Selain itu saya sukakan jenama Jimmy Choo kerana jenama itu sudah meluas ke serata dunia. Jenama itu dijadikan idola kerana saya ingin menempa nama ke peringkat lebih tinggi seperti jenama berkenaan yang asalnya dari negara kita..
* Apa pandangan anda mengenai dunia fesyen tempatan?
Industri fesyen semakin berkembang maju walaupun agak ke belakang. Namun, usaha penggiat seni dan pengamal fesyen bekerja keras supaya fesyen tempatan tidak ketinggalan dengan masih mengkaji fesyen antarabangsa.

Bagaimanapun, wanita tempatan juga bijak bergaya atas pendedahan mengenai dunia fesyen yang mudah didapati dimedia cetak dan elektronik. Perkembangan fesyen akan bertambah baik apabila banyak sokongan daripada pelbagai pihak.

* Walaupun wanita masa kini gemar bergaya, namun masih ada lagi yang kurang berkeyakinan untuk mengenakan fesyen terkini. Sebagai orang yang berpengalaman mengubah penampilan, apa yang anda mahu lakukan perubahan terhadap masalah ini.

Misi hidup saya hari ini ialah ingin membekalkan pengetahuan dan panduan mengenai apa saya pelajari dan peroleh menyubah penampilan. Saya mahu berkongsi pengalaman mengenai perubahan kehidupan bersama orangramai yang juga mampu merubah kehidupan kepada alam luar biasa.

Perubahan itu mendorong saya untuk membuat pendedahan menerusi buku panduan fesyen yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. Menerusi buku itu juga saya memberi banyak panduan mengenai dunia fesyen, kecantikan diri, penampilan wajah dan rambut, keyakinan ketika berdepan dengan masyarakat dan banyak lagi yang disediakan.

Selain memberi panduan, saya juga membuat sesi kaunseling dan perundingan imej dari semua aspek.

* Selain mengenakan fesyen sebagai penampilan utama, kecantikan wajah juga bagaikan seiring dan sejalan.Anda juga secara tidak langsung perlu tampil menarik pada kulit wajah supaya orang lebih yakin. Bagaimana anda menjaga regim kecantikan wajah?

Sebagai rutin menjaga penampilan imej, saya menggunakan produk kecantikan wajah antipenuaan, Skinz Infinite setiap hari. Berdasarkan kepada umur yang semakin meningkat, produk berkenaan bagi saya sungguh sempurna jika dipakai oleh wanita berusia 26 tahun ke atas sebagai persediaan menghadapi pertambahan usia.

Produk berkenaan dapat membantu melicinkan kulit dan menangani garisan dan kedut pada wajah. Malah, saya mengalami kulit sensitif juga tidak rasa bimbang kerana kesan yang menakjubkan. Daripada pengalaman memakai produk itu, saya dapati produk berkenaan sesuai untuk kulit sensitif. Aroma semula jadi dalam serum kulit Skinz Infinite, memberi kesegaran serta keceriaan pada wajah saya.

* Apa harapan anda menerusi Rox/Sta dan bagaimana anda melihat diri anda dalam perspektif fesyen pada lima tahun akan datang?

Seperti pereka fesyen lain, saya juga berharap dapat membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa. Rox/Sta bukan saja sekadar himpunan pakaian untuk wanita berusia antara 14 tahun hingga 40 tahun, malah konsep kecantikan juga dapat diperluaskan menerusi segala aspek. Bukan saja corak pakaian tetapi kecantikan wajah, cara pembawakan diri dalam komuniti seperti komunikasi dan sebagainya.

Sehubungan itu, berdasarkan pengalaman mengubah diri, saya dalam proses menghasilkan buku untuk membantu wanita cara terbaik mengubah penampilan mereka. Buku itu membabitkan beberapa tajuk utama dalam mengubah penampilanmenjadi seorang lebih berkarisma, berkeyakinan, membantu mengubah imej, cara solekan dan apa saja membabitkan dunia kecantikan yang perlu ada dalam diri setiap wanita.

Saya berkongsi pendapat dan pengetahuan dan berharap dengan panduan yang terdapat dalam buku kecantikan itu dapat membantu wanita lebih yakin dengan imej sendiri. Ia sekali gus dapat menaikkan nama saya sebagai perunding kecantikan yang tersohor. Saya juga mengendalikan Bengkel Gaya Rox/Sta untuk anak muda dan sambutan agak menggalakkan dan akan terus menjalankan program seperti itu.

Wednesday, March 10, 2010

Ratu 9 Mac


Dakapan erat kunci keakraban si kecil dan ibu
bapa
MELIHAT kelibat ibu moden menggendong bayi menggunakan sehelai kain yang diikat secara manual bagaikan fenomena baru di kalangan ibu bapa generasi moden. Ia mengingatkan kembali kepada teknik lama yang masih digunakan secara meluas di kawasan pedalaman. Namun, kaedah menggendong bayi atau babywearing memberi banyak kelebihan sehingga mendorong lebih ramai wanita bekerjaya melakukannya.
Pegawai Perhubungan Awam Malaysian Babywearers, Adriana Thani, berkata kaedah babywearing atau mengendong bayi mempunyai banyak kelebihan antaranya kebaikan dari sudut fisiologi di mana bayi yang digendong terbukti tidur dengan lebih senang dan kurang kerap menangis.
"Pakar kanak-kanak juga menyarankan kaedah ini kepada bayi pramatang, juga bayi yang memerlukan perhatian khas kerana kajian mendapati bayi yang selalu disentuh serta dibelai menunjukkan tumbesaran lebih cepat dan lebih sihat. "Selain itu, kaedah mengendong bayi juga dapat menguatkan keakraban antara si pemakai dan si bayi kerana apabila si bayi dibelai rapat pada badan ibu, bayi dapat membiasakan dirinya dengan pergerakan pemakai," katanya.

Kata Adriana, ibu bapa yang kerap mengendong bayi sedar akan kebolehan untuk mengenal pasti perilaku bayi mereka dengan lebih pantas selain dapat mengeratkan lagi komunikasi di antara ibu dan anak malah kehendak bayi dapat dipenuhi dengan lebih cepat.

Monday, March 8, 2010

Ratu 8 Mac





















Tiga belas Peserta bersaing

Oleh Siti Nur Almizan Aripin

WAJAH 13 peserta yang hadir ke sidang media pengumuman peserta peringkat akhir Pencarian Wanita Pilihan Berita Harian (WPBH) 2010 kelihatan gementar namun bersinar bahagia. Dalam debar, ada kelihatan rancak berbual disulam ketawa gembira bertemu rakan peserta yang pernah dikenali ketika sesi pemilihan sebelum ini dan sebahagian pula kelihatan gugup serta selesa berdiam diri menenangkan rasa gundah di hati.
Kesemuanya bersolek cantik dengan mengenakan pakaian sedondon berwarna putih. Peserta akhir terdiri daripada mereka yang dipilih pada sesi pemilihan secara langsung dibuat di empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur serta menerusi borang penyertaan diterima melalui pos.
Seawal jam 8.30 pagi, kesemua peserta mulai memenuhi ruang Public Space, Balai Berita, bagi menyertai sidang media seterusnya bertolak ke Sri Pena, Port Dickson untuk kelas dandanan diri dan fotografi yang akan berlangsung sehingga 7 Mac ini.
Di sana, mereka juga berpeluang menghadiri kelas solekan dan mempelajari kaedah betul berjalan di atas pentas bersama Avon sebagai persiapan jika terpilih sebagai wanita pilihan Berita Harian.

Pengarang Wanita Berita Harian, Fadzlena Jafar berkata, penyertaan WPBH kali ini mendapat sambutan menggalakkan berbanding penganjuran pertama tahun lalu, namun selepas melalui proses pemilihan, hanya 35 peserta terpilih ke sesi temu duga terakhir.
“Pertandingan ini terbuka kepada wanita berusia 18 tahun hingga 35 tahun, bijak, berwawasan dan mempunyai hala tuju supaya mampu menjadi ikon kepada wanita lain dalam usaha memartabatkan imej kaum Hawa di negara ini selain memupuk sifat prihatin kepada mereka yang memerlukan. “Sepanjang sesi pemilihan, kami menemui ramai calon yang memiliki pakej menarik, bijak, petah dan berketrampilan menarik tapi daripada 35 nama, hanya 13 layak ke peringkat akhir,” katanya. Cerita selanjutnya klik sini :http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Ratu/20100308080628/Article/)


Dari sinar mata

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

Pemenang Jelitawan Menyinar Innershine kongsi petua kecantikan

KECANTIKAN adalah perkara yang subjektif kerana lain mata lain pandangannya, cantik pada kita tidak semestinya molek bagi mereka yang turut menilainya. Apa yang pasti, kejelitaan seseorang wanita itu boleh diukur melalui pelbagai sudut lain yang difikirkan rasional.
Kecantikan seseorang wanita itu juga tidak seharusnya hanya diletakkan pada raut wajah atau penampilannya, malah kepintaran dan isi hati termasuk percakapan serta perwatakan yang dijiwai mereka patut dijadikan pucuk utama penilaian erti sebenar yang tersirat itu.
Pemenang Jelitawan Menyinar InnerShine, Norbaizura Saharudin, 23, berkata beliau yakin bahawa kecantikan bukan hanya terikat kepada raut wajah, malah ia juga lahir dari dalam dan tidak seharusnya dibiarkan begitu saja kerana dibebani perasaan malas yang menebal.
“Cantik perlu datang dalam satu pakej dan kita sebenarnya selalu tersalah tafsir sehinggakan terlepas pandang terhadap penjagaan dalaman dan bahagian lain tubuh yang dianggap penting seperti rambut, mata dan badan.
“Bagi saya, setiap bahagian anggota badan dari rambut hingga ke hujung kaki adalah aset kecantikan dan ia memainkan peranan tersendiri untuk menarik pandangan umum dan setiap kurniaan ada keistimewaan tersendiri yang tidak terungkap, ” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Gadis jelita yang bekerja di sebuah butik andaman itu berkata, rambut contohnya adalah antara aset yang istimewa kerana ia ibarat mahkota kepada wanita.

Ratu Sabtu 6 Mac

Anggun menawan: Kaftan diperindahkan
Oleh Hidayah
Mohammad

mailto:mhidayah@bharian.com.my

Rekaan diberikan sentuhan teknik tambahan manik dan labuci serta ditampilkan dengan potongan lebih moden

SUATU ketika dulu, baju kaftan dikatakan sebagai pakaian basahan di rumah atau pakaian pada waktu malam di kalangan wanita. Hanya sehelai kain dengan potongan ringkas itu memudahkan wanita menyarungnya, apatah lagi corak dan fabrik yang biasa menampakkan koleksi kaftan sebagai pakaian tidak glamor.

Sejajar dengan cita rasa masyarakat semakin moden, pakaian ala tradisional turut dipermodenkan. Kaftan dilihat sebagai gabungan antara baju kurung dan gaun labuh turut tidak ketinggalan apabila diberi nafas baru menerusi jenama butik INNAI.

Pengarah Urusan butik INNAI, Izrin Ismail, berkata sebelum ini orang tidak nampak kaftan sebagai satu corak pemakaian menarik untuk digayakan di majlis korporat, majlis anugerah atau berprestij, malah ada yang mengatakan ia adalah baju tidur dan tidak yakin untuk digayakan di luar. “Penggiat industri fesyen ketika itu mengambil masa lebih setahun bagi meyakinkan wanita tempatan, menggayakan kaftan pada majlis eksklusif.

Lama kelamaan, bermula awal 2008, kaftan mula menjadi ikutan dan semakin digilai ramai. “Kaftan mendapat sambutan apabila teknik tambahan manik dan labuci diperkayakan pada baju berkenaan di samping potongan lebih dipermodenkan walaupun masih mengekalkan tradisi kaftan,” katanya ketika ditemui di butiknya di Plaza Damas, Sri Hartamas, baru-baru ini. Cerita seterusnya baca di sini : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Ratu/20100306092557/Article/

Direnjis-renjis: Berkat doa di tanah suci

Oleh Hidayah Mohammad

Perkenalan Azliyanti dan Syarizan bermula sekadar kawan baik, kini berakhir di jenjang pelamin.

BERTUGAS sebagai wartawan penyiaran sejak enam tahun lalu, memberi peluang kepada wanita manis ini bertemu dengan ramai orang. Malah, hampir setiap hari beliau berjumpa dan berkenalan dengan pelbagai jenis kerenah manusia.

Ada yang menepati cita rasa, ada juga sebaliknya. Kesempatan bertemu ramai kenalan bagaimanapun tidak berjaya menarik minat mahupun menawan hati penyampai berita dari stesen televisyen terkenal, TV3, Azliyanti-Ib-berahim, 28, walaupun ada yang cuba mendekatinya.

Namun, pertemuan yang diaturkan rakan baik yang juga penyampai berita, Datin Norazlina Redzuan dengan Pengarah Urusan sebuah syarikat swasta, Syarizan Md Isa, tiga tahun lalu, tidak disangka-sangka adalah jodoh hidup wanita yang gemar melemparkan senyuman itu.

"Berkawan dan bercinta sebelum ini memang ada. Cuma, sebelum ini saya tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Apabila memikirkan usia semakin meningkat, ketika itu 26 tahun saya rasa sudah sampai masanya sebelum terlambat.

"Pertemuan, jodoh dan ajal di tangan Tuhan. Ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci pada April 2007 bersama Norazlina, beliau ada bertanyakan sama ada saya sudah mempunyai kekasih hati atau pun tidak. Lantas menjawab, masih belum berpunya.

"Saya tidak menyangka, sejurus pulang dari tanah suci, Norazlina terus menetapkan temu janji bersama seorang jejaka. Janji temu pertama saya dan suami ketika itu di Bangsar untuk makan tengah hari," katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Cerita seterusnya : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Ratu/20100227081204/Article/

Sunday, March 7, 2010

Ratu: Jumaat 5 Mac 2010

'Aurah' Muslimah

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Perspsi pereka penuhi ilham cipta pakaian ikut syariat
TUJUAN wanita diperintahkan Allah wajib menutup aurat ialah membezakan dengan haiwan; supaya wanita tidak disakiti; sebagai tanda atau seperti uniform kepada penganut Islam dan menandakan profesionalisme dalam sistem pemakaian Islam.
Sejak beberapa selebriti di negara ini dilihat gemar mengenakan selendang, gayanya sebegitu semakin menjadi ikutan ramai wanita. Mungkin segelintir memikirkan ia fesyen, tetapi hakikatnya cara pemakaian sebegitu tidak sempurna. Mungkin ingin melihat diri secantik si empunya diri, tetapi hakikatnya ia tidak menepati syariat dalam menutup aurat sebenar.
Lantaran terlalu kerap menyaksikan wanita bergaya sedemikian, tidak banyak sedikit pasti ada berkenan lalu mengikutnya, malangnya ia tidak lebih daripada perbuatan sia-sia apabila anak tudung ditinggalkan, sebaliknya rambut ditutup selendang yang tetap menampakkan sebahagian rambut.
Ada juga wanita yang gemar mengenakan tudung, tetapi hanya ke pejabat, sedangkan aurat perlu diteruskan walaupun berada di luar rumah seperti menyidai pakaian atau ke kedai runcit berhampiran rumah.
Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di negara ini apabila ramai bertudung, tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. (Ikuti artikel selanjutnya di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Ratu/20100305091900/Article/


Wanita Global: Makin berani menegak hak

Oleh Shamsiah Sanin

Calon wanita bertanding untuk dapat kedudukan dalam Parlimen Iraq bertambah
SALAMA al-Khafaji antara tokoh wanita yang akan bertanding pada pilihan raya Iraq, Ahad ini mengenakan jubah hitam yang menutup seluruh tubuh kecuali bahagian muka dan mengedarkan risalah kempen mengandungi panduan waktu sembahyang.
Seorang lagi calon, Masoun al-Damalouji berpakaian ala Barat dengan rambut berwarna perang. Poster pencalonannya menampilkan gambar beliau yang tersenyum ditampal di merata tempat di Baghdad.
Kedua-dua wanita berkenaan sebenarnya mewakili dua aliran berbeza, tetapi mendominasi masyarakat Iraq sejak 2003, apabila rejim pemerintahan sekular Presiden Saddam Hussein digulingkan dan puak Syiah memperoleh kuasa.
Peranan wanita dalam pilihan raya Ahad ini dan tanggungjawab yang akan mereka galas dalam kerajaan baru bakal menentukan hala tuju Iraq ketika negara itu terpaksa ‘bertarung’ untuk mengakhiri keganasan dan mewujudkan kestabilan menjelang pengunduran tentera Amerika.
“Saya percaya kepada kebebasan dan hak wanita, tetapi ia hendaklah di dalam lingkungan tradisi masyarakat Iraq,” kata Salama, antara 1,800 calon wanita yang akan bertanding untuk mendapat tempat di Parlimen, kurang sedekad selepas Washington mewujudkan apa yang diharapkan sebagai demokrasi Asia Barat. (http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Ratu/20100305090949/Article/

Thursday, March 4, 2010

Khamis...

Kejar cabaran
Percaya kebolehan diri pacu kejayaan kuasai rantau Asia

Oleh Shaidah Shafie


KADANGKALA cabaran yang mendatang tanpa sebarang isyarat itulah yang akan menjadi tunggak kekuatan dalam kehidupan, begitu juga dengan bidang pekerjaan kerana jika tidak dicabar oleh cabaran mahupun masalah, anda tidak akan tahu sejauh mana kebolehan diri.Bahkan, ada individu yang gemar mencari cabaran dalam usaha menguji ketabahan diri mahupun menduga kekuatan daripada aspek mental atau fizikal meskipun pada luarannya, anda mungkin tidak mampu menanganinya dengan baik.

Begitupun, jatuh bangun dalam perniagaan adalah rencah, lazim dirasai kebanyakan individu menduduki kerusi tertinggi dalam syarikat atau mereka yang berusaha selama ini tanpa mengenal penat lelah walaupun terpaksa melakukan pengorbanan bukan sedikit.

Bagi Pengarah Pengurusan Kaspersky Lab (M) Sdn Bhd, Gun Suk Ling, mengalami zaman malap, kemudian bangkit dalam kerjaya adalah perkara terbaik pernah dilalui dalam hidupnya kerana melalui ‘zaman malap’ itulah beliau kini boleh tersenyum manis dan merasai kebaikan daripada suasana mendung yang pernah menyelubunginya sejak beberapa ketika.

“Saya pernah melalui liku kehidupan yang sangat sukar dan tajam. Tidak mudah untuk mencapai kedudukan hari ini. Mungkin juga minat mendalam terhadap bidang teknologi maklumat (IT) menjadikan saya seorang manusia yang komited, tidak menghiraukan kesukaran berlaku di sekeliling.

“Lebih menyedihkan, saya akhirnya tenggelam punca dan tidak bekerja selama beberapa bulan, lantas berfikir apakah yang sudah saya lakukan dan ke manakah hala tuju saya selama ini,” katanya ketika ditemui di Kasperky Lab di Damansara, baru-baru ini.

Membuka lipatan kisah silam, Suk Ling berkata, beliau terlalu meminati bidang IT dan memulakan kerjaya pertama berkaitan IT di Symantec Corporation Singapura (Symantec) sebagai Pengurus Pemasaran untuk Malaysia, Indonesia dan Brunei. Di Symantec, Suk Ling memanfaatkan kebolehan dan minat terhadap IT dengan syarikat berkenaan selama hampir sembilan tahun.

Boleh dikatakan, beliau juga membina profil peribadi di Symantec yang membekalkan pengalaman berharga bagi dirinya dalam bidang perisian komputer.Kebolehan beliau dalam mempertingkatkan hasil jualan produk syarikat membuatkan pihak pengurusan teratas membuka mata dan memberi peluang dengan melantik beliau sebagai Pengurus Serantau Symantec di Malaysia serta Brunei dan Indonesia juga adalah di bawah pengawasan beliau.“Saya tidak boleh lari daripada bidang anti-virus.

Ketika di Symantec, saya menjadi Pengurus Pengeluaran dan banyak mewujudkan perjanjian perniagaan dengan syarikat yang mengusahakan serta mengedarkan produk yang sama.“Ketika itu, saya di ibu pejabat Singapura dalam khusus pemasaran tetapi tugas saya tidak hanya tertumpu pada pemasaran saja sebenarnya. Tidak lama selepas itu, mereka memberi saya peluang balik bertugas di Malaysia, yang mana ia sangat menggembirakan saya sesudah sekian lama di Singapura,” katanya.

Hakikatnya, pada usia 26 tahun, Suk Ling sudah memegang jawatan besar di sebuah syarikat bertaraf antarabangsa dengan profil peribadi yang meyakinkan sesiapa saja melihatnya.Begitupun, sudah menjadi resam bagi dirinya, beliau masih tetap mencari sesuatu yang boleh dijadikan cabaran pada diri sendiri. Kedudukan selesa di kerusi empuk tidak berjaya membuatkan beliau berpuas hati, sebaliknya perasaan untuk terus meneroka lebih jauh dalam bidang yang sama menghantui diri.Selepas bertugas dengan Symantec, Suk Ling bertukar angin dan mendirikan syarikat usaha sama dengan Patimas Computers Berhad iaitu SSD Technology dengan kedudukan sebagai Pengarah Eksekutif.

Pengalaman diraih di syarikat bertaraf multi nasional ternyata menjadi bekalan kepada Suk Ling mengendalikan syarikat baru itu kerana mempunyai banyak pertalian dengan syarikat pengeluar produk perisian anti-virus yang lain. Bagaimanapun, beliau masih mencari-cari sesuatu yang serasi dengan jiwa. Sungguhpun, pada dasarnya beliau boleh hidup senang dengan kerjaya dan jawatan disandang, tetapi keadaan berkenaan tidak mampu membuatkan beliau berpuas hati dengan apa yang dihadapi.Suk Ling kemudian menarik diri dari Patimas dan menubuhkan Unified Distribution yang juga masih lagi dalam bidang sama, pengedaran perisian komputer.

Ternyata, bidang berkenaan sudah sebati dengan dirinya menyebabkan beliau seakan tidak boleh dipisahkan lagi dengan ‘anti-virus.’Unified sempena mengambil nama gabungan kesemua produk berkaitan IT yang dipasarkan syarikat beliau. Antara jenama yang berada di bawah bumbung Unified adalah McAfee, Trend Micro, Sophos serta banyak lagi yang dibawa masuk Unified bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan mahupun luar negara.Suk Ling berpendapat, dengan segala pengalaman yang dimiliki lebih 10 tahun dalam bidang berkenaan tentunya tidak akan meletakkan beliau dalam kegagalan, bahkan jauh daripada keruntuhan sebuah empayar perniagaan. Beliau juga percaya rakan dan syarikat perniagaan lain akan memberi sokongan kepadanya. Tafsiran itu nyata silap.Dari satu aspek, beliau terlepas pandang mengenai sesuatu yang berada di puncak juga tidak mustahil akan terjatuh atau mengalami kejatuhan dan seterusnya membawa kepada kemusnahan. Beliau hilang segala-galanya termasuk rumah dan saham yang dilaburkan untuk menubuhkan Unified sebelum ini.

“Saya melalui saat kegelapan yang dialami syarikat dengan tangan kosong. Rumah sudah dijual untuk menubuhkan syarikat. Begitu juga dengan segala saham yang saya miliki sebelum ini.”

“Secara ringkasnya, saya jatuh terduduk tanpa dapat berbuat apa-apa. Tiada satu apa pun yang tinggal untuk saya manfaatkan atau gunakan. Bukan saja syarikat yang ‘runtuh,’ rumah tangga saya juga mengalami keruntuhan sehingga membawa kepada perpisahan dengan suami. Buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau kemudian mengasingkan diri selama tiga bulan dan menutup kehidupan kepada dunia luar. Sepenuh tumpuan diberikan kepada tiga cahaya mata.Selama tiga bulan juga beliau berfikir bagaimana untuk meneruskan hidup, membesarkan anak dan mendapatkan semula pekerjaan sesuai dengan pengalaman yang beliau miliki.

“Dalam tempoh itu saya menelefon rakan baik yang sudah saya kenal sekian lama. Saya memberitahu kedudukan saya dan apa yang saya alami dalam perniagaan.”

“Beliau tidak menjanjikan sebarang pekerjaan, tetapi meminta saya menunggu selama dua bulan. Dalam tempoh tiga bulan ‘bertapa’ itu, saya mula mengenali diri yang selama ini saya abaikan,” katanya bernada kesal.Tempoh tiga bulan berkenaan menjadikan beliau seorang yang berbeza.

Jika sebelum ini, beliau digeruni pekerja kerana sifat garang dimiliki selain degil dan tidak ada siapa yang boleh membantah kenyataan yang dikeluarkan. Penantian selama tiga bulan berakhir dan Suk Ling mendapat panggilan daripada rakan mengajak beliau mengendalikan syarikat baru, eEye Digital Security yang tidak jauh beza dengan syarikat pernah dikendalikannya sebelum ini. Di syarikat ini, Suk Ling menjawat jawatan Naib Presiden (Jualan) (Asia Pasifik).

Tidak lama di eEye Digital, kebolehan Suk Ling ternyata dihidu oleh syarikat yang kini menduduki tangga keempat di dunia dalam carta pengedaran produk anti-virus untuk komputer, Kaspersky Lab.Dilahirkan semula Berada di Kaspersky Lab, beliau berasa seolah-olah dilahirkan semula. Berbekalkan semangat dan persekitaran baru serta rakan sekerja yang baru, Suk Ling menanam azam untuk bekerja dengan lebih positif, mengurangkan sikap degil diri yang sebelum ini memakan diri. Lebih mengejutkan, beliau mulai percaya kepada agama yang sewajarnya menjadi anutan diri.“Saya menjadi orang baru dalam bidang perisian komputer. Kepakaran dimiliki masih sama, tetapi dalam erti kata lain, sikap dan penampilan saya berubah sepenuhnya berbanding dulu.“

“Sebelum ini pekerja menjalankan tugas yang diarahkan bukan semata-mata rasa hormat kepada saya sebagai seorang ketua, tetapi mereka berasa takut akan saya kerana mengamalkan pengurusan ketat dan tegas untuk memastikan semua pekerja mengikut rentak saya menjalankan tugas dengan pantas serta efektif. Kini, saya dapat merasai perubahan besar mengenai diri. Saya seolah-olah dilahirkan semula.

“Saya menjadi lebih tenang manakala sifat bangga diri dan ego sudah tunduk, malah menerima hakikat bahawa jika saya terus-menerus menjadi ketua kepala sendiri, saya tidak akan dapat bertahan lama. Saya masih lagi seorang yang tegas, namun, mula mendengar masalah pekerja dan mencari jalan penyelesaian bersama. Dapat dirasakan perbezaan pekerja saya pada suatu ketika dulu dan pekerja saya sekarang. Mereka kini menghormati saya sebagai seorang ketua yang selayaknya dengan rasa hormat yang lahir tersendiri,” katanya.

Budaya kerja di Kaspersky sangat membina minda, bahkan, apa yang lebih mengujakan Suk Ling ialah beliau kini sudah boleh menerima pendapat rakan sekerja dan kakitangan di bawah penyeliaan beliau juga berani memberikan pendapat serta berbincang apabila diminta berbuat demikian.Paling penting, adanya perbincangan dua hala antara beliau dan kakitangan menjadikan mereka semakin berusaha untuk memajukan diri dan syarikat.

“Tidak dinafikan, pegangan terhadap agama yang dianut juga penting untuk kita jadikan panduan. Saya percaya walau apa saja agama di dunia, ia menganjurkan kebaikan dan sesuatu yang boleh membawa kebaikan kepada kita. Saya juga kembali kepada asas kehidupan ketika ditimpa musibah dalam pekerjaan,” katanya.
Keutamaan kini adalah anak dan kerjaSeperti wanita lain, berakhirnya sebuah perkahwinan dan keruntuhan rumah tangga tidak bermakna hidup berakhir dan tidak boleh bangkit menuju puncak semula. Suk Ling menjadikan hujung minggu adalah hari wajib bersama tiga cahaya mata yang menjadi sinar dalam hidupnya.

“Shanice, 8, Yunice, 6 dan Yiwen, 4, adalah anak yang baik dan saya beruntung memiliki mereka dalam hidup. Mereka faham ibu mereka sibuk bekerja, tetapi ada kalanya merengek juga kerana saya agak kurang menghabiskan masa dengan mereka.”

“Yunice terutama, sering mengingatkan saya supaya tidak bekerja pada hujung minggu kerana ia adalah masa untuk saya bersama mereka. Kalau terpaksa ke luar negara juga, saya seboleh-bolehnya akan cuba mencari hari yang tidak membabitkan hujung minggu,” katanya.

“Kejayaan bagi saya, bukan sekadar norma memiliki jawatan tertinggi atau pulangan wang yang lumayan, ia lebih kepada merasa kebahagiaan dan mendapat penghormatan yang selayaknya serta menolong mereka yang ingin berjaya. Ini pun boleh membuatkan saya berasa amat bersyukur lebih daripada harta dan pangkat yang dicapai sekarang,” katanya, Suk Ling juga mempunyai sasaran tertentu terhadap kerjayanya di Kaspersky. Antara yang disasarkan ialah meletakkan Kaspersky di tangga teratas sebagai Raja perisian komputer dunia dalam tempoh empat tahun dari sekarang.

“Kini Kaspersky menduduki tangga ke empat. Kami hanya mempunyai empat tahun untuk mendaki puncak menjadi nombor satu. Jadi saya berasa perlu untuk meletakkan Kaspersky di tangga teratas dalam dunia perkomputeran.“Saya juga berasa gembira kerana mempunyai 10 rakan sekerja di Kaspersky Lab Malaysia yang bersedia bekerja bersama saya pada bila-bila masa saya perlukan mereka untuk memajukan kaspersky Lab rantau Asia,” katanya penuh bersemangat.Paling utama, perjuangan beliau ialah menyedarkan masyarakat terutama penggiat IT mengenai kesalahan menggunakan perisian komputer yang dicetak rompak atau digunakan secara tidak sah. Sehingga kini, dipercayai ada lebih 35 peratus penggiat IT menggunakan perisian sah manakala selebihnya adalah secara tidak sah.


BIODATA
Nama: Gun Suk Ling

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pengkhususan Pemasaran Am dan Sistem Maklumat Perniagaan, University of Western Michigan, Kalamazoo, Michigan, USA. Jawatan: Pengarah Urusan rantau Asia Tenggara, Kaspersky Labs Asia Limited.
Bidang pengkhususan: PemasaranMula bertugas di Kaspersky Lab: 200

DARI TANUR


Kek penambat selera semua acara


Oleh Shaidah Shafie



KEK memang enak dinikmati ketika perut berkeroncong. Lebih-lebih jika ia dihidangkan bersama teh panas di petang hari. Paling mengujakan apabila ia dinikmati bersama keluarga pada hujung minggu. Tentunya ada berasa bangga jika kek berkenaan disediakan sendiri dari dapur peribadi.

Begitupun, tidak ramai yang rajin membakar kek kerana penyediaannya agak leceh berbanding kuih tradisional walaupun kek mempunyai pelbagai khasiat selain indah dipandang mata. Sesetengah pula mungkin memilih kek keju atau kek buah yang akan menjadi kek kegemaran seisi keluarga.

Dari Tanur kali ini masih lagi mendapat kepakaran Chef Azli Razali untuk berkongsi kesabaran menyediakan Kek Ceri yang sedap dan enak, namun mudah dan cepat disediakan. Jangan berputus asa untuk mencuba menyediakan kek kerana apabila berjaya membakar kek buat pertama kali, anda tidak akan berhenti untuk terus mencuba pelbagai resipi kek sebenarnya.

Terima kasih kepada Chef Azli kerana sudi menyediakan Kek Ceri untuk penggemar kek. Azli boleh dihubungi melalui azlirazali77@yahoo.com atau lawati blog beliau di alamat azlirazali.blogspot.com.


Bahan:










(A)2 biji telur130 gm gula halus
(B)454 grams/

1 tin ceri manis

200 gm tepung halus

1 ½ camca teh serbuk penaik

125 gm mentega

80 ml susu sejat

¼ pewarna kuning telur

1 camca teh esen vanilla

Langkah:










Langkah:1. Pukul mentega dan gula hingga kembang dan gebu.











2. Masukkan telur satu persatu, esen vanilla dan pewarna kuning. Pukul hingga sebati.










3. Apabila adunan berkenaan sudah sebati, anda boleh memasukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Pastikan tepung tidak bergentel bagi mendapat hasil yang memuaskan.










4. Selepas adunan sebati, masukkan susu dan kacau sehingga sebati sama seperti yang anda lakukan pada adunan tepung.










5. Masukkan separuh tin ceri dan kacau sehingga rata. Tuangkan adunan yang telah siap di dalam tin kek.

6. Susun separuh lagi ceri yang disimpan di atas kek secara rawak. Bakar selama 40-45 minit atau sehingga tiada lekatan pada lidi ketika dicucuk pada tengah kek.






7. Inilah kek ceri yang enak dimakan ketika panas mahupun suam.